Monday, December 28, 2009

MEMBINA KEKUATAN DIRI


Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan menunaikan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya, mudah-mudahan kita tergolong di dalam golongan orang yang paling bertakwa.


Aqidah yang mantap ditunjangi oleh iman yang kukuh adalah sumber kekuatan dalaman diri insan. Ia mendorong seseorang untuk berfikir, berusaha, bekerja, beramal ibadat dengan penuh yakin dan bersungguh-sungguh. Ia juga menjadikan seseorang mampu berhadapan dengan sebarang halangan dengan penuh tabah, mampu berdepan dengan apa jua dugaan dengan penuh sabar pasrah. Itulah keajaiban iman.

Iman yang terpahat kukuh dalam hati, akan terpancar dalam tingkah laku seseorang. Jika ia bekerja, ia akan melaksanakan kerjanya itu dengan penuh tekun dan bertanggungjawab. Jika ia bercakap, ia yakin dengan apa yang diucapkan. Jika ia beribadat, ia akan menunaikannya dengan penuh ikhlas dan ihsan. Jika ia berjanji, ia akan menunaikan janjinya dengan penuh jujur. Jika ia berjuang, ia tegas dalam perjuangannya. Firman Allah SWT :

"Katakanlah: "Wahai kaumKu, buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang agama Islam yang Aku sampaikan itu), Sesungguhnya Aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh ( untuk mengembangkannya), kamu kelak akan mengetahui. Siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya serta akan ditimpakan kepadanya azab yang berkekalan?". (Az-Zumar:39-40)



Membina kekuatan diri yang berpaksikan kepada kekuatan aqidah dan keutuhan iman adalah satu tanggungjawab setiap orang Islam. Kekuatan diri seseorang muslim, menjadikan ia sangat dicintai oleh Allah SWT. Sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyentuh perkara ini :
"Daripada Abi Hurairah r.a bahawasanya ia telah bersabda :
Seorang mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada seorang mukmin yang lemah, dan pada masing-masing terdapat kebaikan, utamakan apa yang memberi faedah kepada kamu dan mohonlah pertolongan dari Allah dan jangan kamu menjadi lemah. Kalau kamu ditimpa sesuatu janganlah berkata : Kalau aku lakukan begini sudah tentu akan berlaku, tetapi katakanlah : Ia takdir Allah, apa yang dikehendaki Allah dilakukanNya, kerana sesungguhnya perkataan (kalau) membuka pintu perbuatan syaitan". (Riwayat Muslim)


Dalam hadis yang dibacakan tadi, sudah ada beberapa saranan untuk menjana kekuatan diri :

1- Utamakan apa yang memberi faedah kepada diri sendiri, antara contohnya : Ibadat, ilmu, harta yang halal, pembantu dan sahabat yang baik, keturunan yang soleh, sifat-sifat mahmudah dan banyak lagi. Segala-galanya itu jika diutamakan akan memberikan kekuatan kepada diri seseorang.
2- Mohon pertolongan dari Allah. Dalam suasana apa sekalipun Allah SWt mesti dijadikan tempat pergantungan bukannya kepada makhluk Nabi Yaakob r.a pernah melakukannya seperti firman Allah SWT : "Dan kepada Allah jualah dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu".(Yusuf: 18)
3- Jangan menjadi lemah, kuatkan azam, utuhkan keyakinan dalam menghadapi apa jua suasana dan perubahan.
4- Jangan berlaku begitu begini dalam menghadapi apa jua ujian atau bencana, kerana 'KALAU' tidak akan menghasilkan apa-apa natijah.
5- Jangan memberi laluan kepada syaitan untuk menguasai diri kita, antara caranya ialah sentiasa memohon perlindungan kepada Allah SWT diri syaitan, banyakkan zikir mengingati Allah SWt kemudian bertawakal kepadaNya.


Manusia sebagai makhluk sebaik-baik kejadian, dianggap sebagai penguasa ke atas makhluk lain kiranya dia seorang insan yang baik dan mempunyai kekuatan diri. Sebaliknya dia akan dilaknat dan dihina di langit dan di bumi, malah ia lebih ringan dari debu yang berterbangan, kiranya ia hina dan lemah.

Seorang muslim yang kuat, akan dipandang sangat hebat dan perkasa oleh makhluk lain. Oleh itu dia wajib merasakan dengan kekuatan iman dan keyakinan yang ada dalam jiwanya. Nabi Allah Musa a.s yang telah memperlihatkan kekuatan jasmaninya dan juga kekuatan rohani yang dihiasi pula dengan sifat-sifat terpuji, telah menarik perhatian dua orang anak gadis Nabi Allah Syuib a.s, salah seorang mereka telah mencadangkan kepada ayah mereka agar Musa diambil untuk bekerja dengan mereka seperti yang telah disebutkan oleh Al-Quran :

" Salah seorang anak Nabi Syuib berkata : "Wahai ayah, ambillah dia menajdi orang upahan (mengembala kambing kita), Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah". (Al-Qasas: 26)



Jika seseorang muslim itu lemah imannya dan lemah dirinya, nescaya akan dihinggapi penyakit-penyakit lemah yang lain, antaranya :

1- Lemah semangat yang menjadikan dia seorang yang tidak bermaya dalam menjalani kehidupannya.
2- Takut menghadapi cabaran, menjadikan dia seorang yang sentiasa ketinggalan daripada orang lain.
3- Tidak teguh pendirian, mudah tewas dan sentiasa kalah dalam apa jua persaingan.
4- Was-was, tidak tahu menilai mana yang benar dan mana pula yang salah. Tidak berani melaksanakan tuntutan agama iaitu amar maaruf dan nahi mungkar.
5- Bakhil, sentiasa dibayangi perasaan takut kehilangan hartanya jika ingin menderma atau sebagainya.


Umat Islam hari ini gagal berperanan sebagai peneraju dunia, mereka gagal berfungsi sebagai pemacu tamadun dunia, sedangkan 800 tahun yang lampau, kedua-dua peranan ini berada di tangan orang Islam. hari ini kita tertinggal dalam bidang ekonomi, sedangkan 2/3 kekayaan bumi berada dalam dunia Islam. Kita ketandusan ilmu, sedangkan dahulu kita adalah pencetus dan pemangkin ilmu. Umat Islam juga tercicir dalam perlumbaan kecanggihan sains dan teknologi. Dalam diri umat Islam wujud berbagai-bagai nilai dan andaian negatif yang tidak selayaknya ada dalam diri muslim yang kuat.

Apa sudah jadi dengan umat Islam?, jawapannya tidak lain seperti yang pernah diperingatkan oleh Rasulullah SAW, mereka ditimpa penyakit Al-Wahn - lemah yang menyebabkan mereka sangat sayangkan dunia dan bencikan kematian.


Marilah kita merenung kata-kata Sheikh Muhammad Al-Ghazali seorang tokoh pemikir Islam yang tersohor :

" Di antara cara yang membolehkan seseorang muslim itu menjadi gagah dan kuat ialah dengan menjauhkan diri dari kehidupan maksiat dan berpeleseran, sebaliknya hendaklah membiasakan dirinya dengan kehidupan yang bersih lagi lurus, kerana seorang yang tidak punya kehormatan dan dan maruah diri, orang itu bukanlah orang yang kuat, walaupun ia memakai pakaian hulubalang dan menjadi pengikut Raja".

" (Ingatlah) ketika orang munafik dan orang yang ada penyakit dalam hatinya (merasa ragu) berkata, " mereka (muslimin) itu telah ditipu oleh agama mereka (kerana mereka keluar untuk memerangi kami yang lebih besar bilangannya)". (Hakikatnya) sesiapa yang bertawakal kepada Allah (dengan sebenar-benarnya), maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Al-Anfaal:49)


Ya Allah, Engkaulah tuhan yang Maha Berkuasa, kami bersyukur kehadratMu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju dan sejahtera. Jesteru kami pohon kehadratMu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianMu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

1 comment:

aku HIV positif said...

salam,
n3 yg sgt bagus.
mohon dikongsi.
t kasih