Wednesday, July 22, 2009

Kepentingan Budaya Ilmu dalam Pembentukan Masyarakat Bertamadun.

1.1 Pengenalan

Sejarah telah mengajar kita melalui berbagai peristiwa penting yang sekali gus membuktikan bahawa golongan manusia yang tamadunnya tinggi adalah bersendikan kepada budaya intelektual yang tinggi dalam zaman mereka . Golongan manusia yang hanya mempunyai kekuatan bersifat fizikal seperti tenaga manusia atau kekuatan ketenteraan sebenarnya bukanlah menonjolkan sebuah kekuatan hakiki tetapi berpandukan dari sejarah tamadun manusia , sering kali kita saksikan bahawa sesebuah bangsa yang kuat tetapi tidak diasaskan oleh budaya ilmu yang baik , akan memeluk dan menganut nilai dan ciri tamadun lain yang ditaklukinya itu (Wan Mohd. Nor,1997)

Antara contoh bersejarah yang dapat diambil ialah seperti golongan Mongol yang telah menyerang Baghdad , menjatuhkan Dinasti Abbasiyah dan seterusnya merosakkan sumber-sumber keilmuan dan tamadun Islam yang sekali gus paling menyedihkan dalam sejarah (Mahayudin Hj Yahaya dan Ahmad Jelani Halimi,1996) kemudiannya telah memeluk Islam dan melahirkan generasi Islam baharu di Turki , China dan Rusia pada hari ini (Wan Mohd. Nor,1997) Kejayaan intelektual dan peradaban tinggi yang dicapai oleh kaum-kaum Yunani , Yahudi , China , India dan umat Islam di zaman silam serta betapa canggihnya pencapaian sains dan teknologi negara-negara Barat pada hari ini juga adalah bukti nyata di mana sesebuah golongan manusia itu jika ilmu dan budaya ke arahnya dimartabatkan di kedudukan yang tinggi di dalam masyarakat mereka .

Zaman Yunani kuno telah melahirkan ramai ilmuwan terkenal seperti Socrates , Plato dan juga Aristotle yang banyak mempelopori ilmu falsafah , logik serta geometri . Albert Einstein , Karl Marx dan Sigmund Freud dilihat sebagai diantara tokoh intelektual berketurunan Yahudi yang berpengaruh besar di dalam pelbagai bidang keilmuan moden . Mazhab Konfuciunisme Baru yang mewarnai tamadun China klasik di mana kecenderungan amali telah memberi sumbangan besar kepada manusia sejagat melalui penghasilan kertas , sutera , percetakan , kompas serta ubat meriam . Budaya India Kuno pula yang lebih memberikan penekanan kepada ilmu yang paling abstrak telah memberikan sumbangan bernilai terhadap bidang astronomi , geometri serta perubatan . Fenomena budaya ilmu itu mula berubah apabila agama Kristian yang menguasai negara-negara Barat pada Zaman Pertengahan telah menyebabkan ilmu itu sendiri telah diilhami oleh semangat sekular sekali gus mempengaruhi setiap aspek kehidupan dan pemikiran manusia moden hari ini . (Wan Mohd. Nor, 1997)

1.2 Budaya Ilmu

Perkataan ’ilmu’ pula memiliki definisi yang sangat luas dan susah untuk didefinisikan . Syed Muhammad Naquib al-Attas berpendapat bahawa ilmu itu sendiri sebenarnya tidak bersifat neutral , budaya yang berbeza memiliki konsep yang juga berbeza mengenai ilmu walaupun ada persamaan mengenainya . Terdapat perbezaan yang ketara dan tidak seiring mengenai konsep ilmu di antara budaya Islam dan juga Barat . (Wan Mohd. Nor, 1998) Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya ’Ulum al-Din mendefinisikan ’ilmu’ itu kepada daya membuat generalisasi , konsepsi terhadap idea-idea yang abstrak dan keupayaan memperoleh kebenaran intelektual . (Hamid Fahmy Zarkasyi , 1990) Maka ’budaya ilmu’ yakni apabila kedua-dua konsep budaya dan ilmu digabungkan boleh diertikan sebagai segala aktiviti keilmuan yang dilaksanakan oleh setiap anggota masyarakat dan diterima sebagai nilai tara utama dalam amalan mereka . (Mok Soon Sang , 2000)

Paul Kennedy (2004), telah menganalisis tentang kebangkitan dan kejatuhan kuasa-kuasa besar dunia. Beliau mendapati faktor penting yang menentukan kebangkitan dan kejatuhan kuasa-kuasa besar ini ialah sikap bangsa tersebut terhadap ilmu dan penghayatan budaya ilmunya. Manakala, Ibn Khaldun (1993), seorang pemikir Islam di abad ke-14 pernah menyatakan bahawa bangsa yang mempunyai kekuatan tenaga manusia serta kekuatan tentera, walaupun berperanan untuk menjadikan bangsa itu kuat, tetapi ianya tidak menjadi faktor utama bagi memberi kekuatan hakiki. Malah telah berlaku beberapa peristiwa dalam sejarah bagaimana sesuatu bangsa yang kuat tetapi tidak ditunjangi oleh budaya ilmu dan kemahiran yang baik, lambat-laun akan memeluk dan menganuti ciri-ciri tamadun bangsa yang ditaklukinya. Budaya ilmu dan kemahiran bagi sesebuah masyarakat memberi maksud bahawa keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung, mahupun tidak langsung dengan teratur dalam kegiatan keilmuan dan kemahiran bagi setiap kesempatan. Ia juga merujuk kepada kewujudan satu keadaan di mana segala tindakan manusia baik di tahap individu, organisasi, mahupun masyarakat diputus dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan dan kemahiran. Di dalam budaya ilmu dan kemahiran, ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat, sementara kemahiran pula mampu menjadikan sesuatu ilmu itu lebih bermanfaat kepada semua golongan masyarakat.

1.3 Masyarakat Bertamadun

Bagi ahli antropologi tempatan, Wan Hashim Wan Teh (1997) menegaskan bahawa konsep tamadun dalam sains sosial merujuk kepada pencapaian tinggi pemikiran ahli masyarakatnya dalam aspek budaya dan kesusasteraan, agama dan moral, pelbagai aspek kesenian, tatasusila, serta organisasi politik atau kemampuan mewujud dan mengurus sebuah kerajaan yang demokratis.

Ciri utama yang mendasari sesebuah tamadun ialah pertumbuhan bandar atau kota. Istilah-istilah yang membawa makna peradaban seperti civitas, maddana atau hadarah dan nakarikam menggambarkan kehidupan di bandar. Hal ini kerana ciri-ciri kehidupan di bandar itu lebih kompleks yang melahirkan pengkhususan kerja, inovasi dan kemajuan dalam pelbagai bidang. Gordon Childe menegaskan bahawa peradaban lahir apabila manusia menetap dalam kumpulan-kumpulan besar dan menjalankan pengkhususan di bandar. Bagaimanapun dalam era dunia tanpa sempadan, konsep bandar mungkin boleh dilihat dengan lebih luas kerana peranan kota telah diambil alih oleh negara bangsa atau kerajaan atau benua. Masyarakat mungkin bersetuju mengiktiraf Jepun sebagai negara bertamadun ( tidak bandar-bandar Tokyo, Hiroshima dan sebagainya ) dan ramai akan menyetujui bahawa benua Eropah atau tamadun Barat menguasai tamadun lain.

Ciri kedua yang perlu dimiliki oleh masyarakat bertamadun ialah mempunyai tingkah laku yang luhur dan murni. Hal ini telah ditegaskan melalui perkataan civilize dalam bahasa Inggeris dan adab serta adbun dalam bahasa Arab. Begitu juga dengan Syed Naguib yang menekankan kepada kehalusan tatasusila bagi mencerminkan masyarakat bertamadun. Layanan orang Ansar terhadap orang Muhajirin di Madinah semasa era Nabi Muhammad s.a.w. menunjukkan orang Ansar memiliki tingkah laku yang terpuji. Kemajuan dalam pelbagai bidang merupakan ciri ketiga untuk membuktikan bahawa sesebuah masyarakat itu bertamadun. Rom misalnya terkenal dengan unsur seni bina dan undang-undang, Athens pula melahirkan ahli-ahli falsafah manakala kerajaan bani Abbasiyah semasa pemerintahan Harun al-Rasyid memberi sumbangan yang besar dalam bidang intelektual. Generasi muda perlu dibekalkan dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang secukupnya agar kesinambungan kemajuan dapat diteruskan. Masyarakat Arab tidak berupaya membina semula Empangan Maarib sehingga memasuki era Zaman Jahiliah kerana masyarakat mereka tidak memiliki kemahiran dan buta huruf.

Konsep tamadun kurang lengkap jika definisinya tidak dimasukkan unsur-unsur kemajuan material dan spiritual. Pencapaian dalam bidang material seperti unsur seni bina, pentadbiran yang berkesan, pencapaian ilmu pengetahuan dan sebagainya perlu disertai dengan unsur-unsur moral atau kerohanian. Pencapaian dalam aspek kebendaan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. mungkin tidak sehebat pencapaian unsur-unsur spiritual yang dimiliki oleh masyarakat Islam ketika itu yang mahu menegakkan agama Islam.

1.4 Kepentingan Budaya Ilmu dalam Pembentukan Masyarakat Bertamadun
1.4.1 Masyarakat Berilmu

Sesebuah masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu sudah setentunya akan memiliki beberapa ciri-ciri tertentu yang membezakan mereka dengan masyarakat yang tiada berkecenderungan terhadap aktiviti keilmuan. Wan Mohd Nor (1997) antara lain menggariskan ciri-ciri tersebut adalah seperti ;
a. Penglibatan setiap ahli masyarakat di dalam kegiatan keilmuan
b. Tindakan manusia baik secara individu mahu pun di peringkat masyarakat , diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahu pun syura .
c. Ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat di setiap peringkat .
d. Individu dan institusi berpengaruh dalam masyarakat akan memberi keutamaan , bantuan , kemudahan , dan pengiktirafan yang tinggi kepada mana-mana pihak yang melibatkan diri di dalam usaha mencari dan menyebarkan ilmu pengetahuan
e. Dalam diri dan masyarakat , tidak akan mengiktiraf sifat jahil , bebal dan anti ilmu.
f. Dalam diri dan masyarakat yang berbudaya ilmu , akan menolak dan membenci pandangan , pernyataan , serta amalan yang tidak berasaskan ilmu dan kebenaran .
g. Budaya ilmu bukan sekadar kesungguhan memahami , mendalami dan menghayati sesuatu bidang ilmu tetapi lebih penting juga mampu menjelmakan sifat keilmuan dalam pelbagai bidang (multi-disciplinary) dan merentas bidang (inter-disciplinary) agar pemaduan ilmu dapat mewujudkan kepaduan diri dan masyarakat

Justeru itu , Wan Mohd. Nor (1997) selanjutnya menambah bahawa masyarakat yang berbudaya ilmu seharusnya memiliki beberapa nilai tertentu, iaitu ;
a. Kepentingan Ilmu
Masyarakat yang berbudaya ilmu akan menjadikan ilmu sebagai asas segala kebaikan. Ilmu yang dipelajari bukanlah tiket untuk mendapatkan kemewahan material , melahirkan pekerja yang cekap atau peluang untuk pekerjaan lumayan tetapi lebih kepada penanaman sikap untuk memuliakan ilmu dengan cara menuntutnya dan seterusnya menghayatinya seumur hidup . Pendidikan menurut Ibnu Khaldun (1993) , dapat membantu individu dan masyarakat menuju kemajuan dan kecemerlangan (Gamal Abdul Nasir Zakaria , 2003)

b. Hasil Ilmiah Yang Berkekalan
Berkekalan di sini bermaksud bahawa sebarang usaha dan hasil yang berteraskan ilmiah itu seharusnya merupakan sumbangan dan amal kebajikan penting bagi diri sendiri dan juga manusia , dan sumbangan tersebut akan diberi ganjaran yang bersifat kekal. Bagi ilmuwan non-Muslim , mereka pasti mendapat kemasyhuran nama sepanjang zaman manakala bagi ilmuwan Muslim pula percaya kepada ganjaran pahala amal jariah di akhirat .

c. Usaha Keilmuan Yang Berkekalan
Di dalam masyarakat yang berbudaya ilmu , anggota masyarakatnya perlu maklum bahawa pendidikan itu adalah proses pembelajaran sepanjang hayat yakni dari buaian hingga ke liang lahad .

d. Hormat-Kritis Terhadap Ilmu
Masyarakat berbudaya ilmu juga mesti berani mencari kebenaran dan memperbaiki hasil pemikiran tokoh ilmuwan terdahulu . Perkara ini dapat disaksikan melalui rentetan sejarah di mana Imam Syafi’i serta Imam Abu Hanifah pernah berguru dengan Imam Malik . Contoh lain pula Imam al-Ghazali mengkritik kekeliruan ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan unsur dan pemikir Yunani tetapi tetap mengakui sumbangan dan keagungan para pemikir Yunani tersebut .

e. Kesinambungan Tradisi Keilmuan
Peka dan sedar betapa pentingnya kesinambungan atau sejarah ilmu atau keilmuan juga sebuah nilai yang amat mustahak di mana ilmu itu sendiri tidak terbatas kadarnya serta manusia itu sendiri tidak akan dapat memikirkannya bermula dari titik kosong . Khazanah keilmuan generasi terdahulu dan juga semasa seharusnya diketahui dan seterusnya direkodkan .

f. Kepimpinan
Masyarakat yang mahu memilih barisan para pemimpin mereka setentunya terlebih dahulu mesti memahami dan menghayati budaya ilmu itu sendiri sebelum menilai , memilih dan mengukuhkan pemimpin yang berilmu , adil , bijaksana , berwawasan jauh dan tegas . Ini juga bermakna , mana-mana individu atau kumpulan pemimpin yang mahu memimpin masyarakat , semestinya melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu dasar dan kepakaran yang sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa bersesuaian dengan keperluan zamannya .

g. Pengiktirafan Peranan Wanita
Wanita memang berperanan besar di dalam menentukan dan membina budaya ilmu dan ketinggian tamadun manusia . Zaman pramoden menyaksikan kaum wanita secara tidak rasmi telah berpengaruh besar di dalam peringkat rumah tangga khususnya mengenai urusan penerusan adat resam , penjagaan keluarga dan kemahiran hidup berkeluarga . Ahli sejarah melihat pengabaian pendidikan kaum wanita seperti di dalam tamadun Yunani Kuno dilihat sebagai punca kepada kejatuhan tamadun masyarakat Yunani itu sendiri . Agama Islam pula bersumberkan dari wahyu atau hadis , memerintahkan kepada kaum Muslimin , lelaki dan juga perempuan untuk sama-sama menuntut ilmu pengetahuan dan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah SWT di muka bumi ini . Isteri-isteri Rasulullah saw sendiri terutamanya Siti Aisyah adalah sumber rujukan para sahabat khususnya mengenai al-Quran , hadis , fikah selain syair , sejarah Arab , nasab keturunan (salasilah) dan juga perubatan . Jelas di sini bahawa , kaum wanita memberi kesan kepada sesebuah institusi keluarga. Manakala kekeluargaan pula merupakan paksi kekuatan sesebuah masyarakat .(Hasan Langgulung ,1979)

1.4.2 Pembudayaan Ilmu Dalam Masyarakat

Ilmu merupakan faktor terpenting dalam menentukan kebahagiaan individu dan kejayaan serta kekuatan sesuatu bangsa dan negara. Ilmu membina kekuatan minda ke arah daya fikir tinggi (high order thinking) dan daya kreatif di kalangan individu dan bangsa. Semua agama dan sistem sosial manusia mahukan ahlinya menguasai ilmu pengetahuan sama ada untuk kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. Wan Mohd. Nor Wan Daud (1997), menjelaskan "Budaya Ilmu bermaksud kewujudan satu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung mahupun tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan di setiap kesempatan: dan keadaan di mana segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi di peringkat masyarakat, diputus dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan." Mengikut beliau lagi, budaya ilmu ialah satu budaya yang meletakkan nilai tertinggi dan asas kepada ilmu pengetahuan sebagai kunci segala kebaikan dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.




1.4.3 Keintelektualan Masyarakat

Merujuk kepada perkara asas pencarian ilmu pengetahuan itu, proses pencarian ilmu berkait rapat dengan pendidikan manakala pendidikan berkait rapat pula dengan organisasi keilmuan itu sendiri yang mana dalam konteks lumrahnya disebut sebagai institusi pengajian atau sekolah (dilihat dari konteks pendidikan formal). Di Malaysia, sejarah pendidikannya menerusi proses yang agak panjang iaitu satu proses pembinaan bangsa dan negara Malaysia semenjak merdeka lagi. Evolusi pendidikan ini telah melalui lima fasa, iaitu:
1. Zaman Pra merdeka (sebelum 1957),
2. Zaman Pasca merdeka (1957-1970),
3. Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990)
4. Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000)
5. Zaman Dasar Wawasan 2020 (2001-2010)

Evolusi peralihan zaman ini memperlihatkan pelbagai perubahan dan pembaikan sistem pendidikan negara terutamanya dekad terakhir abad ke-20 melalui perlaksanaan dasar-dasar baru dan akta-akta yang dipinda antaranya:
1. Akta Pendidikan 1996 – menggantikan Akta Pelajaran 1961 khususnya peruntukan kuasa-kuasa Menteri Pelajaran dan penginstitusian prasekolah;
2. Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 – bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan;
3. Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 – membolehkan penubuhan sebuah majlis untuk pembentukan dasar dan menyelaras pembangunan pendidikan tinggi;
4. Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara 1996 – menyediakan peruntukan pinjaman pelajar dan skim tabungan bagi meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi;
5. Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1996 – memperluas autonomi dalam pengurusan dan kewangan kepada universiti awam bagi menentukan program ke arah kecemerlangan alam pendidikan;
6. Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996 – memastikan tahap akademik yang tinggi, jaminan kualiti tinggi dan kawalan mutu pendidikan terpelihara dalam penyediaan pendidikan tinggi swasta;
7. Akta Institut Teknologi MARA (Pindaan) 2000 – membolehkan ITM dinaik taraf menjadi universiti;
8. Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (Pindaan) 2000 – membenarkan pinjaman kepada pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Sejajar dengan arus pemodenan ini, fokus masyarakat dunia turut berubah daripada penemuan di bidang pertanian ke zaman industri dan yang terkini penyertaan yang meluas dalam bidang teknologi maklumat. Merujuk kepada pandangan pakar dan sarjana ulung dunia, mereka mengatakan bahawa sains dan teknologi boleh merubah segalanya dalam pendapat Keneichi Ohmae(1995), dan Bryan S.Turner (1983) dengan idea zaman Pasca Modenisme. Jika dikaji secara mendalam, semua kebangkitan di atas merujuk kepada perkembangan dan ledakan pesat sains dan teknologi ke dalam masyarakat dunia. Secara amnya, sains dan teknologi banyak merubah cara hidup dan peradaban manusia sejak zaman dahulu hingga kini, malahan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi ini semakin meningkat dan turut mempengaruhi cara hidup manusia serta persekitarannya. Perhubungan di antara sains dan teknologi dan masyarakat semakin meningkat dan ketara di masa hadapan. Oleh itu beberapa perubahan am akan berlaku secara langsung ataupun tidak langsung. Perkembangan sains dan teknologi boleh memberi kesan yang positif atau negatif bergantung kepada pandangan dan penerimaan setiap individu dan masyarakat itu sendiri (Falsafah Pendidikan Teknik dan Vokasional, Terjemahan; Suriah Mohamad).

Sikap keterbukaan dan usaha bersungguh-sungguh yang ditonjolkan oleh Malaysia ini terbukti telah memperlihatkan kejayaan. Menurut hasil dapatan daripada kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2003, pencapaian pelajar Malaysia dalam subjek Matematik meningkat daripada tempat ke-16 ke tempat ke-10 dan mendahului 40 buah negara lain termasuk negara maju seperti United kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Australia dan New Zealand. Manakala bagi subjek Sains pula, kedudukan Malaysia meningkat dari tempat ke-22 ke tempat ke-20 dan mendahului 30 buah negara lain termasuk Norway dan Itali (Wahid Hashim, 2005). Walau bagaimanapun, Malaysia tidak pernah memandang kejayaan tersebut sebagai penamat bagi usahanya. Malaysia senantiasa berusaha mencapai matlamat mutlaknya iaitu bagi mencapai status negara cemerlang, gemilang dan terbilang menerusi Wawasan 2020. Usaha ini diteruskan menerusi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang telah dirangka untuk melaksana dan merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia. PIPP akan menjadi garis panduan yang jelas kepada semua pihak supaya segala dasar, program dan aktiviti pendidikan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

1.4.4 Melahirkan Modal Insan

Sesungguhnya, dari pandangan Islam, status dan keutamaan ilmu adalah amat jelas sekali. Perkataan yang paling awal diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w adalah iqra’ yang membawa maksud “bacalah”. Hal ini juga menunjukkan betapa Islam memberikan perhatian yang utama dalam hubungan dengan ilmu dan proses pengilmuan (Zakaria Stapa, 2001). Imam Shafie menegaskan bahawa: “Sesiapa yang berkehendakkan kepada keduniaan, maka hendaklah dia mencari ilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kepada akhirat juga hendaklah dia mencari ilmu.” Hakikatnya, perjalanan sejarah hidup manusia telah mencatatkan secara tepat bahawa ilmu adalah suatu pengaruh malahan suatu kuasa. Fakta betapa misalnya golongan kecil bangsa Greek dengan pencapaian ilmu mereka, terutamanya yang berpusat di Athen mempunyai pengaruh yang cukup besar ke atas Roman dan bangsa-bangsa lain sehingga ke hari ini (Wan Mohd Nor, 1990). Ilmu juga ternyata merupakan suatu kuasa dan boleh menjadi teras kekuatan budaya dan kualiti hidup masyarakat.
Peter F. Drucker (1999) menjelaskan bahawa ilmu menjadi penentu dalam penguasaan bidang ekonomi. Beliau dengan jelas menyatakan bahawa kumpulan sosial yang paling utama dan penting dalam zaman akan datang ialah pekerja dan eksekutif yang berilmu pengetahuan dan tahu menggunakan ilmu untuk suatu kerja yang produktif (Zakaria Stapa, 1994). Namun kini, ilmu pengetahuan di kalangan umat Islam mengalami kemunduran seiring dengan mundurnya kekuasaan politik mereka. Sejak keruntuhan Dinasti Abbasiyah (1258) yang sangat menyanjung ulama dan ilmuwan. Ilmu pengetahuan sedikit demi sedikit juga mengalami kemunduran (Mohd Shauki Abd Majid, 2004). Tamadun yang agung kini dilihat bermula dari sebelah dunia Barat. Amerika Syarikat dilihat sebagai teras tamadun Barat mendahului negara-negara lain di dunia dalam pelbagai bidang kira-kira 20 tahun ke hadapan (Hashim Musa, 2004). Pada zaman sebelumnya, sesuatu kuasa lazimnya terhasil daripada penggunaan sumber politik, ekonomi dan ketenteraan, namun kini merubah pendekatan itu dengan menampilkan peranan ilmu khususnya ilmu-ilmu dan teknologi strategis dilihat sebagai suatu kuasa tuntas kerana dengannya, kekayaan dan kekuasaan menyeluruh dapat dijana.

1.4.5 Cabaran Budaya Ilmu

Terdapat banyak cabaran yang perlu ditangani agar hasrat untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berbudaya ilmu pada zaman sekarang . Di antaranya ialah ;
1. Salah tanggapan masyarakat terhadap ilmu. Masyarakat Melayu silam melihat ”ilmu” dan usaha ke arahnya itu hanya sebagai memenuhi kepada keperluan peribadatan sahaja . Contohnya mempelajari ilmu astronomi hanya untuk memastikan waktu-waktu solat atau ketibaan bulan-bulan penting sahaja . Ilmu matematik hanya khusus untuk mengira fidyah , zakat atau pembahagian harta pusaka (Wan Mohd. Nor Wan Daud,1997). Masyarakat pada hari pula melihat aspek pendidikan sebagai syarat untuk lulus peperiksaan sekali gus sebagai tiket untuk mendapatkan pekerjaan yang lumayan , kurikulum yang tersedia juga kurang memberi peluang untuk para pelajar untuk berfikir secara aktif , ilmu itu juga telah disempitkan melalui pengkhususan dan pengelasan , ilmu tidak dapat kaitkan dengan iman dan amal serta terpinggirnya kesan ilmu terhadap aspek akhlak . (Tajul Ariffin Nordin dan Nor’Aini Dan,2002) Oleh itu , set minda masyarakat yang sempit yang berkemungkinan diakibatkan oleh pelbagai aspek seperti pengaruh sekularisme atau dualisme yang diperkenalkan oleh pentadbiran kolonial silam misalnya perlulah diubah melalui pendidikan Islam agar konsep ilmu yang luas dapat memberi impak yang sempurna kepada masyarakat.

2. Pengaruh berlebihan budaya korporat dan penswastaan terhadap ilmu dan sistem pendidikan. (Tajul Ariffin Nordin dan Dr. Nor’Aini Dan,2002). Apabila manusia hanya asyik memikirkan keuntungan material sahaja dengan cara memperniagakan kegiatan intelektual secara komersial secara tidak langsung akan menyebabkan terpinggirnya budaya ilmu itu sendiri kerana ia sudah tidak lagi diasaskan oleh konsep ibadah dan keikhlasan.

3. Tiada wujudnya kesinambungan usaha intelektual di alam karier (Azyumardi,1999).Usaha membuat kajian dan penyelidikan (research and development) di dalam sektor kerajaan serta swasta sebenarnya memberikan impak besar terhadap kemajuan negara . Tanpa adanya dapatan daripada penyelidikan dan kajian yang berterusan , produktiviti yang dikecapi hanyalah bersifat minima sahaja .

4. Institusi informal dan non-formal dalam masyarakat yang pincang. Perkara ini dapat dilihat melalui kurangnya peranan ibu bapa yakni kekeluargaan di dalam budaya ilmu (M.Wasiullah Khan,1989)Realiti zaman sekarang menyaksikan para ibu bapa kurang berperanan sebagai ejen sosialisasi dan role model penting kepada keluarga mereka . Hal ini sama sekali berbeza dengan masyarakat zaman silam yang tidak begitu terdedah dengan pengaruh negatif dari budaya luar kerana utuhnya sistem kekeluargaan yang rapat walaupun para ibu bapa selalunya tiada berpendidikan tinggi .
5. Kurangnya imbalan atau insentif pihak kerajaan kepada para ilmuwan dan kegiatan intelektual. Ibn Khaldun (1993) di dalam kitab Muqaddimahnya ada menceritakan tentang kepesatan dan kemajuan ilmiah yang dicapai oleh wilayah Islam semasa pemerintahan amir-amir Turki di mana sekolah-sekolah (zawiyah) dan wakaf-wakaf banyak didirikan sebagai industri pelaburan di mana keuntungan yang diperoleh akan digunakan sebagai upah dan insentif serta motivasi bagi para pendidik dan pelajar. Kurangnya usaha mempublisitikan ilmu, tokoh keilmuan dan karya intelektual kepada masyarakat (Wan Mohd. Nor Wan Daud,1997) yang disebabkan oleh pendedahan berlebihan terhadap dunia hiburan dan sukan melalui media massa serta gazet elektronik .

6. Khazanah karya intelektual yang dilupakan. Usaha mengkaji dan menyelidik karya-karya intelektual tokoh-tokoh keilmuan zaman silam perlulah dijalankan , diperkembangkan dan didedahkan kepada pelbagai lapisan masyarakat dari masa ke semasa agar segala pengajaran , nilai tujuan , kandungan dan kejayaan atau kegagalan para tokoh ilmuwan tersebut dapat dimanfaatkan secara hormat-kritis (Wan Mohd. Nor Wan Daud,1997).

Persoalannya apakah yang akan terjadi sekiranya masyarakat kita tidak berbudaya ilmu? Masyarakat yang tidak berbudaya ilmu pastinya akan berbudaya jahil atau bebal , bukan kerana ketiadaan maklumat atau fakta yang betul tetapi kerana rendahnya sifat rohaniah dan degil walaupun mempunyai maklumat yang betul dan cukup (Wan Mohd. Nor Wan Daud,1997).

1.5 Kesimpulan

Untuk memupuk kesedaran berbudaya ilmu di dalam masyarakat bukanlah satu impian yang terlalu ideal atau mustahil untuk dicapai . Ini kerana melalui pengalaman sejarah silam , generasi manusia terdahulu seperti masyarakat Yunani , China , India dan Islam sendiri pernah mencapainya di dalam pelbagai bidang keilmuan. Kecanggihan sains dan teknologi yang didominasi oleh negara-negara Barat dan negara Jepun moden sekarang ini adalah manifestasi dari budaya ilmu yang disemai di dalam masyarakat mereka . Ibn Khaldun (1993) sendiri ada menyatakan bahawa ilmu pengetahuan dan pengajaran (ta’lim) merupakan hal semula jadi di dalam peradaban manusia . Jadi , tidak hairanlah bilamana tokoh itu tersebut pernah menyatakan bahawa sejarah jatuh bangun sesuatu bangsa berkaitan dengan budaya ilmu yang dihayatinya

Rujukan
Azyumardi , M.A., 1999 . Esei-Esei Intelektual Muslim & Pendidikan Islam . Indonesia : PT Logos Wacana Ilmu
Bryan S ,Turner, (1983) Religion and Social Theory, London: Heinemann.
Gamal Abdul Nasir Zakaria , 2003 . Prinsip-Prinsip Pendidikan Islam . Malaysia , Pahang Darul Makmur : PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.
Hamid Fahmy Zarkasyi 1990. Pemikiran al-Ghazali Tentang Pendidikan . Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Hasan Langgulung , 1979 . Pendidikan Islam . Kuala Lumpur : Penerbitan Pustaka Antara
Hashim Musa, 2004. Encountering the Globalizing West. Kuala Lumpur: University of Malaya Press.
Ibn Khaldun , 1993 . Mukadimah Ibn Khaldun (terjemahan). Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Keneichi Ohmae, 1995. The end of the nation state: the rise of regional economies, New York: The Free Press.
M.Wasiullah Khan 1989. Pendidikan dan Masyarakat Dalam Islam . Mohamad Nordin Zainuddin(penterjemah) . Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Mahayudin Hj Yahaya dan Ahmad Jelani Halimi 1992 . Sejarah Islam . Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Mohd Shauki Abd Majid, 2004.Wacana Hadhari dalam Islam, Kuala Lumpur : Anzagan.
Mok Soon Sang 2000 . Ilmu Pendidikan Untuk KPLI . Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Paul Kennedy, 2004. The Rise and Fall of the Great Powers: Economic Change and Military Conflict from 1500-2000 New York NY: Random House
Peter F. Drucker, (1999) “Post-Capital Society” Oxford : Butterworth-Heinemann
Tajul Ariffin Noordin dan Nor’ Aini Dan , Dr. 2002 . Pendidikan & Pembangunan Manusia : Pendekatan Bersepadu . Selangor Darul Ehsan , Bandar baru Bangi : As-Syabab Media .
Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2003. International Mathematics Report - International Science Report - Technical Report (muat turun pada 30 July 2008 http//www. timss.bc.edu/timss2003i/conference_IR.html
Wan Hashim Wan Teh, “Tamadun Melayu dan Pembinaan Tamadun Abad Kedua Puluh Satu” dalam Ismail Hussein, Wan Hashim Wan The dan Ghazali Shafie, 1997. Tamadun Melayu Menyongsong Abad Kedua Puluh Satu, Bangi: Penerbit UKM,
Wan Mohd Nor Wan Daud, (1990).Penjelasan Budaya Ilmu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Wan Mohd. Nor Wan Daud 1997 . Penjelasan Budaya Ilmu . Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Wan Mohd. Nor Wan Daud 1998 . The Educational Philosophy and Practise of Syed Muhammad Naquib al-Attas : An Exposition of the Original Concept of Islamizaton . Kuala Lumpur : International Institute Of Islamic Thought and Civilization
Zakaria Stapa. 1994. “Gesaan Rasulullah s.a.w. dan Keunggulan Citra Ummah”. Dewan Budaya. (Februari, 1994): 19-23.
Zakaria Stapa. 2001.Akidah & Akhlak Dalam Kehidupan Muslim, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur,.

No comments: