Sunday, November 29, 2009

Bila wanita menjaga aurat



Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya.Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak.

Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia. Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Sama ada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekali gus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan mahramnya. Sekali gus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan mahramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian. Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apa pun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Sama ada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita Muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful."

Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

Selamat beramal.

Sunday, November 22, 2009

Bangunlah Jiwa Yang Tidur



Puji syukur bagi Allah; Tuhan alam semesta. Salawat dan salam atas junjungan kita; Muhammad Al-Mushtofa, dan atas keluarganya yang mulia serta sahabat-sahabatnya yang terpilih. Salam kepada para pengunjung rumah Allah Swt., kepada para tamu tanah kekasih, dan kepada para penyambut seruan-Nya! Juga salam khusus kepada hati-hati yang kembali segar dari mengingat Allah, dan yang masih mengetuk pintu limpahan kurnia dan rahmat-Nya! Pada hari-hari ini, pada malam-malam ini, dan pada detik-detik yang mulia ini, betapa banyak manusia yang dengan penuh kesedaran jiwa melepaskan diri mereka dalam pesona spiritual, dan menerangi hati dan jiwa mereka dengan bertaubat dan insaf. Mereka membersihkan karat-karat dosa dan kesyirikan dari diri mereka di tengah gelombang rahmat Allah yang datang silih berganti. Salam mulia Allah kepada hati-hati ini, kepada segenap pemilik hati-hati yang bersih.

WAHAI JIWA YANG TIDUR,
BANGUNLAH DARI TIDUR YANG PANJANG,
DARI KELEKAAN DUNIA YANG FANA
DARI MATI HATI YANG KELAM,
TIDAK KAU SEDAR BAHAWA RAHMAT ALLAH TERLENTANG DI DEPAN MATA MU
TAPI KAU TERUS ASYIK DENGAN DUNIA INI YANG SIFAT SEMENTARA,

WAHAI JIWA YANG TIDUR
BANGUNKANLAH MATA HATI MU
CELIK SELUAS-LUASNYA MATA FIKIR MU
KERANA MASA MU TIDAK LAGI LAMA
MASA MU HANYA SEKELUMIT SAJA
SEBAB ESOK KAU AKAN MENGHADAP ALLAH DENGAN TANGAN KOSONG
MAKA DI NERAKA LAH KAU DITEMPATKAN SELAMA-LAMANYA


Salam puisi di atas satu manifestasi kedalangan jiwa kita yang tidak pernah sedar bahawa kehidupan singkat ini hanya platform untuk kita hidup di alam akhirat yang kekal abadi. Oleh itu saya berpesan kepada diri saya dan seluruh pembaca marilah kita pertingkatkan amalan dan berdoalah seperti mana beberapa doa para sahabat iaitu:
Ya Allah tolong aku untuk sentiasa berbuat ibadah baik kepada Mu, tolong aku untuk sentiasa mensyukuri nikmat Mu dan tolong aku untuk sentiasa mengingati Mu.


KEPENTINGAN MENGHIDUPKAN MALAM

FIRMAN Allah bermaksud:

“Wahai orang yang berselimut, bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat). Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada separuh itu. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan ‘Tartil’ (perlahan-lahan). Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (wahyu yang mengandungi perintah yang berat). Sesungguhnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya”. (Surah Al-Muzzammil, ayat 1-6)

Umat Islam dianjurkan melaksanakan qiamullail (tahajud) pada bahagian akhir malam sebagai manifestasi kesyukuran kepada Allah atas segala nikmat-Nya yang begitu banyak dikurniakan kepada kita. Sesungguhnya solat pada akhir malam akan melahirkan kekuatan jiwa, memperkukuhkan keinginan dan azam untuk patuh serta taat kepada Allah.

Beribadat dan bermunajat kepada Allah pada malam hari, di kala insan lain sudah lama nyenyak dibuai mimpi indah. Ia suatu gambaran keikhlasan kepada Allah dan seterusnya membebaskan diri dari sifat riak yang boleh membakar seluruh amalan kebajikan.

Bermunajat dengan melaksanakan tahajud pada malam hari mengecewakan syaitan yang tidak jemu menggoda dengan pelbagai bisikan dan mendodoi manusia supaya terus lena hingga ke pagi hari.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Ketika kamu tidur, maka datanglah syaitan dengan mengikat ubun-ubunmu dengan tiga ikatan. Dan apabila ia terjaga dengan menyebut nama Allah, maka terlepaslah satu ikatan, jika ia terus berwuduk maka terlepaslah ikatan kedua, kemudian apabila diikuti dengan solat Qiamullail, maka terlepaslah ikatan yang ketiga dan pada waktu pagi berada dalam keadaan segar dan giat, jika tidak berbuat demikian, maka akan kencinglah syaitan dalam kedua-dua telinganya.” (A-Misykuh)

Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan kita berhati-hati supaya tidak diperdayakan syaitan laknatullah, jiwa yang tergoda dengan syaitan akan timbul sifat malas untuk melaksanakan ibadat, hati menjadi keras dan liat untuk mendengar serta mendekati ilmu keagamaan.

Daripada Ibnu Mas’ud katanya,

“Sudah disebut perihal lelaki di hadapan Nabi SAW. Katanya, lelaki itu berterusan tidur hingga subuh dan tidak bangun sembahyang lalu Nabi bersabda: “Sesungguhnya lelaki itu dikencing oleh syaitan di dalam telinganya.” (Hadis riwayat Syaikhan dan an-Nasa’i)

Oleh demikian, menghidupkan malam hari dengan bertahajud dan bermunajat kepada Allah akan mendapat kasih sayang dari Allah dan kasih sayang Allah itu terpancar dari-Nya melalui sikap serta tindakannya.

Segala sikap dan tindakannya sentiasa di dalam pemeliharaan Allah, yang seterusnya orang lain pula apabila melihatnya akan timbul perasan kasih dan hormat akibat pancaran kasih sayang Allah kepadanya.

Firman Allah bermaksud:

“Dan (dengan yang demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempat kepada mereka), kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemeliharaan serta pengawasan Kami. Dan bertasbihlah menemui Tuhanmu semasa engkau bangun. Dan juga hendaklah engkau bertasbih kepada-Nya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang tenggelam (pada waktu subuh)”. (Surah al-Thur, ayat 48-49)

Allah menyediakan banyak pengurniaan-Nya terhadap orang yang sanggup menukar tempat tidur dan masa istirehatnya, tilam yang empuk, bangun dalam kesejukan untuk bersuci dan terus beribadah kepada Allah, dijanjikan kedudukan yang terpuji baik di dunia mahupun akhirat.

Sejarah lampau membuktikan bahawa Salahuddin Al-Ayubi seorang pemimpin tentera Islam dalam peperangan Salib hanya memilih orang yang mengerjakan qiamullail untuk bertempur di medan peperangan kerana mereka ini memiliki kekuatan jiwa dan keteguhan peribadi yang tinggi. Hasilnya, pihak Islam menang dalam peperangan itu.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW menjelaskan bahawa barang siapa bersolat pada malam hari dengan sanggup bersengkang mata melaksanakan solat tahajud, Allah akan memberi sembilan kurniaan kepadanya. Lima kurniaan di dunia dan empat lagi di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW, daripada Umar bin al-Khattab yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan solat malam, dan dia membangunkan solat, maka Allah memuliakan dia dengan sembilan perkara: Lima perkara di dunia dan yang empat lagi di akhirat.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menyahut tawaran Allah untuk bangun menunaikan qiamullail iaitu ganjarannya terlalu besar nilainya, lebih besar dan bernilai dari dunia ini dan segala isinya. Janganlah sampai ayam yang tidak berakal itu lebih pintar dan lebih baik daripada kita. Seperti nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya, “Wahai anakku, janganlah engkau tidur di kala ayam jantan berkokok pada waktu fajar.”

Tuesday, November 17, 2009

Rasa Redha Hilangkan Kesedihan



Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya;
"Kami tidak akan mengatakan, kecuali perkataan yang diredhai Tuhan kami."

Sesungguhnya anda mempunyai satu tugas yang suci, iaitu tunduk dan pasrah bila sesuatu yang ditakdirkan untuk anda telah datang, supaya anda dapat meraih manfaat dan akibat yang baik darinya. Dengan redha terhadap takdir, anda akan selamat dari malapetaka saat ini dan kerugian pada masa yang akan datang. Sesungguhnya tiada tempat berlari dari takdir yang telah ditentukan. Satu-satunya jalan adalah anda harus beriman kepada takdir Allah SWT kerana takdir pasti akan berlaku, walaupun anda menanggalkan pakaian dan menguliti tubuh anda.

Dinukilkan dari Harry Emerson Fosdick dalam bukunya 'The Power to See It Through', bahawa dia pernah mengajukan satu pertanyaan:

1. "Dari mana datangnya fikiran yang mengatakan bahawa kehidupan yang indah, tenang dan yang terhindar dari segala kesusahan dan rintangan, akan melahirkan orang-orang yang paling bahagia dan orang-orang yang sangat terkemuka?

2. "Sesungguhnya yang terjadi adalah sebaliknya. Orang yang biasa menempatkan dirinya dalam kesedihan akan tetap berada dalam kesedihan walaupun sedang tidur di atas sutera yang lembut.

3. "Sejarah juga telah membuktikan bahawa keagungan dan kebahagiaan boleh diperoleh oleh orang-orang yang berasal dari lingkungan yang berbeza-beza, baik dari lingkungan yang baik, lingkungan yang buruk mahupun lingkungan yang di dalamnya bercampur aduk antara kebaikan dan kejahatan.

4. "Di setiap lingkungan yang berbeza-beza ini, ternyata hidup para tokoh yang memikul tanggungjawab di atas bahu mereka dah pantang dan mengabaikannya."

Orang-orang yang turut mengangkat panji hidayah rabbaniyah pada masa-masa awal dakwah Rasulullah s.a.w adalah justeru para hamba sahaya, orang-orang miskin dan orang-orang yang hidupnya susah. Sebaliknya, orang-orang yang menentang keimanan yang suci itu adalah mereka yang mulia, terhormat dan terkemuka di mata kaumnya. Bacalah maksud firman-firman Allah di bawah ini:

1. Surah Maryam: 73
"Dan, apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang terang (maksudnya) nescaya orang-orang kafit berkata kepada orang-orang yang beriman: 'Manakah di antara kedua golongan (kafir dan mukmin) yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih indah pertemuannya'"
2. Surah Saba': 35
"Dan mereka berkata: 'Kami lebih banyak mempunyai harta dan anak-anak (daripada kamu) dan kami sekali-kali tidak akan diazab'"
3. Al-An'am: 53
"...orang-orang yang semacam inikah di antara kita yang diberi anugerah oleh Allah s.w.t kepada mereka? (Allah s.w.t berfirman): 'Tidakkah Allah s.w.t lebih mengetahui tentang orang-orang yang bersyukur (kepada-Nya)?'"
4. Al-Ahqaf: 11
"Dan orang-orang kafir berkata kepada orang-orang yang beriman: 'Kalau sekiranya dia (Al-Quran) adalah suatu yang baik, tentulah mereka tidak mendahului kami (beriman) kepadanya...'"
5. Al-A'raf: 76
"Orang-orang yang menyombongkan diri berkata: 'Sesungguhnya kami adalah orang yang tidak percaya kepada apa yang kamu imani itu.'"
6. Az-Zuhruf: 31-32
"Dan mereka berkata: 'Mengapa Al-Quran ini tidak diturunkan kepada seorang pembesar dari salah satu dua negeri (Makkah dan Thaif) ini? Apakah mereka yang membahagi-bahagi rahmat Rabbmu...'"

Mungkin saja musibah yang menimpa adalah suatu kebaikan bagi diri anda. Firman Allah di dalam Al-Quran ayat 216 dari surah Al-Baqarah yang bermaksud: "...boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu."

Qadha' Allah s.w.t pasti akan terjadi, baik kepada yang menolak atau yang menerima. Bezanya, orang yang menerimanya akan mendapat pahala dan kebahagiaan, sedangkan yang menolak akan mendapat dosa dan kesengsaraan. Umar bin Abdul Aziz r.a. menulis surat kepada Maimun bin Mahran: "Engkau telah menyampaikan dukacita kepadaku atas wafatnya Abdul Malik. Inilah (qadha') yang selama ini aku tunggu-tunggu, namun ketika musibah itu terjadi, aku tidak boleh menolaknya."

PENGAJARANNYA;
1. Walaupun dengan hanya perkataan, semuanya perlukan keredhaan dari Allah SWT agar mendapat keselamatan dan tidak kerugian.
2. Kita sebagai makhluk Allah SWT harus percaya dan meyakini bahawa setiap takdir yang ditentukan pastinya ada sebab dan peranannya serta sebagai manusia, kita tidak boleh langsung lari darinya.
3. Berasa cukup dan redha mendatangkan kesenangan di dalam hati dan sentiasa rasa bersyukur kepada Allah SWT kerana percaya apa sahaja yang diperoleh padanya adalah yang terbaik untuknya.
4. Kehidupan yang mencabar dan sering berada di dalam kesempitan menjadikan kita lebih mudah bersama berjuang kepada agama Allah, sedangkan mereka yang berada di dalam keadaan yang senang dan selesa berasa sukar untuk dan melakukan sebaliknya.
5. Kehilangan sesuatu bukan bererti tamat segalanya, tetapi memungkinkan keperluan pada sesuatu yang baru Ia adalah ketentuan yang pasti. Percayalah

BELAJAR MENJADI PENDENGAR YANG BAIK



Menjadi pendengar yang baik adalah segala-galanya bagi memulakan komunikasi yang berkesan. Cuba perhatikan kehidupan seharian anda. Cuba perhatikan mereka di sekeliling anda.

Anda akan dapati jumlah mereka yang benar-benar menjadi pendengar yang baik adalah terlalu sedikit. Kajian menunjukkan mereka yang berjaya dalam hidup hampir semuanya merupakan pendengar yang baik. Kerana tidak menjadi pendengar yang baik, maka anak-anak anda bermasalah. Faktor ini juga penyebab keretakan dan pergaduhan rumah tangga. Anda juga mungkin tidak begitu disenangi oleh mereka di sekeliling anda hanya kerana faktor yang sama.

Terdapat dua sebab utama kenapa anda mesti mengetahui rahsia untuk menjadi pendengar yang baik. Pertamanya anda mempelajari apa yang anda tidak ketahui hanya setelah anda sanggup mendengar. Kedua, manusia hanya mengutamakan mereka yang menjadi pendengar yang baik.

"I don't sit on top of a mountain and get these visions of what we ought to do, I have to find out from other people. I have to do a lot of listening".
- Richard C. Buetow -Director of Quality, Motorola Inc.

Mereka yang telah berjaya seperti Buetow juga mengambil langkah untuk menjadi pendengar yang baik bagi membentuk matlamat syarikatnya. Dia tahu bila dia perlu memperkatakan sesuatu, dan bila pula masanya untuk diam dan menjadi pendengar yang baik.

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil untuk anda menjadi pendengar yang baik:
1. Dengar dengan teliti apa yang sedang diperkatakan.
2. Berikan perhatian sepenuhnya.
3. Berikan 'eye-contact'. Lihat tepat ke dalam anak matanya.
4. Anggukkan kepala sebagai tanda gerak balas anda.
5. Ikuti perbualannya dengan berkata, "ya.... ya.. aha".
6. Cuba selami perasaan orang yang sedang bercakap dan hayati ceritanya.
7. Ubah mimik muka anda seiring dengan perkara yang dipertuturkan. Misalnya, jangan pula sesuatu perkara yang sepatutnya anda terkejut tetapi anda buat tidak tahu pula.
8. Elakkan dari mengkritik.
9. Jangan menyampuk dan memotong cerita yang belum selesai.
10. Susuli dengan soalan-soalan sebagai tanda yang anda memang mendengarnya dengan penuh minat.
11. Ulangi apa yang dibicarakan sebagai tanda anda faham atau untuk memastikan apa yang anda fahamkan itu betul.

Anda perlu mempraktikkan kaedah yang diberi di atas setiap hari sehingga ia mula menjadi tabiat baru anda. Perhatikan bagaimana mereka di sekeliling anda mula mengutamakan anda. Anak-anak mula mahu meluahkan perasaan dan berbincang. Suami atau isteri mula mahu lebih berinteraksi. Rakan-rakan mula menjadikan anda teman karibnya. Orang bawahan anda mula menghormati anda sebagai ketua. Begitulah berkuasanya bila anda mahu menjadi pendengar yang baik.

Monday, November 16, 2009

BERDOALAH



Kenapa doa tidak dimakbulkan????
Bahkan di antaranya ada yang sampai putus asa hingga kecewa tak mahu lagi berdoa kerana doanya tak terkabul. Di antaranya "mereka" berfikir bahawa Allah tidak sedikit pun mendengar doa yang dipanjatkan. Benarkah Allah melalaikannya ?. Atau mungkin Allah memang sama sekali tidak mengabulkan doa kita ?.

Rasulullah SAW bersabda:

Mamin muslimin yad'ulloha bida'watin laisa fiha ismun, wala qothia'tu rohmin illa 'athohullohu biha ihda tsalatsa khisholin: imma anyua'jila lahu da'watuhu, wa'imma anyudakhkhiro lahu fil akhirati, wa'imma anyushrifa 'anhu minal su'i mitsluha.

"Tidak berdoa seorang Muslim dengan suatu doa yang doanya itu tidak dicampuri sesuatu maksud jahat atau memutuskan silaturahmi, melainkan pastilah doa itu diperkenankan Tuhan dengan memenuhi satu dari tiga cara. Ada kalanya doa itu diterima dengan segera, ada kalanya disimpan dahulu untuk persediaannya di akhirat, dan ada kalanya dipalingkan daripadanya kejahatan yang seumpamanya".

Hadis ini menyimpulkan, bahawa suatu doa akan diterima oleh Allah SWT dengan 3 cara, yaitu:

1. Diperkenankan Langsung
Apabila seseorang berdoa, dan apa yang dimintanya itu memang ada manfaatnya, maka sudah jelas Allah SWT akan mengabulkannya.

Allah SWT berfirman: Ud'uni astajib lakum
"Berdoa kepadaku niscaya akan Ku-perkenankan bagimu" (QS. al-Mu'min:60)

Dalam ayat lain: Wa'idza sa'alaka i'badi 'anni fa'inni qoribun ujibu da'watad da'i idza da'an
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang-orang yang berdoa kepadaKu" (QS. Al-Baqarah: 186).

2. Ditunda
Ada kalanya Allah SWT tidak segera mengabulkan doa kita. Ertinya bahawa Allah SWT menundanya dan mengabulkannya pada suatu waktu yang dikehendakiNya. Tertundanya pengabulan doa ini janganlah kiranya menyebabkan keputusasaan. Waktu kabulnya doa ini dapat terjadi kapan saja karena kehendakNya.

3. Ditunda dan dikabulkan di Dunia
Allah SWT menjamin mengabulkan doa kita, tetapi Allah maha mengetahui apa yang lebih bermanfaat dan kita perlukan saat ini. Allah senantiasa akan mengabulkan doa kita pada waktu yang pas (tepat) menurutNya. Karena Allah yang mengetahui; apakah permintaan kita saat ini mendatangkan manfaat atau mudarat bagi kita.
4. Ditunda dan dikabulkan di Akhirat

Ada kalanya Allah SWT menunda doa kita dan disimpan untuk dikabulkan di Akhirat. Karena Allah SWT lebih mengetahui bahawa hal itu lebih baik diberikan di akhirat daripada di dunia. Diriwayatkan bahawa di akhirat nanti ada seseorang yang terkejut menerima sejumlah karunia yang tidak dikira-kira banyaknya dan tidak sesuai sekali dengan amal ibadahnya di kala dia hidup di dunia. Dia pun bertanya kepada Allah SWT: "Wahai Tuhan, dari mana ini semua?". Allah menjawab, "Bukankah Aku telah memerintahkan engkau agar meminta kepada Ku apa saja di dunia ?", dan orang itu berkata, "Betul ya Tuhanku." Maka Allah SWT menerangkannya "Apa yang engkau mohonkan di dunia itu adalah baru sedikit, Ku berikan kini sisanya. Kus erahkan di akhirat," akhirnya orang itu berkata, "Alangkah baiknya jika sekiranya Tuhan memberikan segala yang ku minta itu di akhirat saja, tidak usah di dunia."

5. Diganti Dengan Yang Lain
Selain diperkenankan langsung dan ditunda, maka Allah SWT juga bisa mengganti kabulnya doa kita dengan yang lain. Penggantian tersebut agaknya ada 2 macam, iaitu:

6. Dipalingkan dari kesusahan
Jabir ra., meriwayatkan, aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Tidaklah seseorang berdoa dengan sesuatu doa, melainkan Allah SWT memberikan sesuai dengan permohonannya itu, melainkan dijauhkan dari kesusahan. Asalkan dia tidak berdoa untuk kejahatan atau untuk memutuskan silaturahmi."

7. Dihapuskan dari dosa
Anas ra., meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"....bahawa Allah SWT menerima doa orang yang berdoa, atau diganti untuknya, atau dipalingkan dari kesulitan yang semisalnya, atau dihapuskan dosa-dosanya."

Maka hendaklah kita fahami, bahawa Allah SWT tidak pernah bosan mendengar doa para hambaNya. Mintalah sebanyak-banyaknya, baik urusan dunia mahupun urusan akhirat, sampai pada hal yang sekecil-kecilnya, sampai putusnya tali sandal sekalipun. Masalah itu dikabulkan, ditunda, atau diganti dengan yang lain, adalah urusan Allah SWT. Karena Dia-lah yang maha tahu manfaat dan mudarat dari doa itu bagi kita.

Rasulullah SAW bersabda:

Yas'alu ahadakum robbahu hajatihi kullahu hatta yas'ala sas'a na'lihi idza inqotho'a
"Hendaklah seseorang meminta segala keperluannya kepada Tuhannya sampai-sampai mintalah tali sandal apabila putus."





Panduan supaya doa diterima oleh Allah

1. Memahami dan mengerti akan maksud serta makna doa yang diminta. Kita boleh menggunakan apa-apa juga bahasa sewaktu berdoa asalkan kita memahami dan mengerti akan maksud yang diminta itu. Namun sebaik-baik bahasa yang harus digunakan adalah Bahasa Arab kerana ia adalah Bahasa Al-Quran yang diturunkan oleh Malaikat melalui wahyu yang datang terus dari Allah SWT Selain itu semua doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah juga adalah dalam Bahasa Arab.
2. Berdoa dengan penuh keikhlasan hati serta merendahkan diri semata-mata hanya kerana Allah.
3. Berdoa dan meminta kepada Allah dengan sebenar-benar permintaan dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
4. Tidak berdoa dan meminta kepada sesuatu perkara yang mustahil, sesuatu perkara yang buruk atau pada perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa.
5. Berdoa dengan penuh khusyuk dan keyakinan diri bahawa doa yang di pohonnya itu akan diperkenankan oleh Allah.
6. Berdoa, bertakwa dan bertawakal kepada Allah iaitu dengan memelihara dan menjaga setiap suruhan dan larangan-Nya.
7. Tidak pernah berputus asa di dalam doanya sekalipun permintaannya itu lambat dimakbulkan oleh Allah malah sentiasa beristiqamah, sabar dan menyerah diri kepada Allah.

Subhanallah, begitu terbukanya Allah SWT untuk doa kita semua....

Saturday, November 14, 2009

SOLAT DUHA SEBAGAI ROH REZEKI


REZEKI melimpah, halal dan berkat adalah dambaan atau keinginan setiap orang, apatah lagi disertakan dengan kedudukan yang mulia dan ilmu yang bermanfaat. Namun untuk mencapai kenyataan itu bukanlah mudah. Ini kerana wang yang melimpah dan kedudukan yang tinggi bukanlah sesuatu yang dapat membawa serta menjamin keberkatan hidup yang sejati. Ini membuktikan rezeki yang melimpah tidak menjamin kehidupan yang berkat. Rezeki yang melimpah juga tidak menjamin hidup yang harmoni, bahagia dan tenang.

Allah berfirman: Sekiranya Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hambanya tentulah mereka melampaui batas pada muka bumi tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendakinya dengan ukuran tertentu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Melihat keadaan hamba-hamba-Nya. (asy-Syura: 27)

Kita sering melihat orang yang diberi rezeki yang melimpah tetapi menggunakan kekayaan mereka bagi mengingkari Allah, membelanjakan pada jalan sesat dan digunakan bagi mencari tempat di neraka. Bukankah itu kebodohan yang nyata?

Sedangkan kita selalu diingatkan serta dinasihatkan oleh Allah supaya memakan rezeki yang baik dan jangan mengikut jejak syaitan. Sesungguhnya, syaitan adalah musuh yang nyata. Rezeki yang halal dan berkat dapat membawa manusia menuju ketenteraman hati. Ia juga dapat membawa kemuliaan di sisi Allah. Insya-Allah, kita dapat mencapainya dengan mengerjakan solat duha. Solat Duha adalah solat yang berkait rapat dengan rezeki sama ada dipermudahkan rezeki, rezeki yang diberkati, kemanfaatan rezeki dan pahala yang tinggi nilainya. Manakala di akhirat pula, Allah menyediakan pintu khusus baginya memasuki syurga.

Hal ini telah dijelaskan dalam banyak hadis Rasulullah SAW. Nabi pernah berwasiat kepada sahabat terdekatnya iaitu Abu Dzar al-Ghifari supaya melaksanakan solat Duha, solat Witir dan puasa tiga hari dalam setiap tengah bulan.

Kekasihku Muhammad berwasiat kepadaku supaya berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mengerjakan solat duha dua rakaat dan solat witir sebelum tidur. (riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud daripada Abu Hurairah)

Pun begitu, kita perlu menyedari bahawa solat duha dilakukan bukan semata-mata mengharapkan rezeki, ia dapat mendekatkan diri kepada Allah. Yang pasti, solat duha menambah amal soleh. Malah Allah turut akan mengampunkan dosa-dosa kita, seandainya ia dikerjakan secara istiqamah. Lantaran itu, kekuatan spiritual yang terdapat dalam solat ini mempengaruhi kepentingan duniawi dan ukhrawi. Secara tidak langsung, ia memenuhi dua aspek iaitu kepentingan bagi kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat kelak. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa Nabi Muhammad SAW banyak menganjurkan amalan solat duha ini.


Tuntutan Dhuha

Solat sunat dhuha ialah solat di waktu pagi. Ia merupakan salah satu dari tiga solat sunat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW. Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.” (Riwayat Ahmad)

Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).


Fadilat Dhuha
Banyak hadis-hadis yang mengalakkan solat Dhuha dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat katanya:
“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan” (Abu Hurairah :Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”
Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi).

Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas” (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Kaifiyat

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik. Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dari segi pembacaan di dalam solat sunat dhuha tiada wajib membaca surah-surah tertentu di dalam rakaat tersebut. Cuma kebiasaan yang dilakukan oleh para ulama iaitu pada rakaat pertama dibaca surah Fatihah dan surah Wasy-Syamsi atau surah Al-Kafirun. Manakala rakaat kedua dibaca Al-Fatihah dan surah Ad-Dhuha atau surah Al-Ikhlas.

Di antara doa yang baik dibaca selepas solat Dhuha ialah :
“Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha adalah waktu dhuha-Mu, keagungan adalah keagungan-Mu, kebaikan adalah kebaikan-Mu, kekuatan adalah kekuatan-Mu, kekuasaan adalah kekuasaan-Mu, penjagaan adalah penjagaan-Mu. Ya Allah, sekiranya rezki kami di atas langit, turunkanlah, sekiranya dalam bumi, keluarkanlah, bila sukar, mudahkanlah, bila haram, sucikanlah, bila jauh, dekatkanlah, dengan hak waktu dhuha, keagungan, kebaikan, kekuatan dan kekuasaan-Mu. Berilah kepada kami apa-apa yang telah Engkau berikan kepada hamba-hamba-Mu yang shalih-shalih.”

Wednesday, November 11, 2009

KESERONOKAN MENYAMBUT HARI JADI.





Semua orang memang teruja apabila menyambut hari jadi. Di kala itu ramai sahabat, saudara dan orang yang dikasihi menghulur hadiah dan tahniah untuk hari yang bersejarah. Namun dalam kegembiraan itu satu persoalan bagaimana menanti hari yang pasti jua bersejarah SELAMAT HARI KEMATIAN.......... aduh bertapa dahsyatnya hari itu bagi orang yang tidak pernah terfikir atau saja-saja malas berfikir bahawa akan datang satu hari yang mana segala kenikmatan dunia ini akan terputus terus dari diri dan jasadnya.

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami lah kamu dikembalikan. (AL ANBIYAA' 35)


Mati merupakan satu topik yang saya gemari kerana mati itu sesuatu yang pasti maka seharusnya kita sedikit sebanyak tahu dan mula belajar mengenainya. Jika sekiranya kita hanya tahu bahawa mati itu adalah satu perkara wajib yang perlu dilalui dan mungkin kita pernah belajar untuk menghadapi mati tetapi tidak pernah langsung belajar untuk mati maka sesungguhnya kita sebenarnya tidak bersedia untuk mati bahkan mungkin dek kerana cinta dunia yang mengikat kehidupan kita merasakan bahawa mati itu hanyalah satu perkara yang mudah dan tiada persiapan yang perlu bagi kita untuk menghadapinya.

Ada orang yang ketika maut menghampirinya dia kelihatan begitu seksa dan tak kurang juga yang menanti saat kedatangannya malaikat maut kerana ia merupakan saat yang ditunggu selama ini. Saya pernah melihat kedua-dua situasi ini. Pernah satu ketika dahulu, saya pernah menghadiri satu tahlil sempena kematian seseorang. Dalam majlis tersebut, ramai yang mengungkap sejarah arwah yang telah pergi menghadap Ilahi pada siangnya. Ramai yang memuji kebaikan yang dilakukan oleh arwah ketika hayatnya. Menurut mereka si arwah orang yang lembut dan suka membantu orang lain. Namun di celah pujian itu tiba terdengar satu suara yang mengatakan sesuatu yang bunyinya janggal kerana dia mempunyai pendapat yang berlainan dengan yang lain. Katanya si arwah itu mungkin sudah merasakan kedekatan api neraka kerana dia berpeluh saat menjelang kematiannya. Saya menjadi hairan kerana masih ada juga orang yang hanya member pendapat tanpa mengetahui hakikat perjalanan kematian di tengah khalayak yang membicarakan tentang kebaikan arwah.

Memetik satu hadis Rasulullah SAW dari Salman Al Farisi : Perhatikan tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu, pertama berpeluh pada pelipis pipinya, kedua berlinang air matanya dan ketiga hidungnya kembang kempis. Itulah tanda bahawa rahmat Allah sedang turun dan dirasai oleh orang yang hampir mati itu. Namun jika dia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, ini menandakan azab Allah sedang menimpanya. Hadis ini diriwayatkan oleh Abdullah, Al hakim dan At Tarmizi.


Justeru apa yang perlu ialah kita hendak faham apa yang kita katakan sebelum memberi komen kepada orang yang telah pun meninggal dunia. Seharusnya kita berpegang kepada ungkapan yang dititipkan dari satu generasi ke satu generasi, yang baik dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Apa yang berlaku sehingga kini ialah kita begitu sedih atas kehilangan orang yang dicintai atau kehilangan mereka yang kita kenal. Kita pasti akan membicarakan kenangan yang ada semasa arwahnya hidup dan kita mungkin sedih atau mungkin merasa lega atas setiap kebaikan yang pernah dilakukan. Akan tetapi cukup sedikit di antara kita yang melihat kematian itu sebagai satu pelajaran dan sebagai pengalaman untuk kita lalui nanti. Jika kita menganggap kematian orang yang kita kenal itu sebagai satu tauladan atau sempadan, maka kita akan lebih berusaha untuk mempercayai bahawa saat paling sukar ketika kita bernafas adalah saat di mana ruh dan jasad itu berpisah. Oleh yang demikian kita seharusnya mencari jalan untuk bersedia ke arah itu. Adakah hanya dengan kebaikan yang ada kita sudah pasti bahawa kita akan menghadapi kematian dengan mudah. Jika pasti menjadi jawapan maka ternyata kita telah pun melakukan satu kesilapan dan mungkin perhitungan seumpama itu akan memberi impak terhadap kematian kita.

Bercerita tentang mati amatlah mudah tetapi bersiap untuk mati itu amatlah sukar kerana kita sering lupa umur sebenarnya bukan sekadar angka tetapi ianya adalah sedetik nafas yang kita sedut. Pengalaman melihat beberapa kematian telah banyak member impak yang besar dalam hidup saya. Ada di antaranya saya juga menitiskan air mata namun bukan hanya kerana kesedihan tetapi juga kerana ketakutan dalam menghadapi saat yang saya juga bakal hadapi entah bila. Bagi saya saat kematian adalah saat penentu dan bagi pengamal meditasi tulen, saat kematian itu adalah saat bermulanya satu kehidupan baru yang lagi kekal. Jika sekiranya kita menghadapi saat kematian itu dalam kesukaran maka kita bakal menghadapi satu kehidupan akan datang yang lebih sukar, oleh itu persediaan menjelang jemputan malaikat maut itu amatlah perlu.

Dalam pemahaman supersedar, persediaan itu perlu dilakukan dengan cinta. Hanya apabila wujud rasa cinta kepada Allah SWT maka kita akan lebih bersedia menghadapi mati. Jika yang wujud hanya rasa cinta dunia kita akan takut untuk meninggalkan dunia kerana mungkin urusan duniawi kita belum selesai dan mungkin kita tidak sedar bahawa urusan duniawi ini tidak akan pernah selesai. Apabila tercetusnya rasa cinta Allah SWT yang mendalam kita pasti juga akan mengingati mati. Ini terjadi kerana apabila roh meninggalkan jasad dengan cinta Ilahi maka tujuannya sudah pasti ingin bertemu Tuhannya yang maha dikasihi. Hasilnya segala hal duniawi tidak lagi difikirkan kerana ianya sudah jelas harus diteruskan oleh mereka yang masih hidup. Maka benarlah bahawa mengingati mati itu akan membuatkan kita mengingati Allah SWT. Persoalannya berapa kali kah kita melihat kematian dan kita mengingati Allah SWT. Kematian ini bukan hanya tertakluk kepada kematian manusia tetapi ianya juga adalah kematian semua makhluk termasuk binatang. Kematian binatang juga seharusnya menjadi satu iktibar untuk kita yang masih hidup untuk bersedia dengan jemputan malaikat maut.

Mulai hari ini cubalah para pembaca sekalian menziarahi kubur setiap minggu. Kita mungkin bertanya kubur siapa yang hendak dilawati. Itu bukanlah tujuannya, dalam kaedah ini kita hanya perlu ke kubur yang berdekatan dan cukup untuk kita hanya berada dalam kereta dan apa yang perlu kita lakukan ialah cubalah bertanya kepada diri sendiri adakah kita sudah bersedia menghadapi maut sekira kita dijemput dalam masa lima minit lagi. Kita tidak boleh mengatakan bahawa maut hanya dating untuk mereka yang sudah berumur kerana maut adalah sedetik nafas. Maka ianya pasti datang pada waktu yang telah ditetapkan. Jika anda tidak mampu untuk bertanya kepada diri sendiri maka cubalah lakukan yang ini pula. Cuba renungkan ke kubur yang berhampiran dan cuba rasakan yang anda kini sebenarnya telah mula masuk ke dalam kubur tersebut. Anda akan merasakan satu perasaan ngeri dan mungkin takut. Seandainya anda mula merasa perasaan demikian maka berhentilah dan terus sahaja berdoa kepada Allah SWT untuk diberi keampunan. Saya sendiri pernah melakukannya untuk seminggu yang mana pada awalnya tiada apa-apa perasaan kerana pada peringkat awal kita masih lagi teguh dengan ego dunia. Selang beberapa hari apa yang saya rasakan ialah seperti hampirnya saat kematian untuk saya maka ketika itu saya benar-benar merasakan saya perlu memohon keampunan dari Allah SWT atas segala kesilapan saya.

Kali ini doa saya amat berlainan kerana saya mengungkapnya seolah-olah saya merasakan ada pedang di leher saya. Ketika itu saya merasakan seandainya saya mati ketika ini tanpa mendapat keampunan dari Allah SWT maka saya sudah pasti dicampakkan ke neraka. Saya terus bermohon kepada Allah swt supaya diampuni hingga satu saat saya merasa begitu lega atas ungkapan saya. Sejak dari itu ingatan saya tentang saat kematian itu begitu jitu dan biar apa yang terjadi saya akan memikirkan dahulu saat ajal menjelang tiba. Hasilnya jiwa yang keras kini sudah mula lembut, jiwa yang dahulunya mengingati Allah SWT seperti biskut choc fudge kini berubah dengan mengintainya dengan cinta. Jika dahulunya setiap ibadah itu dikira pahalanya kini setiap ibadah itu telah menjadi lambang cinta yang dalam dan setiap ketika ternanti-nanti bilakah dapat bertemu yang maha dicintai lagi dirindui. Tanpa cinta kita lemah dan tanpa rindu kita sesat. Cinta membuat kita berdiri dan berlari manakala rindu menyuluh arah tuju dengan jelas. Semoga para pembaca yang saya hormati dapat mencuba sebaik mungkin dan semoga Allah SWT memberi jalan yang dapat memberi kekuatan untuk kita bersedia dalam menghadapi nafas terakhir di dunia ini.

Monday, November 9, 2009

KENAPA PERLU KELU KESAH DALAM HIDUP INI.



“ Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir. Kecuali orang–orang yang mengerjakan sholat “. (QS. Al – Ma’arij : 19 – 22).

Musibah yang menimpa orang -orang beriman adalah bentuk kasih sayang dari Allah SWT. Sama ada berbentuk kemalangan, kepapaan, kematian atau seumpamanya. Dengan musibah ini Allah secara langsung atau tidak langsung menegur hambaNya yang beriman agar memperbaiki keimanan serta memperkemaskan ibadahnya. Ini merupakan satu isyarat agar hambaNya sentiasa bersedia daripada terjerumus jauh daripada kebenaran. Maka dengan itu selayaknya kita mensyukuri musibah tadi dengan redha bukan berkeluh kesah apa tak lagi menyalahi ketentuan Allah.

Dalam keadaan ditimpa musibah ada baiknya kita sentiasa istiqamah dengan peraturan dan kaedah yang telah ditetapkan oleh Allah. Ada beberapa pendekatan dalam menangani maslaha keluh kesah di antara adalah seperti berikut:

1. Jika takdir anda buruk berlarilah menuju takdir yang baik.

Tiada siapa tahu suratan nasib yang melingkari perjalanan hidup di dunia ini. Susah senang silih berganti menjadi lumrah alam. Tiada kata putus untuk memahami takdir. Tidak akan mampu akal manusia mencapai rahsia Allah itu. Hikmahnya adalah supaya kita tidak melampau dalam kesombongan. Ada masa sihat kadang kala jatuh sakit, kaya sebentar lalu miskin tiba-tiba. Ketika berkuasa beringat suatu hari nanti kerajaannya akan jatuh ke tangan orang lain.

Semua berputar dalam genggaman Allah supaya kita tahu kita tidak mampu mencabar kuasa-Nya. Maka diciptakan manusia dalam keadaan tidak mengetahui takdir dirinya sendiri. Dia serba lemah dan jahil. Supaya manusia sentiasa berharap kepada Allah dan memohon di kurnia nasib yang baik dan berusaha berlari daripada takdir buruk menuju takdir baik. Allah tidak akan menolong sesiapa yang tidak mahu menolong dirinya sendiri. Jadi, tiada alasan bagi seorang Muslim menyerah kepada nasibnya. Jangan salahkan takdir, kerana perjalanan hidup anda belum selesai dan ia sudah tertulis di Luh Mahfuz.

Seperti kata-kata hikmah yang dilontarkan Umar Al-Khattab mengenai takdir manusia, “Sesungguhnya kita berlari daripada takdir buruk kepada takdir yang baik.” Semua itu rahsia Allah. Anda masih mampu mengubah keadaan buruk menjadi baik atas izin Allah.

2. Lonjakkan tenaga positif dalam diri. Kejayaan hanya diperoleh selepas anda mengalami tekanan.

Semakin tertekan, semakin kuatlah usaha untuk keluar daripada tekanan itu. Begitulah kehidupan, setiap manusia memiliki tenaga positif yang melayakkannya tetap bertahan mengharungi mara bahaya.

Tenaga positif itu mengubah seseorang yang tidak dikenali menjadi orang ternama. Ia berada pada jiwa orang yang lahir di tengah mangsa kemiskinan kemudian memberi kekuatan pada seluruh jiwa raganya hingga mampu melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan yang diwarisi turun temurun.

Tenaga positif itu seolah-olah bisikan Tuhan yang mengusik air mata taubat penjenayah yang pekak telinga mereka daripada mendengar nasihat orang mulia lagi warak. Jika manusia sudah kehilangan tenaga positif itu, seolah-olah dia menjadi mayat sebelum dicabut rohnya.

Hidup tidak berguna sama sekali, ada dan tiadanya tidak memberi kesan kepada alam maya ini.

Apabila kita memiliki tenaga positif ini, berbahagialah orang di sekeliling kita. Mereka rasa selesa berdampingan dengan kita. Adaptasi sosial yang kita jalinkan begitu indah dan kemas, jauh daripada penyimpangan yang menyakitkan hati. Begitulah gambaran seorang mukmin menerusi sabda baginda SAW yang bermaksud: “
Mukmin yang terbaik adalah yang paling bermanfaat untuk orang lain.”

Seperti seorang bapa yang memegang tangan anaknya dengan lembut, matanya yang redup menitipkan semangat positif ke jiwa si anak, ibunya pula mengungkapkan bahasa indah mengandungi hikmah dan nasihat mengiringi langkah kecil anaknya menghirup khazanah ilmu.

Seperti seorang yang sakit dan diramal tidak akan dapat disembuhkan lagi, tenaga positif itu membangunkan jiwanya yang masih menyimpan kekuatan untuk menghabiskan sisa hidup dengan amal yang bermanfaat bagi orang lain. Setiap saat menjadi peluang untuk memperbaiki hubungannya dengan Allah dan manusia di sekelilingnya.

Sesungguhnya, tenaga positif itu berasal daripada kuasa Allah yang membuka mata hati kita sehingga mampu melihat hikmah kebaikan di bawah tompokan ujian kehidupan. Membuat anda mampu tersenyum, memujuk hati yang luka dan melupakan rasa sakit yang menghiris kalbu.

Rasulullah SAW pernah memohon kepada Allah supaya diberi tenaga positif yang berasal daripada Nur Allah. Dalam doa baginda memohon kepada Allah supaya menghapuskan kesedihannya kerana penghinaan dan kekejaman yang dilakukan penduduk Taif.

Baginda SAW berdoa supaya hilang segala kesedihan dan rasa putus asa:

“Aku berlindung kepada Nur wajah-Mu yang mulia yang memberi cahaya kepada langit dan bumi dan yang menyinari segala yang gelap-gelita. Dan menjadi baik kerananya segala urusan dunia dan akhirat.”

Jika hati sudah diterangi cahaya Allah, serta merta kekuatan itu bangkit dan menghidupkan jiwa raga kita, jadi tiada alasan untuk berserah kepada nasib yang tidak pasti. Ambillah sedikit masa dan anda sudah pasti memberi keceriaan kepada seseorang atau mungkin mengubah hidup mereka kepada yang lebih baik, Insya ALLAH

Sunday, November 8, 2009

SIAPAKAH KITA? DARI MANA? SEKARANG BERADA DI MANA? AKAN KE MANA? APAKAH DIA ROH DAN QALBU?




Rasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya...
Sesungguhnya dalam tubuh anak Adam itu ada seketul daging. Apabila baik ia, nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila binasa ia (jahat ia) nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah iaitu qalbu (hati) Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a.

Dari keterangan hadis ini, dapatlah kita faham bahawa perbicaraan asal usul manusia ialah hati. Hati dalam diri manusia laksana Raja, pemerintah yang sangat ditaati oleh rakyat. Anggota lahir umpama kaki, tangan, mata, hidung, mulut, telinga, perut, faraj, zakar dan sebagainya laksana rakyat jelata yang senantiasa patuh kepada pemerintah Raja. Bila ia perintah tangan supaya menampar, nescaya menampar ia. Bila ia memerintah kaki menendang, nescaya menendang ia. Begitulah seterusnya

Hati itulah juga dipanggil (hakikat saya atau aku) Aku itu, aku ini, aku pergi ke sana, saya datang ke sini, rumah itu saya punya, kereta itu kepunyaan aku, aku..saya (aku) inilah sebenarnya hakikat insan kerana ia ganti nama bagi roh atau qalbu dan dialah laksana tok dalang wayang kulit sedangkan tubuh dan anggota kasar yang lahir laksana belulang kering, apabila ia bercerai dari tubuh badan kasar nescaya jadi tubuh itu sebatang kara umpama tunggul kayu menunggu reput hancur

Dialah yang akan menerima hukum pembalasan sama ada baik atau jahat di negeri akhirat. Dialah juga yang memerintah negara besar atau kecil di dunia ini. Dialah yang menakluki makhluk-makhluk menjadi hamba abdi kepadanya. Dialah yang menundukkan benda-benda jamadad (benda yang tiada nyawa) dan haiwan-haiwan taat di bawah perintahnya. Dialah punca hikmah dijadinya alam ini. Kalau tidak kerananya sudah tentu segala makhluk dan syurga neraka tidak jadi. Dia datangnya dari alam ghaib atau alam amar, oleh itu dia juga akan kembali ke alam ghaib. Ia wujud sebelum alam kasar atau alam syahadah (alam kenyataan) ini wujud. Ia ditumpangkan ke alam dunia ini tempat sementara kerana ada tujuan untuk menerima ujian. Dia datang dari alam kejadian tuhan yang aneh (rohaniah) yang tidak menerima binasa dan fana’ selama-lamanya

Dialah yang akan menanggung rasa bahagia atau celaka di akhirat. Dialah yang menerima suka dan duka dunia akhirat, dialah yang sudah mengenali tuhan di alam aruah sebelum benda-benda atau apa-apa ini dijadikan.

Dialah yang mengetahui segala hakikat sesuatu dengan tangkapan ilmunya (keadaan sifat-sifatnya) dialah yang sudah hidup, mengetahui, mendengar, melihat, berkehendak, berkuasa (sifat-sifat ma’ani) sebelum ia bercantum dengan tubuh badan kasar

Dialah yang digelar fitrahtullah yang sudah mengenali Allah SWT dan mengetahui agamanya dengan tidak payah belajar atau mutala’ah kitab-kitab di alam aruah yakni ia sudah mengenali segala-galanya sebelum ia dihantar (dicantum) dengan alam kasar dan malah ia pernah mengakui dan menyaksi di alam arwah bahawa tuhan yang esa itu ialah Alah S.W.T bagaimana yang diceritakan dalam al-quran dalam firman-Nya yang ertinya

Tidakkah aku ini tuhan kamu? Mereka menjawab bahkan (Al A’raaf: 172)

Dialah juga dijadikan sebab diutus Rasul-rasul ke alam dunia ini untuk mengawasi dan mengingati kembali mengenai perkara-perkara agama yang sudah manusia mengenali di alam arwah dahulu, mudah-mudahan supaya manusia tidak mengotori fitrahnya, malah hendaknya senantiasa bersih dari awal sampai akhir. Firman Allah S.W.T yang bermaksud

Dialah fitrah yang Allah S.W.T jadikan sesuai pada manusia, tidak dapat diubah-ubah lagi pada kejadian Allah, itulah agama Allah yang betul (fitratullah ialah tabiat semula jadi penerimaan agama dan ma’rifah kepada Allah) (Ar Ruum: 30)

Adapun orang-orang yang tiada menerima dan tiada mempercayai agama Allah S.W.T yang disampaikan olrh Rasul-Rasul di dunia ini, maka itulah tandanya mereka sudah mengotori fitrah bersih mereka yang asli dan sudah terpesong dari kebersihannya, dengan sebab itu mereka berhak mendapat gelaran “kufur disisi Allah” dan sewajarnya mereka kekal di dalam neraka

Dialah juga tidak dijadikan atau dihantar ke alam syahadah ini malainkan dengan ada hikmah ubudiyah iaitu beribadah dan berbakti kepada Allah S.W.T. Firmah Allah yang bermaksud

Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya beribadah kepada aku (Allah S.W.T) (Adz Dzaariyaat: 51)

Dari huraian-huraian tersebut itu, dapatlah kita mengerti dan faham seyakin-yakinnya (siapakah kita? Dari mana kita datang? Dimana kita berada sekarang? Dan akan kemana kita pergi?)

PERBEZAAN-PERBEZAAN QALBU, ROH, NAFSU DAN AKAL
Perkataan atau kalimah-kalimah qalbu, roh, nafsu dan akal itu tetap berbeza dan tidak serupa pada sebutan dan bentuk, tetapi pada hakikatnya adalah satu pada tujuan dan maksudnya

Perkataan qalbu ada dua pengertian:
Qalbu makna pertama
Qalbu lahir atau dikatakan hati kasar iaitu seketul daging sebesar segumpal tangan terletak didalam dada sebelah kiri manusia. Hati jenis ini berongga dan tempat mengisi dan mengepam darah menjalar keseluruh urat saraf manusia, hati ini memang dapat dilihat, dijamah dan dikerat dan dibelah dengan pisau, ia akan hancur dan busuk berulat bila ia mati. Hati jenis ini terdapat pada jenis haiwan-haiwan yang tidak berakal yang mana tidak ada nilainya sedikit pun pada sisi Allah S.W.T

Qalbu dengan makna yang kedua
Hati batin atau hati halus atau hati seni yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan tidak dapat dijamah oleh tangan dan tidak dapat dikerat dengan pisau, tetapi ia dapat dirasa oleh pengakuan batin sendiri tentang wujudnya dan ia itu ialah suatu kejadian yang latifah rabbania atau yang dapat kita bahasakan dengan hati halus atau hati seni kejadian tuhan yang rohani. Hati ini berhubung rapat dengan kerja-kerja hati kasar tadi, perhubungan kerja diantara keduanya itu ialah suatu perkara yang tidak dapat diterangkan oleh otak doktor jenis manusia kerana hati batin umpama ini datang dari kejadian alam ghaib dan hati kasar adalah dari benda-benda alam kasar ini, bandingannya ialah hati batin itu laksana raja pemerintah dan hati kasar itu laksana raja tempat ia bertakhta dan anggota-anggota lahir umpama kaki, tangan dan sebagainya laksana rakyat jelata. Ia akan patuh kepada perintah raja, hati jenis ini tidak akan busuk, berulat dan tidak akan hancur buat selama-lamanya bila tubuh bercerai dengan nyawa (ralai). Dialah yang akan menemui alam akhirat, dialah yang merasa bahagia dan berasa celaka dunia dan akhirat. Dengan hati latifah rabania inilah maka hati kasar (jantung) itu dapat hidup dan berdenyut, ia mempunyai ta’aqul dan juga sifat-sifat ma’ani dari semenjak ia dijadikannya di alam arwah yakni sebelum ia bercantum dengan alam kasar ini. Ahli-ahli falsafah dan tassawuf adalah sependapat dan menakan hati jenis ghaib itu jauhar mujarat yakni ia bukan dari jenis benda-benda jirim atau ‘arad. Bahkan ia atau zat nya dapat berdiri sendiri dan terkaya daripada tubuh badan kasar, hati dengan makna yang kedua inilah hakikat kejadian manusia yang mempunyai tanggungjawab kepada tuhan didunia dan akhirat


Perkataan Roh Ada Dua Pengertian
Roh Tabi’i
Suatu kejadian wap atau gas yang keluar dari dalam hati kasar atau jantung yang berisi dengan darah hitam. Wap atau gas itu berjalan dengan lancarnya keseluruh bahagian urat saraf dalam rongga tubuh manusia. Bandingannya samalah dengan cahaya lampu dalam sebuah rumah, ia dapat menyamapaikan cahayanya keseluruh corok dalam rumah itu, roh macam inilah digelarkan oleh doktor-doktor didunia hari ini dengan nama istilahnya (roh) tetapi penulis lebih cenderung pengertian yang diistilahkan oleh doktor itu dapat dipadankan kepada istilah bahasa melayu (nyawa) jika logik demikian maka jadilah istilah pengertian doktor itu adalah sama dengan pengertian nyawa yang ada pada jenis haiwan yang tidak berakal ititu wap atau gas yang terjadi dari angin keluar masuk dari udara kedalam jantung dan paru-paru, padahal roh yang sebenar adalah roh dari kejadian ghaib bukan dari jenis benda angin atau sebagainya, roh makna yang pertama ini tidak bernilai sedikit pun disisi tuhan

Roh Makna Yang Kedua
Kejadian dari alam keanehan tuhan yang dibahasakan latifah rabbania iaitu serupalah dengan pengertian qalbu pada makna yang kedua tadi. Oleh itu, roh dan qalbu masing-masing dengan pengertian yang keduanya adalah sama pada hakikat dalam arti yang satu iaitu suatau kejadian tuhan yang seni atau halus (latifah rabbania). Roh pengertian yang kedua ini tidak dapat diertikan sama sekali jenis otak manusia dari jenis apakah dijadikan? Dan bagaimana diramuankan?

Allah telah berfirman bahawa...

Dan mereka lagi akan bertanya kepada engkau wahai Muhammad, hendaklah engkau jawab kepada mereka bahawa roh itu adalah urusan pekerjaan tuhan (Al Israa’: 85)

Perkataan nafsu ada dua pengertian
Nafsu Makna Yang Pertama
Suatu pengertian yang meliputi segala tabiat-tabiat marah, nafsu berahi dan syahwat dan termasuk juga sifat-sifat yang dikeji umpama hasad dengki, dendam kesumat, tamak haloba, riak, dan sebagainya. Sifat tersebut sama sahaja wujudnya pada kejadian binatang dan manusia, sedikit atau banyak tetapi ia tiada sama sekali pada kejadian malaikat. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

اَعَدَّى عَدَوِّكَ نَفْسُكَ الَّتِى َبيْنَ جَنْبَيْكَ
Ertinya: Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak diantara dua lambung engkau. Maksudya hati engkau yang berhawa nafsu jahat dan dengan sebab inilah datangnya syarak atau agama Allah S.W.T menuntut setiap orang supaya mencuci dan mengawasinya setiap masa dan ketika


Nafsu Makna Yang Kedua
Suatu kejadian latifah rabbania sebagaimana huraian dalam pengertian yang kedua pada qalbu dan roh yang demikian tadi. Oleh itu, kalimah-kalimah qalbu, roh, dan nafsu bolehlah dipakai kepada satu hakikat latifah yang sama pada jenis kejadian manusia dan sangatlah jauh dengan makhluk-makhluk lain yang umpama binatang. Tetapi jika di’itlaq kan nafsu itu ghalib (kebiasaan) dipakai kepada nafsu yang jahat, nafsu jahat itu apabila digosok dan dicuci dengan sabun-sabun zikrullah dan diberus dengan berus tembaga mujahadah dan ikhlas dan disiram dengan air istighfar serta dipandu dan dipimpin oleh guru yang ahli maka sedikit demi sedikit akan terkikislah sifat karat kejahatan nafsu tadi, kemudian menunggu ia ketibaan warid atau nur dari Allah S.W.T dan kemudian ia akan berpeluang pula mengecap rasa penyaksian yang kita gelarkan ia dengan hakikat dan ma’rifah. Diwaktu itu, maka nafsu jahat tadi akan bertukarlah mendapat gelaran baru iaitu mutma’innah (nafsu yang tenang) dan teguh dari mendapat godaan syaitan, dengan itu berarti ia sudah masuk kedalam darjat permulaan wali kecil. Tetapi sebelum sampai kepada maqam nafsu mutma’innah (wali kecil) maka nafsu tadi tidak dapat tidak, mesti menempuh jalan tiga peringkat

Peringkat ammarah Namanya
Nafsu yang senantiasa suka dan berselera kepada kejahatan. Nafsu peringkat ini adalah sejahat-jahat dan sehina-hina nafsu dari nafsu peringkat-peringkat yang lain

Peringkat (lauwamah) Namanya
Nafsu yang kerap kali mengkritik diri sendiri apabila ia jatuh kedalam lembah angkara dosa, cepat-cepat ia taubat dan meminta ampun kepada Allah serta menyesal, nafsu ini tinggi sedikit daripada peringkat pertama

Peringkat mulhimah Namanya
Nafsu yang telah bersih dari segala kekotoran hati peringkat pertama dan yang kedua tadi, oleh itu ia selalu dapat ilham-ilham yang berguna dan luar biasa. Nafsu ini lebih tinggi daripada nafsu peringkat yang kedua

Perkataan akal juga ada dua pengertian
Akal dengan makna yang pertama ini ialah
Akal dengan tabiatnya dapat memikir dan mengetahui segala hakikat sesuatu

Akal dengan makna yang kedua ini ialah
Akal yang ‘alim dengan ilmunya dan ilmunya sebagai sifat bagi akal. Pengertian seumpama ini adalah sama dengan pengertian (latifah rabbania) sebagaimana yang telah dihuraikan tadi kerana tidak mungkin apa yang dimaksudkan dengan akal itu melainkan pengertian yang kedua pada perkataan qalbu dan roh itu jua. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

اَوَّلُ مَاخَلَقَ اَللهُ تَعَالَي اَلْعَقْلُ ثُمَّ قَالَ لَهُ اَقْبِلْ فَاَقْبَلَ ثُمَّ قَالَ اَفَاَدْبَرَ
Ertinya: Mula-mula yang dijadikan oleh Allah S.W.T ialah akal, kemudian berkata Allah S.W.T kepada akal berhadap olehmu, maka berhadap ia, kemudian berkata Allah S.W.T kepadanya pergi oleh mu maka jauh ia

Jadi, dengan huraian-huraian tadi, jelas kepada kita bahawa apa yang dimaksudkan dengan kalimah-kalimah qalbu, roh, akal dan nafsu yang berlain-lainan rupa bagaimana yang terdapat dalam hadith-hadith dan ayat-ayat Al-Quran itu adalah satu arti jua pada hakikatnya iaitu latifah rabbania yang dibahasakan kepada rohani jua, cuma yang berlainan ialah bentuk dan sebutan kalimah-kalimah jua kerana mengikut pandangan dan ‘iktibar dari segi perkembangan jua iaitu apabila ia kekal di dalam dzulmat syahwat dan maksiat, maka pada ketika itu dinamakan nafsu, apabila ia berasa gerun dan takut hendak melakukan maksiat dengan sebab terfikir bahawa perbuatan umpama itu suatau perkara yang dibenci Allah S.W.T dan masyarakat, maka diwaktu itu ia dinamakan (a’qad) apabila ia tenang dibawah peraturan cahaya taat, tetapi perasaannya senantiasa berbalak-balak dalam hal perkara tadbir kehidupan dunia. Maka ketika itu dinamakan (Qalbu) yang artinya berbalak-balak dan apabila ia tenang dan tetap berselera dengan Allah S.W.T serta dibukakan mata rohnya (basirah) dan disyuhudkan nur aslinya maka pada ketika itu ia dinamakan (Roh). Disana terdapat pula (Sir namanya) iaitu apabila ia (nafsu) sudah bersih dari tarikan tabiat jahat hingga terjadi ia sebagai rahsia dan sir semata-mata, maka diwaktu itu dinamakan (Sir) tetapi semua nama-nama istilah itu tidak lari dari satu hakikat jua iaitu (latifah rabbania) namanya. Inilah dia latifah rabbania satu daripada rahsia-rahsia yang datang dari alam ghaib Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T yg ertinya

Katakanlah wahai Muhammad roh itu satu daripada urusan rahsia-rahsia alam tuhan yang ghaib (Al Israa’: 85)

Tuesday, November 3, 2009

PENGURUSAN JIWA: Komunikasi Berkesan Dengan Allah SWT




Asas kepada komunikasi ialah mesej yang disampaikan boleh difahami oleh penerima dan pemberi maklumat memahami mesej tersebut. Sekiranya pemberi maklumat menyampaikan mesej dalam keadaan sambil lewa atau tidak bersungguh bukan sahaja mesej itu sukar difahami malah penerima mesej juga akan menerimanya dalam keadaan sambil lewa. Sesuatu mesej yang penting dan urgent untuk disampaikan seperti mesej kepada ketua di tempat kerja, kepada pimpinan, menteri atau kepada Raja, tentunya mesej ini disampaikan dalam adap-adap tertentu malah ada protokolnya. Persoalannya berkomunikasi dengan Raja segala Raja, Allah SWT perlukan protokol?

Ada mesej disampaikan melalui tulisan, percakapan, tayangan, melalui isyarat tertentu malah dengan bahasa badan sahaja atau gabungan semua di atas. Anda yang pernah mengikuti kursus komunikasi ini, cara senyum dan jenis-jenis senyuman juga diajar.

Sekiranya mesej komunikasi itu mengharapkan sesuatu maka seperti biasa ianya bermula dengan memuji-muji atau memberikan kata-kata yang sedap di dengar oleh orang yang dipohon bantuan. Ramai juga orang yang pakar memuji dan tidak kurang yang pakar mengampu malah besar pula kipasnya. Dan fitrah manusia yang di puji, sedikit sebanyak tersentuh hatinya bila darjatnya dinilai oleh orang lain.

Sebaliknya mesej yang disampaikan itu dalam berbentuk arahan, tegas, kutukan, suruhan atau rasa tidak puas hati maka nada suaranya berlainan malah ada ketikanya rotan sampai ke badan anak-anak, pelempang -penumbuk naik ke muka atau memek muka yang mencemuh.

Di zaman dunia tanpa sempadan ini, pelbagai maklumat boleh diperolehi di hujung jari sahaja, akal dan kualiti ketakwaan yang menilai maklumat yang banyak faedah atau sebaliknya.

Allah SWT berkomunikasi dengan manusia melalui wahyu-Nya dengan pengantaraan Rasul-Rasul-Nya. Selama kira-kira 21 tahun, Rasulullah SAW menerima wahyu Allah dan sudah di susun atur oleh baginda mengikut arahan dari Allah SWT. Jika sebuah buku yang ditulis dan di edit, di susun atur oleh penerbit lalu dipasarkan, Al-Quran ialah buku yang dikarang oleh Allah SWT, Allah sendiri yang menyusun atur semula Al-Quran seperti yang terdapat sekarang ini dan Rasulullah SAW yang menyebar luas kepada umat manusia. Komunikasi di dalam Al-Quran yang bermula dengan ingatan dan ajakan Allah kepada pentingnya dada manusia di isi dengan ilmu. Begitu juga mesej dalam bentuk ancaman, larangan, tegahan, seruan, suruhan, penawaran selain kisah tauladan dari sejarah manusia terdahulu yang melingkupi carta kehidupan manusia dari alam roh, kemudian ke alam rahim, kehidupan dunia dari bangun tidur sehingga tidur semula, kemudian memasuki alam barzah yang mana lebih lama ( ada orang yang hidup pada usia 90-100 tahun,kini sudah ratusan tahun di tanah kuburan) untuk menunggu alam kebangkitan menuju alam mahsar.

Sebahagian dari kita menjadikan Al Qur’an sebagai alat komunikasi harian kita dengan Allah SWT. Sebahagian dari kita menatap Al Qur’an seminggu sekali, itu pun surah Yasin. Jarang pula mentelah terjemah al Qur'an, apalagi membuka tafsirannya. Di dalam internet ini begitu mudah untuk mendapatkan terjemah dan tafsirannya. Malah lebih malang lagi ada yang bersungguh untuk menghafal dengan niat menjadi al hafiz-hafizah tetapi hafazannya itu tidak terkesan di hati dan tidak membentuk akhlak. Penulis pernah berjumpa sendiri, ada segelintir dari mereka yang tidak mendapat roh dari ayat-ayat Al Qur’an yang di hafal, kata janjinya tidak boleh dipegang, malah kuat tipu daya walaupun bibirnya basah dengan ayat-ayat Allah. Sepertimana kata saidina Umar,” mereka yang membaca al Qur’an dan tidak terkesan pada dirinya, sebenarnya mereka tidak membaca al Qur’an”.

Dengan kata lain, berkomunikasi dengan Allah dengan membaca ayat-ayatNya pada setiap hari atau seminggu sekali atau jarang-jarang sekali tetapi apa yang di ucap dari mulut tidak di ikuti oleh hati. Soal pahala membaca Al Qur’an, kita berserah dan memang mengharapkan dari Allah SWT.


Alangkah lebih terkesan dan bermakna komunikasi yang membawa maksud menghambakan diri kepada Nya, memohon rezeki, mengharapkan Syurga Nya difahami dan di hayati. Dibimbangi Allah SWT tidak berkomunikasi dengan si pembaca Al Qur’an yang lalai tadi.

Manusia semakin dekat berkomunikasi dengan Allah di dalam doa dan zikirnya. Tetapi berapa ramai dari tidak memahami doa yang di aminkan dan fikiran entah ke mana semasa berzikir. Komunikasi berkesan ialah kedua-dua pihak faham apa yang di bicarakan, apa yang di pohon.

Dan tentunya kita berkomunikasi pada setiap hari dengan Allah SWT ketika mendirikan ibadah yang hebat iaitu solat lima waktu.

Seterusnya kita menyambut komunikasi dan arahan Allah dengan mewajibkan supaya kita selama sebulan berpuasa pada bulan ramadhan. Jiwa yang berpuasa, tentunya komunikasinya dengan Allah lebih telus dan ikhlas. Jiwa yang berpuasa ini, lebih khusyuk solatnya, lebih terfokus bacaan al Qur’annya, memahami hajat-hajat di dalam doanya, lebih banyak dan menghayati zikirnya, lebih banyak sedekahnya berbanding jiwa yang tidak berpuasa walaupun perutnya berpuasa!!. Jiwa yang berpuasa ini akan mengarahkan supaya mata, telinga dan mulutnya turut berpuasa.

Ramai dari kita menunggu-nunggu dan mengeluarkan wang ringgit untuk lebih hebat komunikasinya dengan Allah SWT ketika melakukan Umrah atau Haji. Kita tahu komunikasi di kedua-dua tanah haram itu diberi ganjaran yang tinggi. Umrah dan Haji ini lebih kepada gerak kerja, maka ianya juga memerlukan kemahiran dan kreativiti supaya lebih mendapat pahala dari Allah SWT. Bukan sekadar menyediakan wang ringgit tetapi faktor sihat cergas memainkan peranan penting untuk menunaikan Umrah dan Haji ini. Tentunya ada skil dan kreativiti tertentu