Tuesday, July 21, 2009

Perkongsian Pintar Komuniti

Rajah 1: Menjelaskan bagaimana hubungan tiga dimensi antara sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam mencapai matlamat atau objektif yang sama. Ia juga boleh disebut sebagai hubungan tiga penjuru
Peranan ibu bapa, PIBG dan guru dalam meningkatkan prestasi murid di sekolah-sekolah di daerah Semporna. Senario dan realiti semasa dan langkah-langkah mengatasinya.

1.1 Perkongsian Dalam Kesatuan Satu Platform

Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 2 pula bermaksud :

“Dan bertolong-tolonglah kamu atas kebijaksanaan dan taqwa. Dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam dosa atau permusuhan”.

Sebenarnya konsep perkongsian dalam pendidikan merupakan konsep lama yang telah diperbaharui daripada amalan-amalan yang telah biasa diamalkan dalam masyarakat kita seperti gotong-royong, kerjasama dan tolong-menolong. Malah masyarakat lain dalam dunia ini seperti Cina, Jepun dan India juga telah mengamalkan sikap bekerjasama sehingga terhimpun madah, ungkapan, bidalan atau perumpamaan yang menggambarkan kebaikan dan kepentingan mengamalkan semangat bekerjasama. Di kalangan masyarakat Melayu, ungkapan yang biasa kita dengar ‘seperti aur dengan tebing’, ‘bukit sama didaki, lurah sama dituruni’. Di kalangan masyarakat Cina madah seperti ‘semua manusia adalah saudaraku, semua makhluk adalah sahabatku’. Sementara di kalangan masyarakat Jepun pula, ‘persaudaraan adalah perlindungan yang paling mahal’. (Aminah Hamim & Gunawan Mahmood, 2001)

Pendidikan Malaysia di sekolah merupakan usaha mengukuhkan semula segala kelakuan-kelakuan yang berunsurkan kerjasama untuk kebaikan bersama yang telah wujud dan diamalkan dalam agama dan budaya masyarakat kita. Ia merupakan usaha yang berterusan supaya dapat menangkis ancaman-ancaman dalam era globalisasi ini. Kalau tidak dikukuhkan ikatan perpaduan, sekolah akan bergerak bersendirian tanpa sokongan masyarakat.




Dalam rangka membentuk perpaduan di atas, ketiga-tiga entiti di atas perlu memanfaatkan dan menggabungkan potensi jemaah dengan sebaik mungkin untuk menyelesaikan permasalahan yang melanda masyarakat kita seperti dalam, firman Allah dalam surah As-Saff ayat 4 :

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi,seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh".


1.2 Konsep Sekolah

Sekolah sebagai satu sistem sosial yang tersendiri dan menjadi agen perubahan masyarakat seharusnya mengikut perubahan masyarakat. Ini kerana masalah masyarakat merupakan masalah sekolah juga. Maka dalam hal ini, tidak dapat tidak masyarakat perlu bekerjasama dengan sekolah untuk mencapai cita-cita sekolah dan negara (Ibrahim, 2001). Malahan institusi pendidikanlah yang memberikan perkhidmatan yang paling rapat dan berpanjangan kepada hampir semua golongan masyarakat.


1.3 Konsep PIBG

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah organ penting kepada sesebuah institusi pendidikan rendah dan menengah. Fungsi dan tanggungjawab PIBG amat besar serta mencabar, ke arah meningkatkan akses, ekuiti, kecekapan, keberkesanan dan kualiti pendidikan negara yang lebih komprehensif, berwibawa serta bertaraf dunia. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang ditubuhkan di semua sekolah kerajaan adalah bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dan guru di sekolah yang berkenaan. Permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha untuk meningkatkan mutu pengajaran guru dan pembelajaran murid di sekolah, selain mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat (school-home-community partnership). Disamping itu, PIBG juga mempunyai peranan ‘saling lengkap melengkapi’ terhadap fungsi Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menyediakan prasarana, kemudahan, dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid-murid dan guru-guru di sekolah berkenaan.Ia bukan sahaja sebagai entiti yang penting kepada institusi sekolah malah ia menjadi wadah penghubung antara pihak ibu bapa dengan sekolah demi kemajuan pendidikan bersama.


1.4 Konsep Ibu Bapa

Secara ringkas, konsep keibubapaan membawa maksud tanggapan atau pengertian yang berkaitan dengan sikap atau kelakuan ibu bapa. Sikap dan kelakuan tersebut berkaitan dengan cara mendidik anak-anak. Cara ibu bapa mendidik anak-anak bergantung pula pada beberapa situasi seperti usia anak, personaliti anak, pengalaman silam ibu bapa, dan sikap ibu bapa sendiri. Corak mendidik anak biasanya dibahagi kepada tiga bahagian, iaitu:
i. Demokrasi-Mengawal
ii. Batasan-Tiada Batasan
iii. Mesra-Tidak Mesra

Dalam konteks yang lebih luas pula membawa maksud membantu anak-anak dari segi:
i. Perkembangan kemahiran sosial dalam kumpulan.
ii. Pencapaian kejayaan di sekolah.
iii. Perkembangan moral.
iv. Pembelajaran peranan sosial pada masa akan datang.
v. Persediaan menghadapi zaman remaja dan lebih berdikari.
vi. Hak dan tanggungjawab.

Penglibatan ibu bapa dan penjaga dalam program sekolah akan menyebabkan mereka lebih memahami dan mengetahui tentang sekolah dengan lebih dekat. Selain itu mereka akan mengetahui hak mereka dalam sekolah dan bagaimanakah mereka dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam sistem sekolah. Antaranya ialah ibu bapa atau penjaga akan sentiasa memberikan sokongan sepenuhnya kepada program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Pengukuhan ikatan ini merupakan kelangsungan kejayaan konsep perkongsian.


1.5 Senario dan realiti Prestasi akademik Pelajar di Semporna


Banyak telah diperkatakan mengenai gejala-gejala sosial yang dihadapi oleh masyarakat kita. Gejala sosial dilihat sebagai satu perlakuan manusia yang terkeluar dari batas-batas normal dan diterima umum, baik dari aspek agama, sosial serta budaya kehidupan masyarakat (Hamzah 2003). Masalah sosial adalah sesuatu yang merangkumi berbagai perlakuan negatif anggota masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat, komuniti ataupun negara. Secara makronya, di suatu peringkat pertumbuhan ekonomi, kemiskinan dan lain-lain faktor penghasilannya yang negatif dilonggokkan sebagai masalah sosial dan kadangkala juga sebagai masalah ekonomi. Begitu juga dengan proses inter dan intra penghijrahan dan perbandaran, yang sering kali dikaitkan dengan kemiskinan di bandar, kejutan budaya dan jurang pencetus utama kepada perbagai masalah sosial dan sering kali juga dikaitkan sebagai variabel kepada economic dysfunctioning.

1.6 Konsep Perkongsian

Hubungan tiga dimensi iaitu sekolah, rumah dan komuniti perlu diberi penekanan. Ketiga-tiga entiti ini perlu ada hubungan yang mantap dan akrab kerana kejayaan sistem pendidikan negara bergantung kepada sejauh mana ketiga-tiga elemen ini dapat berfungsi, saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain. Pihak pengurusan sekolah boleh memainkan peranan utama dalam merapatkan hubungan antara rumah dan komuniti melalui pelbagai cara selain daripada yang diketahui umum iaitu melalui PIBG.. Selain itu perkongsian pintar atau bijak adalah satu gabungan strategik yang membawa faedah sinergi kepada semua pihak yang terlibat. Dalam konteks sektor awam, perkongsian pintar berlaku apabila agensi-agensi berkongsi kepakaran, mengguna pakai pengalaman atau produk dalam sesuatu bidang yang telah terbukti berjaya dan sesuai. Berkaitan dengan konsep “Smart Partnerships” atau perkongsian bijak atau pintar adalah konsep “Smart community”. Konsep ini merujuk kepada satu kumpulan masyarakat di mana agensi kerajaan, perniagaan, pendidikan, kesihatan dan institusi-institusi bukan kerajaan bersama-sama dengan orang awam dalam memahami dan menghayati potensi teknologi informasi untuk memperbaiki kerja dan cara hidup.

Ini menunjukkan penyertaan masyarakat dalam proses sekolah boleh membawa erti kepada mereka kerana dapat menyumbangkan bakti dan memahami tentang sekolah sebagai institusi sosial yang kompleks. Selain itu pihak masyarakat boleh mengetahui sumber-sumber di sekolah seperti peralatan, guna tenaga dan sebagainya yang memerlukan bantuan daripada masyarakat. Malahan masyarakat juga akan memiliki ‘sense of belonging’ dan ‘collegiality’ dalam proses sekolah. Perasaan dan sikap yang sedemikian rupa penting dalam mencapai ‘effectiveness, improvement and change’.(Salbiah, 2001).


1.6.1 Matlamat Perkongsian

Konsep perkongsian mempunyai masa depan yang cerah untuk dilaksanakan dalam sistem sekolah. Konsep ini sebenarnya saling lengkap-melengkapi atau Bantu membantu yang memang sesuai diamalkan dalam masyarakat di Malaysia. Oleh itu matlamat perkongsian peranan antara pihak sekolah dengan ibu bapa memberi matlamat seperti di bawah;
a. Sekolah sebagai sebuah institusi sosial tidak wujud bersendirian. Oleh itu permuafakatan bersama masyarakat penting dalam membawa kejayaan.
b. Sekolah sebagai sebuah institusi sosial yang kompleks, perlu difahami oleh masyarakat dengan menyertainya supaya tidak timbul keraguan dan salah faham.
c. Cabaran-cabaran yang melanda masyarakat kita pada masa kini, terutamanya aksi globalisasi memerlukan keprihatinan dan permuafakatan antara pihak sekolah dan komuniti dalam mengatasinya.

1.6.2 Strategi Konsep Perkongsian dalam mengatasi masalah moral pelajar

Kesedaran dan kepekaan pihak-pihak yang berwajib terhadap punca-punca kemerosotan akhlak dan pentingnya peranan pendidikan di dalam membentuk generasi yang berakhlak selari dengan rentak pembangunan negara tidak dapat dipertikaikan lagi. Pelbagai dasar, sistem, perancangan strategik dan program yang dilaksanakan dalam amalan pendidikan di negara ini memberikan gambaran yang jelas terhadap komitmen pihak kerajaan untuk melahirkan generasi rakyat Malaysia yang memiliki keperibadian yang mulia dan seimbang. Selaras dengan komitmen tersebut, Kementerian Pendidikan juga telah menggubal konsep pendidikan bersepadu yang dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah bertujuan untuk mencapai hasrat pembentukan “insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan”. Di samping itu, beberapa mata pelajaran khusus ditawarkan bagi membentuk akhlak dan moral pelajar seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral (teras sekolah rendah dan menengah), Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan Tasawwur Islam (elektif sekolah menengah).

Sekolah juga perlu mewujudkan hubungan yang baik, rapat dan telus dengan masyarakat atau komuniti sekolah. Ini termasuklah ibu bapa pelajar, masyarakat sekitar sekolah, polis, pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan. Apabila jalinan pertalian ini semakin lemah, risiko keganasan akan semakin bertambah dan peluang untuk membantu pelajar yang berisiko tinggi akan semakin menurun. Pihak sekolah boleh mendapatkan kerjasama daripada pihak polis, RELA dan ibu bapa untuk membuat rondaan di kawasan-kawasan yang difikirkan berisiko dari segi keselamatan. Dari semasa ke semasa sekolah perlu memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga mengenai perkembangan persekolahan.

Peranan sekolah sebagai agen kawalan sosial sama ada ianya secara formal ataupun informal sangat nyata. Kurikulum sekolah telah mendedahkan murid-murid kepada perlakuan-perlakuan yang patut dan yang tidak patut misalnya melalui penerapan nilai-nilai murni dalam setiap mata pelajaran. Nilai-nilai yang diterapkan itu adalah bersesuaian dengan norma-norma masyarakat dan ideologi negara. Konsep Pendidikan dan Budaya Sekolah sebagai warisan sosial manusia, cara pemikiran, perasaan dan aksi–aksi yang dipindahkan daripada generasi ke generasi merangkumi budaya material dan bukan material. Budaya adalah hak masyarakat kerana masyarakat ditakrifkan sebagai sekumpulan manusia yang hidup dalam satu wilayah dan mempunyai budaya yang sama. Komponen–komponen budaya akan menentukan bentuk tingkah laku yang dijangkakan bagi anggota–anggota masyarakat . Sesetengah remaja hidup tidak ubah seumpama buih di air bah ataupun daun-daun lalang. Begitu mudah terpengaruh dengan budaya luar. Kerana itu apabila wujud kumpulan-kumpulan tertentu yang berusaha memesongkan kepercayaan mereka, mereka mudah terperangkap. Lebih-lebih lagi dengan adanya sogokan seks bebas, habuan wang ringgit dan kumpulan yang dianggotai yang menjadi kebanggaan. Kegiatan kumpulan ini terus menerus menular melalui risalah juga cakera padat yang mudah didapati. Kerenah birokrasi dalam keluarga juga memainkan peranan dalam mempengaruhi pelajar tercebur dalam kumpulan Black Metal. Oleh kerana bilangan adik-beradik yang ramai, ibu bapa atau ketua keluarga selalu melebih-lebihkan anak-anak yang tertentu dalam segala perkara membuatkan pelajar ini terasa hati dan akhirnya terpengaruh dengan desakan kawan-kawan ke arah yang negatif.

Sekolah yang selamat memerlukan penglibatan komuniti (Necholson et al,1985). Oleh itu, sekolah perlu menubuhkan dan memanfaatkan sepenuhnya penubuhan Jawatankuasa Permuafakatan Sekolah, Jawatankuasa Keselamatan Sekolah atau PIBG dalam merancang langkah-langkah keselamatan pelajar. Contohnya, Briged Komuniti yang telah ditubuhkan di sekolah-sekolah di Johor sejak tahun 1991 yang dianggotai oleh wakil-wakil komuniti seperti PIBG, RELA, Polis, Pejabat Kesihatan, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Pemadam, pertubuhan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berfungsi antaranya untuk membantu pihak sekolah menangani masalah disiplin dan mempertingkatkan aspek keselamatan sekolah wajar diteruskan dan diperluaskan peranannya. Melalui penubuhan kelab Pencegahan Jenayah pula, hubungan kerjasama antara sekolah dan pihak polis dapat dijalin untuk membanteras perbuatan jenayah seperti gengsterisme sama ada di dalam atau di luar sekolah (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.7/1999).

Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasi masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukan moral yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak.

Peranan ibu bapa sebagai ketua keluarga sepatutnya berlaku adil dalam mengendalikan keluarga. Apabila keadaan sudah menjadi serius pelajar berkenaan sukar untuk dilenturkan dan ibu bapa baru sedar betapa anak mereka sudah terlanjur dan sudah tidak boleh dinasihati lagi. Malah apabila ibu bapa cuba untuk menegur atau memarahi, pelajar pula yang akan melawan dan memarahi ibu bapanya. Pada masa inilah tiada gunanya menyalahkan orang lain atau masyarakat kerana yang salah dan menjadi penyebab fenomena tersebut diatas berlaku ialah diri sendiri. Oleh itu berwaspadalah dalam mengendalikan keluarga terutama apabila anak-anak sedang membesar agar mereka menjadi insan yang baik dan sempurna. Setiap tindak- tanduk anak-anak perlu diawasi oleh ibu bapa supaya mereka tidak terlibat dalam kegiatan Black Metal. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan antara mekanisme penting dalam mewujudkan pendidikan yang berkualiti di sekolah. Menerusi PIBG, banyak program dan langkah boleh diatur dalam mengatasi pelbagai kekangan yang boleh mencacatkan iklim pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah.

Salah satu peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai orang tengah antara guru dan ibu bapa. Banyak salah faham yang timbul antara kedua-dua belah pihak apabila berlakunya kejadian salah laku di kalangan pelajar. Kebanyakan ibu bapa lebih percaya akan kata-kata dan acuman anak-anak berbanding fakta sebenar daripada pihak guru. Bertolak dari situlah mereka mulai memandang serong kepada guru. Guru sering kali disalahkan untuk segala yang berlaku di sekolah. Ini termasuklah soal prestasi akademik dan masalah disiplin di kalangan pelajar. Ekoran itu, mereka mulai memulaukan sekolah dan mendendami guru tertentu. Namun dengan inisiatif PIBG, semua bentuk salah faham ini boleh diuraikan. Perbincangan yang lebih kerap, selain mesyuarat tahunan PIBG mampu menjernihkan suasana.. Hasilnya, situasi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.

Selain itu, PIBG sebagai sebuah organisasi yang berwibawa boleh menubuhkan tabung pendidikan untuk para pelajar di sesebuah sekolah. Tabung ini boleh diisi bukan sahaja menerusi sumbangan ahli persatuan bahkan juga oleh ahli korporat dan individu tertentu. Dana yang terkumpul ini boleh digunakan untuk kebajikan dan manfaat sekolah dan para pelajar. Ini termasuklah sumbangan kepada pelajar miskin, yatim dan ditimpa kemalangan. Dengan dana yang ada, prasarana pendidikan di sekolah dapat ditambah dan ditingkatkan. Hasilnya, para pelajar dan warga sekolah amnya dapat memaksimumkan tenaga ke arah kecemerlangan dalam pendidikan dan sekali gus merealisasikan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP) yang dicita-citakan.

Di samping itu, PIBG juga boleh mengadakan seminar dan kem motivasi untuk para pelajar di setiap sekolah. Program seperti ini penting demi memberi kesedaran dan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dan berjaya. Pelajar yang bermasalah pula boleh disedarkan menerusi kem bina semangat dan kaunseling. Dengan langkah ini, mereka diharapkan akan berasa insaf dan kembali bersaing dengan rakan-rakan dalam pelajaran. Ekoran itu, kita bukan sahaja dapat mengurangkan gejala salah laku atau meningkatkan prestasi akademik pelajar, malahan sekolah akan dapat melahirkan generasi muda yang bersahsiah tinggi.

Peranan lain yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai pemantau dan penilai terhadap perjalanan sekolah. Dengan kata lain, ahli PIBG boleh berfungsi sebagai penilai terhadap prestasi sekolah sama ada dalam hal-hal akademik mahupun kokurikulum. Susulan daripada itu, perbincangan boleh diadakan dari semasa ke semasa dengan pihak sekolah demi mengatasi sebarang kelemahan dan masalah yang dihadapi. Di samping itu, pihak persatuan juga boleh berfungsi sebagai penjamin atau penyelamat kepada guru sewaktu menjalankan tugas di sekolah. Hal ini wajar dilakukan kerana ramai kalangan guru berasa tertekan dan terancam apabila menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik. Kejadian memukul, mengancam, memusnahkan kereta dan membakar rumah guru merupakan gejala yang boleh mematahkan semangat guru. Tindakan PIBG membela nasib guru yang menjulang amanah ini akan menjadikan mereka lebih bersemangat dan selesa ketika bertugas. Ini secara tidak langsung dapat membantu sekolah meningkatkan pencapaian dalam semua bidang.

Akhir sekali, PIBG boleh juga mengadakan beberapa sesi gotong-royong di sekolah, misalnya gotong-royong menyiapkan bangunan tambahan, membina Taman Sains sekolah dan sebagainya. Gotong-royong yang diadakan ini bukan sahaja akan dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa dan pelajar, malahan juga dengan guru di sekolah. Hubungan yang mesra ini mampu melenyapkan prasangka antara ibu bapa dengan guru. Hasilnya, akan wujud kerjasama lain antara mereka. Dengan itu, segala bentuk program yang dirancang oleh sekolah akan berjalan dengan lancar. Ini sudah pasti membantu sekolah melahirkan lebih ramai pelaj ar yang berkualiti pada masa hadapan. Sesungguhnya PIBG dan sekolah ibarat ‘aur dengan tebing’ yang perlu saling membantu. Dengan kerjasama erat kedua-dua pihak sahaja kualiti pendidikan di sekolah dapat ditingkatkan.

Program Parent’s Touch (sentuhan keibubapaan) ini, dengan misi memberi peluang kepada para ibu bapa yang mempunyai kebolehan dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu seperti kedoktoran, kejuruteraan, jurubina, akauntan, peguam dan sebagainya yang difikirkan sesuai untuk dijadikan role model kepada pelajar-pelajar sekolah ini, dalam meneruskan cita-cita dan harapan mereka ke arah masa depan yang cemerlang .Program ini yang dilaksanakan oleh ibu bapa pelajar sendiri akan memberikan peluang kepada para pelajar untuk berhubung secara langsung dengan individu yang terlibat dengan kepakaran kerja yang mereka kehendaki, dengan tujuan mengetahui lebih lanjut persiapan-persiapan diri yang perlu, mata pelajaran-mata pelajaran yang perlu diberi tumpuan, kaedah-kaedah sistematik belajar, pengalaman individu yang terlibat, tugas-tugas khas mereka dan pengalaman hidup dan pekerjaan mereka. Persatuan Ibu Bapa dan Guru berharap ianya akan dapat mencabar minda, menarik minat dan memberikan motivasi yang tinggi kepada pelajar. Mempunyai hala tuju dan misi yang terarah dan jelas. Di samping cemerlang dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi dan akhirnya dapat membantu menjulang kecemerlangan Sekolah.

1.7 Rumusan strategik

Sifat Islam sebagai Deen ul Fitrah (agama fitrah) yang datang untuk menjadi panduan kepada manusia sama ada lelaki mahupun perempuan adalah merupakan satu bukti yang nyata bahawa tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini dipikul bersama oleh muslimin dan muslimat. Kebanyakan perintah-perintah yang terdapat di dalam Al-Quran adalah bersifat umum yang merangkumi lelaki dan perempuan dan Islam tidak sama sekali pun membezakan antara mereka dari segi tanggungjawab di atas muka bumi mahu pun pembalasan di akhirat nanti.

Setelah kita berusaha untuk membentuk diri kita dengan sesempurna mungkin untuk memikul tanggungjawab ini, setiap individu mestilah berusaha untuk memanggil ke arah perlaksanaan cita-cita Iman dan Islam tadi ke dalam realiti. Keindahan dan kesempurnaan Islam tidak akan terbukti kalau hanya setakat teori dan cita yang tidak dicernakan ke dalam waqi' (realiti). Tugas mencernakan ajaran Islam dan mengajak manusia bersama untuk beriman inilah yang dikenali sebagai dakwah.

Di dalam konteks dah'wah, di sana ada 3 marhalah (peringkat) yang mesti dilalui untuk menjamin keberkesanan usaha yang dilakukan. Marhalah-marhalah tersebut adalah marhalah ta'rif (pengenalan), marhalah takwin (pembentukan), marhalah tanfiz (perlaksanaan). Di sini kita akan cuba menghuraikan peranan masyarakat sebagai pelaku dalam mengisi ketiga-tiga marhalah tadi.

1. Marhalah Ta'rif

Yang dimaksudkan sebagai ta'rif adalah pengenalan dalam konteks penyediaan masyarakat yang faham, beramal dengan apa yang difahaminya dan seterusnya berjihad dan beristiqamah pula dalam jihadnya. Untuk mengisi tuntutan ini maka hendaklah setiap komuniti masyarakat tadi berusaha untuk:
Melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah azza wa jal dengan pembentukan iman dan aqidah yang benar. Proses ini berlaku apabila masyarakat tadi berusaha dan bersungguh dalam ibadat dan hubungannya dengan Allah azza wa jal melalui ibadat dan ketaatan seperti yang telah diwajibkan.

Melahirkan insan yang faham akan konsep Iman dan Islam yang menyeluruh sepertimana firman Allah azza wa jal:

"Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu mengikut jejak-jejak syaitan". Surah Al Baqarah ayat 208.

Melahirkan insan yang memiliki as syakhsiyah al-islamiyyah (personaliti sebagai seorang Muslim) yang contoh ikutannya adalah Rasulullah SAW. Syakhsiyah ini adalah berbentuk kamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi) dan setiap ahli masyarakat hendaklah menyedari bahawa kita sekarang sedang membawa risalah dan setiap gerak geri kita adalah diperhatikan. Pastikanlah bahawa syakhsiyah kita tadi tidak akan menimbul fitnah terhadap Islam yang hendak kita bawa dan tarbiyyah yang sedang kita lalui.

2. Marhalah Takwin

Setelah menjalani proses ta'rif, setiap ahli masyarakat hendaklah berpindah pula kepada marhalah takwin. Di dalam marhalah ini mad'u (mereka yang dida'wahkan) hendaklah dibawa mengenali konsep amal jamaie (beramal dan bergerak dalam bentuk jamaah). Islam tidak pernah dan tidak akan dapat ditegakkan oleh individu atau pengasingan diri dari masyarakat. Individu tadi hendaklah memiliki dan mengujulkan intima' dan iltizam (commitment) yang menyeluruh terhadap Islam, dah'wah dan harakah Islamiyyah (gerakan Islam).

Dalam peringkat ini hendaklah dibentuk sifat mas'uliyah fardiyah (tanggungjawab) yang tinggi. Masuliyah ini adalah masuliyah yang melahirkan sifat muraqabah (merasakan bahawa Allah sentiasa memerhatikannya) yang akan mengakibatkan individu tadi jujur pada dirinya, jujur pada Allah dan jujur pada perjuangan yang didokonginya. Kita tidak mahu dalam marhalah ini akan timbul permasalahan furu' (cabang) dibawa menjadi isu yang mengakibatkan kita menjadi golongan al mutasaqitin (golongan yang gugur).

Dalam marhalah ini kewujudan baitul muslim (rumah tangga Islam) sebagai nukleus terpenting dalam masyarakat adalah merupakan satu tuntutan. Setiap ahli masyarakat berperanan untuk memastikan rumah tangganya hidup dalam suasana Islam dalam semua aspek. Dalam hubungan ini setiap ahli masyarakat berperanan untuk menjadi as solehah (i yang solehah), yang taat dan pendorong utama kepada perjuangan Islam dan juga berperanan besar untuk memastikan tarbiyatul aulad (pendidikan anak-anaknya) berjalan dalam suasana yang Islamik.

3. Marhalah Tanfiz

Marhalah ini adalah marhalah yang terpenting yang merupakan ujian sebenar terhadap komitmen setiap ahli masyarakat terhadap pengisian dan kefahamannya terhadap Islam. Islam yang hanya sekadar diteorikan tidak akan mendatangkan sebarang hasil. Dalam marhalah ini, 3 unsur utama yang harus diperhatikan adalah:

Al Iman al 'amiq: Iman yang mendalam.
Tanzim ad daqiiq: Penyusunan organisasi gerak kerja yang teratur lagi menyeluruh.
. Al amal mutawasil: Kerja dan komitmen yang dibuat berterusan dan bukan hanya kerana masa yang tertentu, kawan atau suasana.

Dalam marhalah ini, setiap ahli masyarakat tidak lagi dapat menyendirikan diri untuk membawa perubahan dalam masyarakt. Panduan Al Quran dengan jelas memerintahkan pejuang Islam untuk berada dalam satu saf yang tersusun rapi:

"Sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berjuang di jalanNya dalam satu saf seolah-olah batu-bata yang tersusun rapi..." AS SAFF: 3.

Marhalah ini mengajak setiap ahli masyarakat untuk keluar di tengah-tengah medan dan bersama mengangkat panji-panji Islam untuk ditegakkan di tengah-tengah kejahilan ummah. Marhalah ini adalah marhalah muwajahah (berdepan) dengan realiti perjuangan dah'wah yang akan mengajak kepada pengorbanan yang sebenarnya. Tidak ada di sana sebarang perjuangan yang tidak ada pengorbanan. Pengorbanan dalam dah'wah adalah terlalu luas dan banyak bidangnya yang mengajak kita untuk mengurus dan mentadbir diri kita ini dengan sebaik-baik tanzim.

1.8 Kesimpulan

Sesungguhnya konsep perkongsian atau perkongsian bijak dalam pendidikan di Malaysia amnya boleh memberi keyakinan pelbagai pihak tentang ke mana arahnya generasi pelapis negara kita pada masa depan. Perkongsian tersebut hendaklah dimanfaatkan oleh masyarakat dengan tidak memandang serong tentang kegiatan yang akan dilaksanakan demi kebaikan bersama. Memandangkan konsep perkongsian ini adalah selari dan seiring dengan budaya, pemikiran dan agama masyarakat di Malaysia, penyertaan sekolah dan komuniti luar sekolah dalam satu kontinum perkongsian akan menghasilkan ‘win-win situation’.

Rujukan

Aminah Hamim & Gunawan Mahmood (2001). Buku madah bestari cinta negara. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. Kuala Lumpur.
Ibrahim Mamat (2001). Pengetua sekolah: Menangani isu dan cabaran kepimpinan. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Kementerian Pendidikan Malaysia. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.7/1999. Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah di Sekolah Menengah.
Nicholson, G., Stephen, R., & Leavitt, V. (1985). “ Safe Schools: You Can’t Do It Alone”.Phi Delta Kappan, Volume 66, Number 7, pg 491-496.
Salbiah Ismail (2001). Kepengetuaan dalam konteks sekolah bestari. Seminar Kepengetuaan Kebangsaan Ke 2. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Tafsir AlQuran.

No comments: