Monday, December 28, 2009

MELIHAT KEBAIKAN DALAM SEGALA HAL


... Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. (al-Baqarah: 216)


Menyedari bahawa Allahlah yang Telah Mentakdirkan Semua Hal. Kebanyakan orang merasa senang saat segala sesuatu terjadi sesuai dengan keinginannya. Akan tetapi, orang beriman tidak boleh cenderung kepada perasaan seperti itu. Di dalam Al-Qur`an, Allah memberikan khabar gembira bahawa Dia telah menentukan setiap peristiwa demi kebaikan hamba-Nya dan hal tersebut tidaklah menimbulkan rasa sedih ataupun masalah bagi mereka yang benar-benar beriman.

Seseorang yang menyedari kebenaran ini di dalam hatinya akan merasa senang terhadap apa yang dihadapinya dan ia melihat karunia yang tersimpan di balik apa yang terjadi.

Banyak orang bahkan tidak ingin sibuk berfikir bagaimana dan mengapa mereka ada di dunia ini. Walaupun kata hati akan menuntun mereka untuk menyedari bahawa keajaiban dunia yang sempurna ini memiliki pencipta, cinta yang luar biasa banyaknya yang dirasakan di dunia ini, keengganan mereka untuk melihat kebenaran, membawa mereka kepada pengingkaran terhadap realiti keberadaan Allah. Mereka mengabaikan fakta bahawa setiap kejadian dalam hidupnya ditentukan sesuai dengan rencana dan tujuan tertentu; mereka malah menghubungkannya dengan idea yang sungguh-sungguh salah, yakni hanya kebetulan. Bagaimanapun juga, ini hanyalah sebuah pandangan yang menghalangi seseorang untuk melihat kebaikan dalam peristiwa-peristiwa yang terjadi dan kemudian menarik pelajaran dari peristiwa tersebut.

Ada pula mereka yang sedar akan eksistensi Allah dan mengerti bahawa Dialah yang telah menciptakan seluruh alam. Mereka mengakui fakta bahawa Allahlah yang menurunkan hujan dan meninggikan matahari. Mereka menyedari bahawa tidak mungkin ada zat lain yang melakukan semua itu. Meskipun demikian, Allahlah yang mentakdirkan seorang pencuri memasuki rumah di malam hari, sebuah rintangan yang menyebabkan seseorang terjatuh, sebuah tanah subur untuk ditanami atau dibiarkan gersang, jual beli yang menguntungkan sekalipun. Setiap peristiwa terjadi dengan kebijaksanaan-Nya yang tak terbatas untuk menyelesaikan ketentuan-Nya yang agung. Sepercik lumpur yang mengotori baju kita, jerawat yang muncul, penyakit, atau kejadian yang tidak diharapkan lainnya. Semuanya terbentuk dalam kehidupan seseorang sesuai dengan ketentuan tertentu.

Sejak seseorang membuka matanya, tak ada satu pun yang dialaminya di dunia ini terjadi dengan sendirinya dan terlepas dari Allah. Segala yang ada secara keseluruhan diciptakan oleh Allah, satu-satunya zat yang memegang kerajaan alam semesta. Ciptaan Allah bersifat sempurna, tanpa cacat, dan sarat dengan tujuan. Ini adalah takdir yang diciptakan oleh Allah. Seseorang tidak boleh mengotak-ngatikkan peristiwa yang terjadi dengan menamai kebaikan pada sebuah peristiwa dan kejahatan pada peristiwa yang lain. Apa yang menjadi kewajiban seseorang adalah menyedari dan menghargai kesempurnaan dalam setiap peristiwa. Kita harus percaya bahawa ada kebaikan dalam setiap ketetapan-Nya serta tetap menyedari kenyataan bahawa kebijaksanaan Allah yang tak terbatas ini telah direncanakan untuk sebuah hasil akhir yang paling sempurna. Bahkan mereka yang percaya dan mencari kebaikan dalam segala peristiwa yang menimpa mereka, baik di dunia ini mahupun akhirat nanti, mereka akan menjadi bagian dari kebaikan yang abadi.

Hampir di setiap halaman Al-Qur`an, Allah meminta kita untuk memerhatikan hal tersebut. Inilah sebabnya mengapa ketidakmampuan dalam mengingat bahawa segalanya berjalan sesuai dengan takdir itu menjadi sebuah kegagalan yang mengerikan bagi seorang mukmin. Takdir yang dituliskan oleh Allah begitu unik dan dilewati oleh seseorang benar-benar sesuai dengan apa yang telah Allah tetapkan. Orang awam menganggap kepercayaan akan takdir semata-mata hanya merupakan cara untuk "menghibur diri" di saat tertimpa kemalangan. Sebaliknya, seorang mukmin memiliki pemahaman yang benar akan takdir. Ia sepenuhnya menganggap bahawa takdir adalah sebuah rencana Allah yang sempurna yang telah dirancang khusus untuk dirinya.

Takdir adalah rencana tanpa cacat yang dibuat untuk mempersiapkan seseorang untuk sebuah kenikmatan syurga. Takdir penuh dengan keberkatan dan maksud Ilahiah. Setiap kesulitan yang dihadapi seorang mukmin di dunia ini akan menjadi sumber kebahagiaan, kesenangan, dan kedamaian yang tak terbatas di kemudian hari. "Sesungguhnya, setelah kesulitan itu ada kemudahan." (al-Insyirah: 5) Ayat ini menarik kita pada kenyataan bahawa di dalam takdir seseorang, kesabaran dan semangat yang ditunjukkan oleh seorang mukmin, telah dituliskan sebelumnya bersama-sama dengan balasannya masing-masing di akhirat.

Sekali waktu mungkin terjadi dalam jenak kehidupan, seorang mukmin menjadi marah atau khawatir akan terjadinya hal-hal tertentu. Penyebab utama dari kemarahan yang ia rasakan adalah karena ia lupa bahawa semua itu merupakan bagian dari takdirnya dan bahawa takdirnya itu telah diciptakan oleh Allah hanya untuk dirinya sendiri. Walaupun demikian, ia akan merasa nyaman dan tenang ketika ia diingatkan akan tujuan ciptaan Allah.

Karena itulah, seorang mukmin harus belajar untuk terus mengingat bahawa segalanya telah ditetapkan sebelumnya. Ia harus mengingatkan orang lain akan hal ini. Ia harus bersabar saat menghadapi peristiwa-peristiwa yang Allah telah takdirkan untuknya dengan memberikan rasa percayanya kepada Allah dalam jarak waktu yang tak terbatas. Tak lupa, ia harus berusaha menemukan alasan-alasan di balik semua peristiwa tersebut. Jika ia berusaha memahami alasan-alasan ini, dengan seizin Allah, ia akhirnya akan berhasil. Bahkan walaupun ia tidak selalu berhasil menemukan maksud di baliknya, ia masih tetap yakin bahawa ketika sesuatu terjadi, pastilah semua itu demi kebaikan dan maksud tertentu.

Memahami sepenuhnya bahawa setiap makhluk, hidup ataupun tidak, diciptakan dalam kepatuhannya pada takdir.

Takdir adalah pengetahuan sempurna Allah atas semua peristiwa di masa lalu dan masa depan, laksana satu waktu saja. Ini menunjukkan kekuasaan mutlak Allah atas semua makhluk dan semua peristiwa. Manusia bisa saja berhati-hati agar tidak mengalami suatu peristiwa yang buruk, tetapi Allah mengetahui semua peristiwa sebelum hal itu terjadi. Bagi Allah, masa lalu dan masa depan adalah satu. Semua itu sama-sama berada dalam pengetahuan Allah karena Dialah yang menciptakannya.

"Sesungguhnya, Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran." (al-Qamar: 49)

Manakala Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada . Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andai kata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.


Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Di dalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperoleh kegembiraan Baginda berkata : " Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ". Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan : " Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :
" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :
1. Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.
2. Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )

MEMBANGUNKAN JIWA YANG TIDUR






Perubahan jiwa merupakan suatu pembaharuan dan perubahan dalam falsafah dan pandangan hidup, cita-cita dan semangat, kehendak dan kebiasaan. Setiap gerakan dan kebangkitan, politik dan ekonomi hendaknya sejalan dengan perubahan jiwa dan semangat.

Perubahan suatu manusia tidak mungkin terjadi secara tiba-tiba atau secara kebetulan. Berbagai bangsa di dunia mencapai kebangkitan setelah tidur, menjadi kuat setelah mengalami kelemahan, dan mengalami kemajuan setelah mundur; setelah mereka mendapat didikan sihat dan baik. Atau dengan lain perkataan, setelah mengalami perubahan jiwa dan pola berfikir. Mereka yang asalnya pasif menjadi aktif dan yang berputus asa menjadi bersemangat dan berkemahuan keras.

Demikianlah sunnatullah, hukum Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dalam kehidupan ini seperti yang ditegaskan di dalam Al-Quran dengan kalimat yang singkat tetapi tepat, iaitu;"Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah (keadaan mereka) sendiri." [Ar-raad:11]

Perubahan diri dan semangat bukanlah suatu hal yang mudah dan ringan untuk dilakukan, tetapi sebaliknya merupakan suatu hal yang berat dan sulit. Sebab manusia merupakan makhluk yang dalam dirinya bertemu dan bercampur berbagai macam sifat dan keadaan. Usaha membendung aliran sungai yang besar dan mengubah arah alirannya merupakan pekerjaan yang jauh lebih ringan daripada pekerjaan mengubah jiwa, pandangan hidup dan pola berfikir manusia.

Membangunkan satu perusahaan, membina sekolah dan membangunkan bangunan-bangunan, mudah dilakukan. Namun membangunkan jiwa dan mengubah pandangan hidup, amatlah sukar. Bukanlah pekerjaan ringan untuk menjadikan manusia agar dapat menguasai nafsunya, mengekang syahwatnya, mahu memberi di samping menerima, mahu menunaikan kewajipannya di samping mengambil dan menuntut haknya, mahu mengetahui dan menerima kebenaran, dan berani membela serta menegakkan kebenaran itu. Membentuk manusia yang mahu bersusah payah dan menanggung keletihan untuk memperbaiki keadaan yang rosak, rela berkorban untuk mengajak dan menyeru manusia melakukan kebajikan, mencegah kemungkaran, rela mengorbankan jiwa dan harta di jalan kebenaran; adalah merupakan pekerjaan yang tidak mudah dicapai.

Walau bagaimanapun, kekuatan iman merupakan sesuatu yang 'ajaib'. Iman dapat mempersiapkan jiwa manusia untuk menerima pemikiran yang segar, walaupun hal itu mengandung tanggungjawab dan kewajipan, pengorbanan dan kesusahan. Imanlah satu-satunya unsur yang dapat mencetuskan perubahan dalam jiwa manusia dan mampu memberikan manusia satu nafas baru, yang akan diikuti pula dengan perubahan pada pandangan hidup dan jalan hidup yang ditempuhnya. Seterusnya akan berubah pula perilaku, cita-cita, perasaan dan pertimbangan hidupnya. Kalau kita amati seseorang yang melalui kehidupan pada dua keadaan; sebelum dan selepas Islam, akan jelas kepada kita bahawa kehidupannya selepas tunduk kepada Islam tidak sama dengan keadaan sebelumnya.

Iman akan memberikan pengaruh drastik kepada kehidupan seseorang tanpa mengira peringkat kehidupan seseorang. Tidak seperti teori para psikologis dan para pendidik, di mana mereka mengandaikan keberkesanan pendidikan adalah terbatas kepada peringkat-peringkat tertentu dalam kehidupan seseorang manusia.

Para psikologis telah menetapkan zaman kanak-kanak sebagai masa penerimaan dan pembentukan tingkah laku. Jika satu sifat tertentu telah tertanam dalam jiwa seseorang, sulitlah untuk dilakukan perubahan kerana telah menjadi sifat yang tetap. Bebeza halnya dengan pengaruh kekuatan iman. Apabila iman telah tertanam dan tumbuh di dalam jiwa seseorang, maka iman ini akan mengubah tujuan hidup seseorang, dan mengubah pandangan hidupnya, baik tentang alam, maupun kehidupan ini. Semuanya tidak terbatas kepada masa, baik pada zaman kanak-kanak, remaja, dewasa maupun pada masa tua.

Sebagai contoh, lihatlah kisah tukang-tukang sihir Firaun, seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran dalam surah Asy-Syuara ayat 32 hingga 51, dan pendirian mereka terhadap ancaman Firaun untuk menyiksa dan membunuh mereka apabila mereka beriman kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala sebagaimana diceritakan oleh Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dalam surah Thaha, ayat 71 hingga 73.

Perhatikan, bagaimana besarnya perubahan jiwa tukang-tukang sihir itu setelah beriman. Pandangan dan pertimbangan akal fikiran mereka telah berubah, bagai siang dan malam. Betapa manisnya iman yang mereka nikmati, sehingga dengan tegas dan berani, mereka menjawab ancaman Firaun, "Kami sekali-kali tidak mengutamakan kamu daripada bukti-bukti yang nyata (mukjizat), yang telah datang kepada kami."

Iman memberikan seseorang suatu didikan yang baik, sehingga terbentuk peribadi yang baik yang yakin kepada Allah, takut kepada siksaan-Nya, tunduk merendah diri kepada-Nya, bersedia menjalankan perintah-Nya, bekerja, berjuang dan berkorban dengan harta, jiwa dan raga, penuh keikhlasan dengan hanya mengharapkan keredhaan-Nya.

Oleh kerana itu, seorang peniaga atau usahawan yang beriman, akan menjadi peniaga atau usahawan yang jujur. Seorang miskin yang beriman akan selalu menjaga kehormatannya dan selalu bekerja keras. Seorang buruh atau pegawai yang beriman akan menjadi buruh atau pegawai yang dedikasi dan jujur. Seorang kaya yang beriman akan menjadi seorang yang dermawan dan suka menolong. Seorang hakim yang beriman akan menjadi hakim yang adil dan saksama. Orang yang beriman apabila diberikan kepercayaan untuk menjaga harta milik umum, maka ia akan menjaganya dengan amanah. Tegasnya iman dapat membentuk peribadi yang ulung dan agung pada diri seseorang.

Daripada peribadi-peribadi yang lahir itulah akan terbentuk masyarakat Islam yang baik dan memberi kebaikan, baik kepada individu mahupun masyarakat, dunia dan akhirat. Untuk membangunkan satu masyarakat yang adil, makmur dan beradab, tidak dapat tidak, jiwa individu yang menganggotai sesuatu masyarakat itu perlulah dibina dengan iman. Inilah yang telah dilaksanakan oleh junjungan mulia Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam.

HIDAYAH ALLAH BUKANNYA MUDAH


Memindah sebuah bukit yang besar lebih mudah berbanding dengan mengubah hati seorang manusia. Tegas Allah kepada RasulNya, " Wahai Muhammad, seandainya engkau membelanjakan seluruh isi dunia dengan hasrat supaya manusia menerima Islam nescaya engkau akan kecewa. Engkau tidak akan mampu menjinakkan hati manusia TETAPI Allahlah yang menjinakkan hati-hati manusia". Oleh yang demikian di dalam mengingatkan manusia kepada Islam jangan sekali-kali kita lupa untuk berdo'a kepada Allah agar melembutkan hati manusia untuk mencintai dan sayang kepada agama Allah yang dibawa oleh baginda Rasul SAW.

Manusia dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibnu Khaldun menyatakan " Suasana persekitaran lahir sebelum seseorang bayi dilahirkan". Maka persekitaran menjadi antara penyebab untuk seseorang insan menjadi baik atau sebaliknya. Antara penyakit lain yang membawa kebinasaan kepada manusia ialah sikap terlalu sayangkan dunia dan panjang angan-angan.

Sesungguhnya kita sebagai hamba amat mendambakan taufik, hidayah dan Inayah Allah subhanahu wata'ala. Taufik boleh diertikan sebagai sikap Allah yang telah memilih kita, suka dan kasihkan kita. Hidayah pula adalah petunjuk dari Allah hasil daripada taufik Allah kepada kita. Sementara Inayah adalah pertolongan Allah untuk kita dapat melaksanakan segala titah perintah dan menjauhi setiap perkara yang dilarang oleh Allah.

Ingatlah, " Sesiapa yang suka bertemu dengan Allah (suka beramal soleh) maka sudah tentu Allah akan suka bertemunya di hari akhirat kelak. Begitulah jua sebaliknya.

Ketenangan jiwa membawa erti seseorang itu aman dan tenteram, tidak gelisah, tidak runsing, lapang fikiran, tidak diganggui, mantap, stabil, berasa lega, tidak risau dan gundah.

Seorang yang mempunyai jiwa yang tenang ia akan menjadi manusia yang selesa hidupnya, bahkan keadaan dirinya. Tidak runsing apabila hatinya tidak terganggu, ia akan dapat membuat kerja dengan baik dan teratur, sama ada kerja-kerja itu berbentuk tugasan harian di tempat kerja ataupun kerja-kerja di rumahnya atau amalan ibadat yang dilaksanakan setiap hari.

Sebaliknya bagi orang yang mengikut hawa nafsu mereka mencari ketenangan melalui proses yang salah yang tidak direstui oleh syarak seperti minum-minuman yang memabukkan, menghidu gam, menghisap dadah, berseronok dengan wanita-wanita yang bukan isterinya, kesan dari perbuatan itu, mereka dapati kehidupan yang tidak selesa sentiasa dihantui dengan perasaan bersalah, hal yang demikian menyulitkan lagi keadaan yang sedia ada.

Sesungguhnya untuk mencapai ke arah jiwa yang tenang, ia bukan suatu yang mudah dan bukan pula suatu yang mustahil. Untuk mendapatkannya ia perlu diusaha, dilatih bersungguh-sungguh secara berterusan dan aktif setiap hari melalui proses bimbingan dan panduan ke atas diri individu seperti membina sikap positif, sebagai contoh " bertafakur ", seseorang memerlukan suasana yang tenang dan sunyi. Fikiran dikosongkan daripada peristiwa hidup. Sentiasa mengingati kuasa tuhan. Tubuh badan berasa santai dan rehat secara fizikal dan emosional. Insyallah jika diusahakan akan berjaya. Selain dari pegangan dan amalan agama boleh membantu individu mendapatkan ketenangan. Agama memberi kekuatan iman dan keteguhan jiwa dengan adanya kepercayaan kepada kuasa dan pertolongan tuhan. Dalam Islam sembahyang lima waktu dan sembahyang sunat boleh melegakan fikiran serta memberi harapan kepada individu berkenaan. Wirid, berzikir, membaca Al-Quran boleh membantu menenangkan hati. Nikmat yang dapat dirasai melalui perkara-perkara tersebut ialah ketenangan batin dan ketenteraman jiwa. Pengalaman rohaniah ini membina kekuatan iman. Zikir mengajar individu supaya bertaqwa kepada tuhan.

Firman Allah dalam surah Ar-Ra'du ayat 28. Maksudnya : " Orang-orang yang beriman menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu tenteramlah hati "


Sebenarnya hati orang-orang yang beriman itu senang dan tenteram kerana selalu mengingati Allah di waktu ditimpa malapetaka. Mereka ingat kepada Allah dan cepat insaf dan memeriksa kekhilafannya agar dapat diubahnya di masa akan datang. Oleh sebab itu hilanglah dukacitanya berganti dengan gembira dan mengharapkan kurniaan Allah. Begitu juga jika mereka mendapat anugerah (nikmat), mereka tidak sombong, malahan mengucapkan terima kasih kepada Allah. Sebab itu hati orang-orang yang beriman itu senang dan tenteram baik di waktu susah ataupun gembira. Kesenangan hati itu ialah kebahagiaan yang sebenarnya. Sebab itu dalam Islam amat dipentingkan sekali menegakkan sembahyang lima kali sehari semalam kerana dalam sembahyang itulah kita mengingati Allah dan membersihkan jiwa. Nabi mengatakan bahawa sembahyang itu tempat ketenangan jiwanya dan kesenangan hatinya. Oleh yang demikian senanglah hati menghadapi segala kemungkinan dan kesulitan dalam masyarakat hidup di dunia ini. Firman Allah dalam surah Al-Fajr ayat 27-30 yang bermaksud :

" Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya, kembalilah kepada tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhai (di sisi tuhanmu), serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia, dan masuklah ke dalam syurgaku ".

Naluri semula jadi yang membezakan antara manusia dengan ciptaan Tuhan yang lain ialah daya inkuiri yang menuntut mereka mencari ilmu bagi kepuasan akal. Seperti dalam kisah Nabi Ibrahim yang tertanya-tanya akan bagaimana keadaan dunia selepas mati. Bukan baginda tidak yakin dengan kemampuan Ilahi, tapi kerana daya inkuiri yang sentiasa mahukan bukti.

Islam sebagai agama fitrah, agama yang menepati naluri manusia, adalah cara hidup yang amat mementingkan ilmu. Jelas, kerana tanpa ilmu manusia tidak dapat melakukan apa-apa secara sendirian tanpa panduan. Hatta si kecil yang mahu menyuapkan nasi ke mulut pun terpaksa belajar daripada ibunya. Islam amat menyanjungi orang yang berilmu, kerana hanya orang yang berilmu yang dapat membezakan antara yang benar dan yang salah.

Firman Allah: ``Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?'' (Az-Zumar: 9) ``Sesungguhnya orang yang paling takut pada Allah hanyalah para ulama.'' (Fatir: 28)

Rasulullah s.a.w. telah bersabda dalam sebuah hadis yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a.: ``Sesiapa yang mengambil inisiatif untuk menuntut ilmu, maka Allah permudahkan baginya jalan menuju ke syurga.'' (Hadis riwayat Muslim)

Betapa ilmu yang bermanfaat, dapat menundukkan hati manusia kepada Allah, seterusnya membawa jiwa-jiwa yang tenang dalam perhambaan ini kepada syurga. Pada asalnya, semua ilmu adalah membawa kepada kebaikan kecuali ilmu yang dipelajari daripada syaitan, iaitu ilmu sihir dan ilmu tenung nasib. Ilmu akan memandu pemiliknya ke arah jalan yang betul supaya mereka ini tidak mudah tersesat dalam perjalanan mereka. Jika pun tersesat, mereka ada keupayaan untuk kembali ke pangkal jalan dan tidak teraba-raba bagai pengemudi kapal di lautan gelap tanpa bintang penunjuk arah.

Mendidik


Islam telah menetapkan ilmu asas bagi seorang mukmin sebagai ilmu fardu ain. Ilmu ini mesti dituntut oleh seorang hamba bagi merealisasikan kehidupan seorang hamba dengan Tuhan, dengan dirinya dan dengan hamba-hamba yang lain. Ilmu yang paling penting ialah ilmu tauhid. Ilmu yang dapat mengenalkan seorang hamba dengan Tuhannya, seorang manusia dengan Penciptanya. Seterusnya ilmu asas untuk mereka melakukan pengabdian (ibadah) kepada Tuhan iaitu ilmu fikah yang membicarakan sama ada sah atau tidak sembahyangnya. Akhirnya ialah ilmu akhlak yang mendidik manusia menjadi insan yang ikhlas beramal, melakukan yang terbaik untuk Allah dan manusia sejagat.

Namun untuk merealisasikan tuntutan syariah, tidak cukup tanpa ilmu-ilmu bantu yang dinamakan ilmu fardu kifayah. Untuk sembahyang contohnya, kita perlukan masjid yang memerlukan jurutera dan pekerja binaan. Ibadah haji pula memerlukan kapal terbang, yang perlu dicipta oleh saintis. Bahkan tanpa doktor yang tahu tentang ilmu kesihatan, kita sudah tentu susah untuk beribadah apabila badan sudah sakit. Oleh itu, ilmu fardu kifayah seperti ilmu kejuruteraan, kedoktoran, perkomputeran dan lain-lain juga diperlukan. Bahkan sekarang ini, para saintis amat diperlukan untuk membuktikan keajaiban fakta-fakta di dalam kitab al-Quran secara saintifik yang boleh menyerlahkan tentang kehebatan Allah yang mencipta!

Jelas, setiap perkara perlukan ilmu. Ilmu yang bermanfaat bukan sahaja pada diri sendiri, tapi pada orang lain juga.

Apa yang berlaku sekarang ialah ilmu yang sedang dipelajari itu sudah dilupai hala tuju asalnya. Ibarat seorang yang mendaki bukit yang menemui taman-taman indah di perjalanan, lantas terlupa tujuan asalnya untuk menawan puncak bukit tadi!

Ilmu yang pada asasnya membawa manusia kepada kebaikan tidak memberi sebarang kesan terhadap diri. Seolah-olah hati manusia tidak boleh berkomunikasi dengan minda mereka sendiri. Ya, akal tahu yang mana benar dan yang mana salah, tapi hatilah yang menggerakkan untuk melakukan kesalahan ataupun memilih kebaikan.

Daripada Nu'man bin Basyir r.a. melaporkan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: ``Ketahuilah bahawa di dalam tubuh manusia ada seketul darah yang apabila ia rosak, rosaklah keseluruhan jasad dan apabila ia baik, baiklah keseluruhannya, ketahuilah itulah hati!'' (Muttafaq `alaih).

Lihatlah betapa ramainya orang yang berilmu melakukan kemungkaran dan kemaksiatan kepada Allah walau ilmu memenuhi akal. Ada juga yang hanyut dengan ilmunya yang banyak sehingga menafikan hak orang lain untuk dihormati, disayangi dan dikagumi. Ilmu membuatkan dia ego, bongkak, sombong, besar diri dan keras kepala. Allah telah menjelaskan hal ini di dalam al-Quran: ``Adakah kamu sentiasa menyuruh manusia melakukan kebaikan, sedangkan kamu lupa pada dirimu sendiri, padahal kamu sendiri telah membaca kitab Allah, tidakkah kamu boleh berfikir?'' (Al-Baqarah: 44).

Rupanya ilmu hanyalah jalan mendapat hidayah atau petunjuk Allah. Ilmu itu rupanya cuma lorong menuju kebenaran dan ilmu itu bukanlah destinasi. Ilmu yang diperolehi oleh akal tidak mampu mengubah diri kita untuk mendapat rasa perhambaan kepada Allah, tapi hanya instrumen yang tidak semestinya dipergunakan ke arah kebaikan. Ibarat pisau yang menjadi bermanfaat kalau digunakan untuk memotong daging lalu dibuat sup, tetapi menjadi mudarat jika digunakan sebagai alat mencederakan manusia!

Akhlak

Firman Allah: ``Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah. Allah memberi hidayah petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.'' (Az-Zumar 39:3).

Hidayah Allah tidak datang kepada manusia hanya kerana mereka berilmu, kecuali manusia itu benar-benar mengharapkan petunjuk Allah. Kepincangan akhlak yang berlaku sekarang ialah kerana hati manusia sudah tidak melihat ilmu sebagai wadah mengenal Allah dan alat untuk berbakti kepada masyarakat kerana Allah. Tanpa niat yang baik, natijah buruklah yang menunggu walau ilmu yang dituntut itu cukup baik.

Benarlah sekali bicara suci Rasulullah s.a.w. yang diceritakan oleh Umar al-Khattab: ``Sesungguhnya sebenar-benar pekerjaan adalah berasaskan niat. Dan sesungguhnya bagi setiap insan itu apa yang telah diniatkannya.'' (Muttafaq alaih).

Justeru apa yang berlaku sekarang ialah tiadanya unsur-unsur ketuhanan, mahupun kesedaran moral dalam menuntut ilmu. Remaja belajar adalah kerana arus, bukan kerana kesedaran atau niat untuk berbakti kepada Allah dan masyarakat setelah cukup ilmunya.

Kadang-kadang kita tahu perkara itu tidak baik tapi kita tetap melakukannya. Tandanya, tahu itu tidak memberi apa-apa kesan tanpa disusuli dengan amalan. Fahamlah juga kita, hidayah atau petunjuk kepada kebenaran itu bukanlah boleh dicari sebagaimana kita boleh mencari ilmu.

Hidayah itu milik Allah yang dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, iaitu orang-orang yang mencari ilmu kerana mendambakan hidayah-Nya.

Kita diberi pilihan untuk menjadikan diri kita termasuk dalam orang-orang yang mendapat petunjuk Allah. Menjadi orang-orang yang soleh, yang terpilih dan yang termasuk daripada kalangan hamba yang diredhai-Nya. Dengan syarat, kita serius dalam memohon petunjuk Allah. Sentiasa bermujahadah, melawan segala nafsu buruk, menambah keikhlasan dan kualiti amalan kita.

Dengan niat perhambaan kepada Allah, tidak kiralah dalam amal ibadah khusus atau profesion seharian, pasti kita diselamatkan daripada melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. Hal ini kerana Allah pernah berjanji: ``Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.'' (Al-Ankabut 29:69)

Pohonlah hidayah Allah sebagaimana Allah mengarahkan kita melakukan permohonan setiap kali menunaikan sembahyang dalam setiap rakaat. ``Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.'' (al-Fatihah 1:6).

Doa ini akan sentiasa mengawal diri kita daripada tersasar arah tuju. Hanya dengan niat kerana Allah, ilmu yang dipelajari walau sedikit, akan memberi manfaat. Saintis yang beretika, pegawai yang amanah, jurutera yang ikhlas, ulama yang jujur, doktor yang mulia, ahli korporat yang tawaduk dan masyarakat berilmu, maju dan berakhlak, hanya akan lahir apabila ilmu diaplikasikan dengan betul bersama-sama hidayah daripada Allah.

MEMBINA KEKUATAN DIRI


Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan menunaikan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya, mudah-mudahan kita tergolong di dalam golongan orang yang paling bertakwa.


Aqidah yang mantap ditunjangi oleh iman yang kukuh adalah sumber kekuatan dalaman diri insan. Ia mendorong seseorang untuk berfikir, berusaha, bekerja, beramal ibadat dengan penuh yakin dan bersungguh-sungguh. Ia juga menjadikan seseorang mampu berhadapan dengan sebarang halangan dengan penuh tabah, mampu berdepan dengan apa jua dugaan dengan penuh sabar pasrah. Itulah keajaiban iman.

Iman yang terpahat kukuh dalam hati, akan terpancar dalam tingkah laku seseorang. Jika ia bekerja, ia akan melaksanakan kerjanya itu dengan penuh tekun dan bertanggungjawab. Jika ia bercakap, ia yakin dengan apa yang diucapkan. Jika ia beribadat, ia akan menunaikannya dengan penuh ikhlas dan ihsan. Jika ia berjanji, ia akan menunaikan janjinya dengan penuh jujur. Jika ia berjuang, ia tegas dalam perjuangannya. Firman Allah SWT :

"Katakanlah: "Wahai kaumKu, buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang agama Islam yang Aku sampaikan itu), Sesungguhnya Aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh ( untuk mengembangkannya), kamu kelak akan mengetahui. Siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya serta akan ditimpakan kepadanya azab yang berkekalan?". (Az-Zumar:39-40)



Membina kekuatan diri yang berpaksikan kepada kekuatan aqidah dan keutuhan iman adalah satu tanggungjawab setiap orang Islam. Kekuatan diri seseorang muslim, menjadikan ia sangat dicintai oleh Allah SWT. Sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyentuh perkara ini :
"Daripada Abi Hurairah r.a bahawasanya ia telah bersabda :
Seorang mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada seorang mukmin yang lemah, dan pada masing-masing terdapat kebaikan, utamakan apa yang memberi faedah kepada kamu dan mohonlah pertolongan dari Allah dan jangan kamu menjadi lemah. Kalau kamu ditimpa sesuatu janganlah berkata : Kalau aku lakukan begini sudah tentu akan berlaku, tetapi katakanlah : Ia takdir Allah, apa yang dikehendaki Allah dilakukanNya, kerana sesungguhnya perkataan (kalau) membuka pintu perbuatan syaitan". (Riwayat Muslim)


Dalam hadis yang dibacakan tadi, sudah ada beberapa saranan untuk menjana kekuatan diri :

1- Utamakan apa yang memberi faedah kepada diri sendiri, antara contohnya : Ibadat, ilmu, harta yang halal, pembantu dan sahabat yang baik, keturunan yang soleh, sifat-sifat mahmudah dan banyak lagi. Segala-galanya itu jika diutamakan akan memberikan kekuatan kepada diri seseorang.
2- Mohon pertolongan dari Allah. Dalam suasana apa sekalipun Allah SWt mesti dijadikan tempat pergantungan bukannya kepada makhluk Nabi Yaakob r.a pernah melakukannya seperti firman Allah SWT : "Dan kepada Allah jualah dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu".(Yusuf: 18)
3- Jangan menjadi lemah, kuatkan azam, utuhkan keyakinan dalam menghadapi apa jua suasana dan perubahan.
4- Jangan berlaku begitu begini dalam menghadapi apa jua ujian atau bencana, kerana 'KALAU' tidak akan menghasilkan apa-apa natijah.
5- Jangan memberi laluan kepada syaitan untuk menguasai diri kita, antara caranya ialah sentiasa memohon perlindungan kepada Allah SWT diri syaitan, banyakkan zikir mengingati Allah SWt kemudian bertawakal kepadaNya.


Manusia sebagai makhluk sebaik-baik kejadian, dianggap sebagai penguasa ke atas makhluk lain kiranya dia seorang insan yang baik dan mempunyai kekuatan diri. Sebaliknya dia akan dilaknat dan dihina di langit dan di bumi, malah ia lebih ringan dari debu yang berterbangan, kiranya ia hina dan lemah.

Seorang muslim yang kuat, akan dipandang sangat hebat dan perkasa oleh makhluk lain. Oleh itu dia wajib merasakan dengan kekuatan iman dan keyakinan yang ada dalam jiwanya. Nabi Allah Musa a.s yang telah memperlihatkan kekuatan jasmaninya dan juga kekuatan rohani yang dihiasi pula dengan sifat-sifat terpuji, telah menarik perhatian dua orang anak gadis Nabi Allah Syuib a.s, salah seorang mereka telah mencadangkan kepada ayah mereka agar Musa diambil untuk bekerja dengan mereka seperti yang telah disebutkan oleh Al-Quran :

" Salah seorang anak Nabi Syuib berkata : "Wahai ayah, ambillah dia menajdi orang upahan (mengembala kambing kita), Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah". (Al-Qasas: 26)



Jika seseorang muslim itu lemah imannya dan lemah dirinya, nescaya akan dihinggapi penyakit-penyakit lemah yang lain, antaranya :

1- Lemah semangat yang menjadikan dia seorang yang tidak bermaya dalam menjalani kehidupannya.
2- Takut menghadapi cabaran, menjadikan dia seorang yang sentiasa ketinggalan daripada orang lain.
3- Tidak teguh pendirian, mudah tewas dan sentiasa kalah dalam apa jua persaingan.
4- Was-was, tidak tahu menilai mana yang benar dan mana pula yang salah. Tidak berani melaksanakan tuntutan agama iaitu amar maaruf dan nahi mungkar.
5- Bakhil, sentiasa dibayangi perasaan takut kehilangan hartanya jika ingin menderma atau sebagainya.


Umat Islam hari ini gagal berperanan sebagai peneraju dunia, mereka gagal berfungsi sebagai pemacu tamadun dunia, sedangkan 800 tahun yang lampau, kedua-dua peranan ini berada di tangan orang Islam. hari ini kita tertinggal dalam bidang ekonomi, sedangkan 2/3 kekayaan bumi berada dalam dunia Islam. Kita ketandusan ilmu, sedangkan dahulu kita adalah pencetus dan pemangkin ilmu. Umat Islam juga tercicir dalam perlumbaan kecanggihan sains dan teknologi. Dalam diri umat Islam wujud berbagai-bagai nilai dan andaian negatif yang tidak selayaknya ada dalam diri muslim yang kuat.

Apa sudah jadi dengan umat Islam?, jawapannya tidak lain seperti yang pernah diperingatkan oleh Rasulullah SAW, mereka ditimpa penyakit Al-Wahn - lemah yang menyebabkan mereka sangat sayangkan dunia dan bencikan kematian.


Marilah kita merenung kata-kata Sheikh Muhammad Al-Ghazali seorang tokoh pemikir Islam yang tersohor :

" Di antara cara yang membolehkan seseorang muslim itu menjadi gagah dan kuat ialah dengan menjauhkan diri dari kehidupan maksiat dan berpeleseran, sebaliknya hendaklah membiasakan dirinya dengan kehidupan yang bersih lagi lurus, kerana seorang yang tidak punya kehormatan dan dan maruah diri, orang itu bukanlah orang yang kuat, walaupun ia memakai pakaian hulubalang dan menjadi pengikut Raja".

" (Ingatlah) ketika orang munafik dan orang yang ada penyakit dalam hatinya (merasa ragu) berkata, " mereka (muslimin) itu telah ditipu oleh agama mereka (kerana mereka keluar untuk memerangi kami yang lebih besar bilangannya)". (Hakikatnya) sesiapa yang bertawakal kepada Allah (dengan sebenar-benarnya), maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Al-Anfaal:49)


Ya Allah, Engkaulah tuhan yang Maha Berkuasa, kami bersyukur kehadratMu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju dan sejahtera. Jesteru kami pohon kehadratMu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianMu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Sunday, December 27, 2009

MENAGIH KETENANGAN HATI YANG HAKIKI



"Segala Puji Bagi Allah yang memberikan perasaan ketenangan di dalam jiwa orang-orang beriman”…

Untuk kesekiankali, perasaan marah di hati tidak berjaya dibendung. Bukan selalu perasaan ini timbul, tapi entah mengapa, apabila orang yang kita rasa dekat dikasari dan hampir dilukai, perasaan marah ini tidak berjaya dibendung. Bukan sebab apa, hanya di atas dasar sebuah permainan dan perlawanan. Aduh, sungguh masih tidak berjaya mengawal perasaan di jiwa. Sungguh hudud wajah ketika marah. Alangkah indah manusia yang sentiasa diberikan ketenangan di jiwa. Apabila nikmat disyukuri , ujian disyukuri , susah senang sentiasa tenang. Nikmat diberi, ucapan terima kasih tanda syukur kerana rezeki itu diberikan kepada kita. Syukur kerana dilapangkan keperluan.

Tika ujian diterima, ucapan syukur juga dihadapkan kerana menjadi insan terpilih dari ramai-ramai manusia untuk ujian ”kenaikan pangkat” di sisi Allah. Bersyukur kerana dirinya masih menjadi perhatian Tuhan. Allah sayangkan kita, dia menguji kita dahulu apakah kita layak menerima hadiah itu ataupun tidak. Bersangka baik pada Allah, tidak perlukan banyak modal. Hanya membersihkan hati dari segala prasangka. Itulah modal membina ketenangan di jiwa.

Melihat kehidupan dari sudut kaca pandangan Tuhan pada dunia ini, pasti kita akan mudah beroleh ketenangan jiwa. Dengan Allah kita berbaik sangka, dengan manusia kita berlaku baik. Hidup ini hanya sementara, tetapi amalan akan boleh terus berkekalan sampai kepada kita walau hidup di dunia sudah berakhir.

Di dalam al-Quran Allah telah berfirman di dalam surah Al Baqarah :

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (155) (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. (156) Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat Nya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah Nya. (157)

Di dalam surah Al-Imran pula disebut :

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. (110)


Tanpa sentuhan hidayah jiwa sentiasa celaru, mudah diperhamba syaitan


Keseimbangan memegang prinsip agama dan dunia adalah tuntutan keimanan. Tekanan orang yang mengejar dunia dan melupakan akhirat, akan tidak tidur lena kerana syaitan sentiasa mengganggunya dan menakutkan mengenai bahaya kemiskinan, muflis, kehilangan harta benda dan kejatuhan kuasa.

Syaitan meracuni hati manusia dengan penyakit dengki, takbur, ego, su’uzzhan, riak, putus asa ketika dihimpit musibah dan ghurur yang memadamkan cahaya iman. Syaitan menjadikan hawa nafsu sebagai gula-gula yang menyedapkan deria insan lemah. Akhirnya mereka berada dalam penjaranya, menjadi tawanan dan patuh setia terhadap arahannya.

Orang mukmin berjaya berlainan dengan orang yang tertawan dengan sifat ini. Orang mukmin setia memegang prinsip keseimbangan dalam mengharungi kehidupan dunia demi mendapatkan habuan akhirat yang menjadi cita-cita teragung dalam kehidupannya. Al-Quran dan al-sunnah, sentiasa teguh bersama keduanya dalam menghadapi cabaran dunia. Orang mukmin yang berjaya tidak pernah dilalaikan kuasa dan perniagaan kerana mampu menakluki kedua-duanya dengan iman teguh.

Rasulullah SAW pernah rasai kerinduan sebegini, apabila wahyu tidak turun seketika sehingga orang kafir mengejek Baginda ditinggalkan Tuhannya. Rasulullah diuji dengan keadaan ini, menanti Jibril di atas bukit mengharap turunnya ayat menenteramkan jiwa dan menghapuskan kesedihan.

Hakikatnya, Rasulullah bukan takut dan sedih kerana gangguan orang kafir tetapi Baginda takut dan sedih jika hidayah itu tidak turun bagi menenteramkan jiwanya lagi. Sehingga surah al-Dhuha dianugerahkan untuk menghibur jiwa kekasih Allah yang rindukan ayat rahmat-Nya. Firman Allah yang bermaksud;

“Demi waktu matahari sepenggalahan naik. Dan demi malam apabila sunyi (gelap). Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu. Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan). Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas. Bukankah dia mendapatimu sebagai seorang Yatim, lalu dia melindungimu? Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu dia memberikan petunjuk. Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu dia memberikan kecukupan.” (Surah Al-Dhuha ayat: 1-8)

Ingat kepada akhirat mampu melepaskan tekanan dihadapi seseorang. Bukankah tabiat jiwa diciptakan untuk sentiasa memerlukan hidayah Allah? Jika jiwa tidak mendapatkan sentuhan hidayah sudah tentu dia akan menjadi tidak tentu hala tuju, bercelaru dan mudah dipermainkan syaitan. Jadi, amat penting menjadi seorang perindu kepada hidayah Allah.

Hidayah bukanlah jaminan kemudahan untuk menghalalkan perbuatan buruk seseorang. Apabila berbuat jahat dan mengaku belum mendapat hidayah Allah. Padahal dia menutup mata dan hatinya ketika hidayah Allah itu datang. Hidayah perlu dicari, dipelajari dan dibuktikan dengan amalan. Hidayah bukan sekadar ilmu tanpa direalisasikan, bukan angan-angan. Untuk itu orang beriman perlu menghadirkan hatinya sentiasa bersedia menerima hidayah Allah. Petunjuk Allah berada di mana-mana, pada ayat tergambar di dalam al-Quran, pada keadaan manusia beraneka sifat dan tabiat, pada gambaran kehidupan alam semesta yang memantulkan kebesaran Allah. Hidayah itu berada dekat dengan diri manusia, amat dekat tetapi tidak diendahkan. Hidayah itu yang berbisik di hatinya, suara hati yang suci. Bukankah Allah sentiasa berada dekat dengan hamba-Nya.

Seseorang perlu mengamalkan beberapa langkah untuk mendapat hidayah Allah, iaitu:

1. Mencari ilmu.

Orang yang hatinya rindu kepada permainan, hiburan dan kelalaian dunia biasanya tiada masa untuk ilmu. Kadang-kadang mencuri masa yang sedikit untuk membaca al-Quran tanpa penghayatan. Terlepas peluang mengkaji hadis Rasulullah dan tidak terdetik di hati mempelajari sunnah dan mengamalkannya. Kedudukan ilmu bukan untuk menghantarkan seseorang pada satu gelaran alim, ustaz atau tok guru. Tetapi, matlamat menghidupkan ilmu dalam diri adalah untuk menghantarkan kita berada dekat dengan Allah. Ilmu membolehkan seorang hamba memahami bentuk ketaatan dan kesetiaan kepada Allah, mempelajari dan menghindari jalan yang dimurkai Nya. Ilmu juga membuka mata hati insan untuk mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam, di mana kekuatan dan kelemahan yang perlu diperbaiki. Ilmu diharapkan melahirkan Khalifatullah berpotensi memakmurkan bumi.

2. Mendampingi orang soleh.

Seseorang yang istimewa kedudukannya di sisi Allah memiliki sesuatu tidak dimiliki manusia biasa. Tutur katanya mampu menghantarkan petunjuk, hidayah dan hikmah ke dalam hati yang mendengar, akhlaknya menjadi penyejuk mata orang memandang, jasa dan perjuangannya menjadi sebutan yang tidak lapuk ditelan zaman. Beruntung sesiapa yang bersahabat dengan mereka disebabkan amal soleh dan teladan ikhlas mampu menggerakkan hati ke jalan Allah dengan memperingatkan hamba-Nya berwaspada memilih sahabat sehidup semati, dunia akhirat.

3. Mengikuti sunnah Rasul dan Salafus soleh.

Setiap mukmin wajib beriman Rasulullah SAW berperanan menghantarkan petunjuk hidayah kepada umatnya hingga akhir zaman. Jadi, mengapa ada golongan yang mengaku Muslim mencari petunjuk lain yang bukan dibawa Rasulullah? Fenomena mengada-adakan sesuatu urusan agama yang tidak pernah dilakukan baginda dan sahabatnya jika dibiarkan berlarutan boleh menimbulkan fahaman baru yang menyalahi sunnah Rasulullah. Rasulullah pernah menyentuh perkara ini kepada Huzaifah Ibn al-Yaman, kebaikan yang ada pada umat Islam menjadi pudar kerana timbulnya unsur dakhan di kalangan mereka.

MENCARI KETENANGAN DI MASJID



Tidak ada tempat lebih baik di bumi ini selain rumah-rumah Allah yang dikenali sebagai masjid ataupun surau. Ini kerana di situlah terbit segala ketenangan yang diimpikan oleh segenap insan, iaitu insan yang berusaha membentuk dirinya menjadi hamba Allah yang terbaik sepanjang hidup dengan amalan-amalan yang bersifat peribadatan hanya kepada-Nya.

Tidak ada tempat di bumi ini yang mampu menjanjikan ketenangan dan kedamaian hidup, melainkan rumah Allah. Justeru terdapat sebuah hadis Nabi s.a.w. menegaskan bahawa rumah Allah menjanjikan bukan sekadar ketenangan, malah beberapa nikmat lain sebagai dorongan berbuat kebaikan.

Hal ini telah disebut menerusi hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah maksudnya: "Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid/surau), membaca kitab Allah (al-Quran) dan berdiskusi mengenainya sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, mereka diselubungi dengan rahmat Allah, dikelilingi dengan para Malaikat (menulis segala kebaikan mereka) dan Allah akan sentiasa mengingati mereka (kerana mereka juga mengingati-Nya)."

Segala janji yang ditaburkan oleh baginda Rasulullah dalam hadis di atas, bukanlah satu perkara retorik seperti janji-janji dalam pilihan raya, ia janji yang akan ditunaikan sendiri oleh Allah SWT, iaitu agar umat Islam menjadi umat terbaik dengan mengecapi ketenangan, kedamaian hidup, rahmat Allah serta yang paling penting mereka diingati oleh Allah selaku Pencipta manusia.

Janji-janji tersebut diberikan apabila ada di kalangan insan Muslim yang memiliki ciri-ciri kebaikan seperti membaca dan mendiskusikan al-Quran, dalam erti kata mereka bersedia untuk mengkaji isi-isi kandungannya untuk dijadikan bahan rujukan, pegangan, kefahaman menuju jalan sempurna.

Justeru, Allah SWT menegaskan bahawa golongan Muslim yang sanggup memakmurkannya rumah-Nya adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar memiliki kualiti iman yang sempurna.

Hal ini ditegaskannya menerusi ayat 18 surah at-Taubah maksudnya: "Hanyalah yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat Yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa keimanan yang kental, kepercayaan teguh berpegang kepada hari akhirat, melaksanakan tugas utama dengan bersolat, mengeluarkan zakat serta takut hanya kepada Allah dan tidak yang lain selain-Nya, adalah senjata utama bagi mengekalkan seseorang yang beriman itu menjadi pemakmur rumah Allah yang setia.

Di mana remaja dalam hal ini?

Remaja Muslim pada hari ini lebih tersohor dengan kumpulan 'mat/minah rempit', menjadi golongan yang suka membuang masa seperti terlibat dalam budaya lepak di sana sini, terlibat dengan program-program hiburan melampau, menjadi penyokong kelab bola sepak negeri dan bermacam-macam lagi.

Remaja Muslim hari ini tidak berusaha meningkatkan prestasi kefahaman mereka dengan Islam, sehingga sanggup menjadi golongan penagih dadah, golongan perosak agama dengan penampilan yang tidak sama sekali memperlihatkan 'Islamik', malah ada ketikanya memalukan Islam itu sendiri.

Ada di antara mereka sanggup menjadi golongan yang membuat angkara terhadap program-program masjid, dengan bertindak liar menghalang mereka yang mahu ke masjid atau surau, atau pun terdapat di kalangan mereka yang bersukan berhampiran dengan masjid, tetapi tidak mengendahkan azan yang berkumandang pada waktu Maghrib, berhenti apabila ada teguran daripada pihak tertentu.

Inilah yang dikatakan tindakan bagaikan meroboh masjid, banyak pihak merasa bimbang dengan tindakan seumpama itu, apatah jika tindakan itu boleh dikaitkan dengan firman Allah menerusi ayat 114 surah al-Baqarah yang membawa maksud: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara apa mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar."

Itu semua tidak melambangkan mereka hidup dengan Islam secara serius, malah hala tuju hidup mereka pun masih kabur, justeru apa yang amat diharapkan dari golongan remaja Muslim ini adalah tercetus rasa kesedaran yang amat mendalam terhadap Islam, di ketika Islam diinjak, difitnah, dimahkamahkan, dituduh dengan pelbagai pendekatan negatif, oleh itu remaja seluruhnya disaran agar menjadi remaja seperti yang pernah disebut oleh al-Quran dengan istilah 'Ashabul Kahfi' dan 'Ashabul Ukhdud'.

Ketahuilah bahawa pada usia remaja ini juga tidak akan terlepas daripada dibuat perhitungan di sisi Allah pada hari akhirat. Ia pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang bermaksud: "Sebelum kedua-kedua kaki anak Adam (manusia) tergelincir untuk dimasukkan dalam syurga atau pun neraka, maka dia akan ditanya dengan empat perkara: Waktu remajanya apa yang telah dia habiskan, seluruh umurnya apa yang telah dibuat (untuk kebaikan dirinya), tentang hartanya daripada mana sumber ia diperolehi dan bagaimana pula ia dibelanjakan, tentang ilmunya, apa yang telah dia lakukan." (Hadis riwayat Mu'az Bin Jabal).

Remaja hari perlu mencontohi remaja-remaja silam khususnya di kalangan para sahabat dan lain-lain, mereka juga ada perasaan untuk bersuka-ria, rasa nak 'enjoy', tetapi semuanya dikekang kerana ia tidak memberi apa-apa kepada Islam, justeru remaja hari ini juga perlu mentelaah sejarah itu untuk mengembalikan keyakinan diri dengan Islam.

Saturday, December 26, 2009

KETAWA MENURUT ISLAM



Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:":Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah !" Riwayat Abu Daud.

Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda. Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti:
a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a..w .
b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.
c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat- buat.
f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang Muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam erti kata yang sepatutnya.

Jangan banyak ketawa sebab hati yang selalu berkomunikasi dengan Allah (zikir) sangat tenang dan tenteram. Hasan al-Banna.

Ada riwayat yang menunjukkan bahawa kebanyakan ketawanya ialah dengan tersenyum, dan apabila baginda ketawa, baginda ketawa seperti embun yang dingin. Sementara itu, ada juga riwayat yang menyebutkan bahawa ketawa Rasulullah tidak menunjukkan gigi.

Bagaimanapun, semua perlakuan itu cuma sekadar mengingatkan umat Islam selaku umat pendakwah bahawa gurauan, ketawa itu cuma amalan untuk mengurangi ketegangan jiwa. Saidina Ali k.w juga menyebutkan bahawa sesekali kita perlu bergurau untuk menyebabkan jiwa rasa terhibur. Tetapi, ini tidak bererti kita perlu berhibur secara keterlaluan.

Maka, Hasan al-Banna telah menyusun dan merintis semula faham ini dengan meletakkan suatu pesanan yang sangat berguna kepada para dai’e dan Muslimin yang beriltizam dengan agama Islam ini.

Al-Banna tidaklah sampai mengharamkan gurauan dan ketawa. Namun, beliau seperti baginda Rasulullah s.a.w dan Saidina Ali, telah menyeru dan memperbaharui seruan melalui wasiatnya supaya umat Islam ini kurangkan bergurau dan melebihkan amalan dan tindakan. Ini kerana, gurauan dan gelak ketawa yang berlebihan boleh mematikan hati dan fikiran daripada memikirkan nasib dan permasalahan umat Islam yang menderita akibat penjajahan yang berterusan.

Tetapi, jika kita berterusan hidup dalam ketegangan, hal ini akan menyebabkan kerunsingan, kerisauan yang akhirnya mengundang kesan kejiwaan yang parah pula. Maka, sikap yang terbaik dalam hal ini ialah kita mewakafkan lebih banyak masa untuk memikirkan serta menyusun tindakan bagi menyelesaikan permasalahan umat Islam. Selebihnya, saki-baki waktu itu diluangkan untuk merehatkan jiwa, hati dan fikiran kita setelah penat bekerja dalam seharian.

Atau jika masa dan kehidupan ini boleh kita pecahkan dalam bentuk peratusan, maka bolehlah diandaikan seperti ini. Iaitu, masa dan kehidupan untuk berfikir dalam hal permasalahan umat Islam ini ialah 70 peratus, manakala baki masa 30 peratus lagi adalah untuk senda gurauan. Bagaimanapun, peratusan ini hanyalah sebagai gambaran kepada betapa pentingnya seseorang Muslim itu hidup di atas muka bumi ini untuk memperuntukkan kebanyakan masanya ke arah hal yang lebih berfaedah. Sementara, hal gurau senda dan bergelak-ketawa itu hanyalah sekadar sedikit sahaja.

Muhasabah

Maka, marilah kita sebagai Muslim yang ingin mencapai kebaikan di dunia dan di akhirat bermuhasabah mengenai kehidupan seharian kita sendiri. Dalam tempoh 24 jam, berapa banyakkah masa yang kita wakafkan untuk Islam dan Muslimin? Berapa banyakkah masa yang kita gunakan untuk kepentingan masyarakat? Beruntunglah bagi Muslimin yang banyak meluangkan masa untuk membaca, menghadiri bengkel-bengkel ilmiah dan sebagainya lagi. Jika sebaliknya, maka tergolonglah mereka dalam kalangan mereka yang rugi. Cabaran untuk membina sebuah masyarakat yang benar-benar memanfaatkan waktunya ke arah kebaikan sangat hebat. Dengan hiburan yang melampau-lampau dalam masyarakat kita hari ini, ditambah pula dengan kurangnya agamawan yang mahir dalam selok-belok penyiaran televisyen, rasa-rasanya agak mustahil kita lakukan semua ini. Sekiranya lebih ramai agamawan yang mahir dalam bidang pembikinan media elektronik, maka kemungkinan besar masa-masa yang berkualiti dalam kalangan masyarakat kita akan dapat dipertingkatkan.

Sistem kehidupan bekerja yang dicipta oleh negara kita dan masyarakat antarabangsa pada hari ini ialah jumlah jam bekerja selama 8 jam (9 pagi sehingga 5 petang). Selepas tempoh bekerja, sekurang-kurangnya masyarakat kita akan berada di rumah dan meluangkan waktu bersama keluarga dengan menonton televisyen.

Namun, sayangnya acara-acara hiburan itu dikuasai oleh golongan pengkarya yang melebihkan unsur hiburan, lagu sahaja. Jika ada acara-acara tv yang bermotifkan keagamaan sekali pun, jumlahnya sangat sedikit dan terhad. Atau, dalam erti kata lain, barangkali kita boleh misalkan begini.. Iaitu program hiburan, filem, drama, nyanyian dan lain-lainnya adalah hampir 80 peratus, dan selebihnya yang berjumlah 20 peratus lagi diperuntukkan kepada program-program yang bersifat keagamaan. Ditinjau dari sudut ini, akan tercapaikan hasrat, wasiat dan pesanan Rasulullah s.a.w, Saidina Ali k.w dan Hasan al-Banna? Maka, terletak kepada kitalah insan Muslim yang sedar untuk mengubah semua ini supaya masyarakat kita ini akan melebihkan banyak waktunya yang berkualiti. Iaitu, biarlah mereka lebih banyak didedahkan dengan program-program bermanfaat dan selebihnya adalah program-program yang bersifat santai sahaja.

Friday, December 25, 2009

SULTAN MUHAMMAD AL FATIH



HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE

Sabda Rasulullah saw ketika menggali Parit Khandaq; "..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……"

Hadis riwayat Imam Ahmad

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, "Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople". Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik raja" dan "sebaik-baik tentera" di dalam Hadis tersebut.

PENGENALAN
Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki - Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai "sebaik-baik raja" di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih dan Muhammad The Conqueror kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.

PENDIDIKAN
Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagaman, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang taktik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN
Baginda sentiasa bersifat tawadhu' dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja.

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE
Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut dihujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Dari Pope Vatican
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota
Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Karisma Seorang Pemimpin
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!".

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Penawanan Constantinople
Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran "Al Fatih" iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!". Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
`
Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!". Sebahagian daripada tenteranya duduk.
`
Kemudian Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!". Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.

`

Wednesday, December 23, 2009

Riwayat Salahuddin Al Ayubi



Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurdis biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorang pun yang menyangka sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurdis ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dan perangsang memerangi kekufuran hingga ke hari ini.

Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang gabenor yang memiliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan satu pun tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.

Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk menjadi pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, Sultan Aleppo, ia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi'ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa ke tempat pembunuhan (Bahauddin, 1234).

Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu" (Al-Baqarah:216)

Pertukaran Hidup Salahuddin al Ayubi

Ketika Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahawa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah Mesir. Dunia dan kesenangannya telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya(Bahauddin,1234).

Bahkan Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahawa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara' dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengetepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup "Spartan" yang menjadi contoh kepada tenteranya. Ia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan iaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam.

Salahuddin pernah berkata, "Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia memenangkan perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.

Semangat Jihadnya

Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad.

Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Siapa sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah memulakan jihat melawan tentera salib ia akan menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.

Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.

Ketika ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerana ia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234)

Peperangan Hittin

Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583H, tentera Salib telah kalah. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan.

Stanley Lane-Poole menceritakan bahwa dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah.

Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.

Kecintaan Salahuddin kepada Islam
Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya.

Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, "Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammad saw atasnya". Lalu ia menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari khemah.

Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia menggeletar kerana menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya sambil berkata, "Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi".

Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad saw. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, "Mintalah kepada Nabi kamu, Muhammad, untuk menyelamatkan kamu". Ketika ia mendengar berita ini ia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.

Menawan Baitul Muqaddis

Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukitpun akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya. Pada hari jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra' Mi'raj, Salahuddin telah memasuki bandar suci tempat Rasulullah saw. naik ke langit.

Dalam catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang merayakan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan "Allahhu Akbar" dan "Tiada tuhan melainkan Allah" telah memenuhi langit.

Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Muqaddis. Salib yang terpampang di 'Dome of Rock' telah diturunkan. Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu.

Salahuddin yang Penyayang

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeda daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahawa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggungjawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian diperlakukan tidak baik.

Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis di tangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan. Lane-Poole juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, "Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah menderma. Sekarang giliranku pula". Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka berbondong-bondonglah orang keluar dari pintu St.Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang miskin tanpa menghitung bilangan mereka.

Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata diseksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencemarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.

Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.

Perang Salib Ketiga

Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakala yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin.

Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesar nya dan saudara maranya serta tentaranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu.

Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk membuat perjanjian di Ramala pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah penguasa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga.

Lane-Poole telah mencatatkan perjanjian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan Julai, 1187M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192M, keseluruhannya menjadi milik mereka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang Kristian.

Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walau bagaimanapun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.

Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kritian yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak henti-henti, tetapi ketaatan mereka yang tidak pernah berbelah bagi.

Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentera-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan dari pada mula peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.

Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia mempunyai majlis syura (musyawarah)yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.

Kematian Salahuddin

Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas ia jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja'afar seorang yang wara' telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia nazak, bacaan Qur'an dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya.

Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur'an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pengsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, "Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata" (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, "Memang benar". Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.

Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung belanja pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.

Salahuddin yang Wara'

Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak pergi sembahyang berjemaah. Ia memang suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika sakitnya ia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh Rasulullah saw, ia sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika disebabkan hal tertentu ia tidak dapat sembahyang malam, ia akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga hari terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pengsan.

Tetapi ia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Ia tidak pernah membayar zakat kerana ia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Ia sangat murah hati dan akan menyedekahkan apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya ia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Ia tidak meninggalkan harta.

Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihatkannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, "Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku". Maka segera ia membayar fidyah.

Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi ia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kewafatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan. Ia sangat gemar mendengar bacaan Qur'an. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendengar bacaan Qur'an para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu' semalam. Ia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya.

Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Ia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang-kadang ia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendengarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Ia biasa meletakkan segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika ia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak ia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, "Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Ia menghabiskan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat.

Pada tengah malam saya minta supaya ia berehat tetapi jawapannya, "Ku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur sejenak". Bila hampir subuh akupun bangun dan pergi mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh tangannya. "Aku tidak tidur semalam" katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, "Kau kena munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya". Lalu ia bertanya, "Apa yang perlu ku lakukan?"

Aku menjawab, Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah saw pernah sembahyang sebelum mi'raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajad lah kepada Allah dengan ucapan "Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini"

Aku mengatakan kepadanya, "Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu". Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke Ramala pada hari Isnin pagi"

Perangai Salahuddin

Siapa yang rapat dengannya mengatakan ia adalah seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun. Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan ia telah memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Pada masa ini ia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Ia sendiri akan membacakan aduan yang diterimanya dan mengucapkannya untuk dituliskan oleh jurutulis tindakan yang perlu diambil dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Ia tidak pernah membenarkan orang meninggalkannya selagi ia belum menyempurnakan hajat orang itu. Dalam masa yang sama ia sentiasa bertasbih kepada Allah.

Jika ada orang membuat aduan, ia akan mendengarkan dengan teliti dan kemudian memberikan keputusannya. Suatu hari seorang lelaki telah membuat aduan berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan segera ia memanggil anak saudaranya itu dan meminta penjelasan. Dalam ketika yang lain ada orang yang membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri. Yang memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak berasas, ia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain.

Ia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat benci kepada ketidakadilan. Ia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka melakukan kesilapan yang memanaskan hatinya, ia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air muka mereka. Pada suatu ketika ia pernah meminta air minum, tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Ia meminta sehingga lima kali lalu berkata, "Aku hampir mati kehausan". Ia kemudian meminum air yang dibawakan kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan.

Dalam ketika yang lain ia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya air yang disediakan agak panas, lalu ia meminta air sejuk. Sebanyak dua kali khadamnya menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan ia belum benar-benar sihat, ia merasa kesejukan tetapi ia hanya berkata kepada khadamnya, "Katakan sajalah kalau kau tak suka kepadaku". Lalu khadam itu cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.

Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika ia telah berjaya menawan bandar 'Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati ia memberikannya. Bahkan dalam beberapa ketika ia menjualkan hartanya semata-mata untuk membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan baki wang simpanan untuk digunakan semasa kecemasan.

Jika ia tahu, ia akan menyedekahkan khazanah negara sehingga habis. Salahuddin pernah mengatakan ada orang baginya wang dan debu sama sahaja. "Aku tahu", kata Bahauddin, "Ia mengatakan dirinya". Salahuddin tidak pernah membiarkan tetamunya meninggalkannya tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat Salahuddin dan ia menyambutnya dengan tangan terbuka, melayannya dengan hormat dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion Heart, musuh ketatnya, ketika Raja Inggeris itu sakit.

Hatinya memang sangat lembut hingga ia sangat mudah terkesan apabila melihat orang dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang perempuan Kristian datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis dan meraung di depan Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan itu seterusnya mengatakan ia telah dimaklumkan hanya Salahuddin sahaja yang boleh mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan itu lalu iapun turut menangis. Ia segera memerintahkan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin.

Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan belas kepada anak-anak yatim. Bila ia terjumpa anak-anak yatim ia akan menguruskan supaya ada orang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang ia sendiri yang akan menjaga dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Ia juga sangat kasihan melihat orang tua atau yang kurang upaya dan akan memberikan penjagaan yang khas kepada mereka apabila ia bertemu dengan orang sedemikian.

Kesungguhan dan Semangat

Ketika mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap sakit berat yang menyebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, ia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, "Penyakit akan meninggalkanku apabila kamu menunggang kuda".

Dalam ketika yang lain ia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit tetapi pergi memburu musuh sepanjang malam. "Apabila ia sakit", kata Bahauddin, Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Ia tidak dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, ia akan menunggang kuda untuk melawan musuh. Ia menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan orang lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya sepanjang hari menunggang kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Ia hanya akan kembali ke khemah selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan pada waktu malam".

Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh menandingi Salahuddin. Kadang-kadang ia sediri pergi ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika berperang ia sendiri akan pergi merempuh celah-celah tentera musuh yang sedang mara. Ia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya. Bahauddin ada mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betapa beraninya Salahuddin. Salahuddin diberitahu bahawa ia selalu mendengar bacaan hadis pada masa lapang bukannya ketika perang. Apabila mendengar perakara ini ia segera mengarahkan supaya hadis-hadis dibacakan kepadanya ketika peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya.

Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam beberapa ketika, tentera Salib berjumlah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah ia menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan.

Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh berserta senjata berat mendarat pada satu petang. Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kalang kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemah tentera Islam bahkan telah sampai ke khemah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.

Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, "Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, ku berikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai.

Salahuddin sebagai ulama

Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan ia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun ia sebenarnya orang Kurd. Ia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur'an ia juga banyak menghafal syair-syair Arab.

Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Qur'an.

Rujukan :
Bahauddin bin Shaddad. 1234M,632H.
Al-Nawadir-I-Sultania: Sirat Salahuddin (Bin
Nawadir-I-Sultania). Mesir (diterbitkan 1317h):31, 32-33, 7,155
Poole S. L. 1914. Saladin. New York: 72, 99