Sunday, January 24, 2010

Kepentingan Berdoa dan Adab Berdoa



Alhamdulillah,kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan kepada Allah SWT yang memberikan nikmat Iman dan Islam kepada kita semua,selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang telah menjalankan amanah Allah dengan sebaik-baiknya. Memandangkan ada segelintir umat Islam yang memandang ringan tentang doa dan mungkin juga mengabaikan doa dalam kehidupan harian mereka,maka di kesempatan kali ini,saya ingin kongsi bersama tentang kepentingan berdoa yang merupakan salah satu bentuk komunikasi hamba dengan Raabnya ( Tuhannya ). Semoga dengan membaca artikel ini lebih memantapkan keimanan kepada Allah swt.

Doa adalah permohonan seorang hamba kepada Raabnya untuk diberikan perlindungan (inayah) dan pertolongan (ma’unah). Hakikat doa adalah ekspresi ketidakmampuan dan kefakiran kepada Allah SWT,dan ikrar bahawa tidak ada kekuatan dan daya kecuali dengan pertolongan Allah SWT. Ia merupakan simbol daripada penghambaan serta merasakan diri hina dan lemah sebagai manusia di hadapan Allah SWT. Doa juga merupakan pujian kepada Allah SWT,dengan menyandarkan seluruh bentuk kebaikan dan kemuliaan hanya kepada-Nya sehingga Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud ” Doa adalah ibadah” . Begitulah peri pentingnya peranan doa dalam kehidupan seorang Muslim.

Berdoa diperintahkan dan dianjurkan oleh Allah dan juga Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Berdoalah kepada-Ku nescaya akan Ku perkenankan”
“Berdoalah kepada Raabmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Alah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”
“….berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima permintaan) dan harapan ( akan dikabulkan permintaan )…

Maksud Hadis ” Apabila seorang Muslim memanjatkan sesuatu doa kepada Allah yang di dalamnya tidak ada dosa dan pemutusan tali silaturahim,maka Allah SWT akan memberinya satu di antara tiga :

1) Allah SWT langsung mengabulkan doanya.
2) Allah SWT akan menyimpannya untuk orang tersebut di akhirat.
3) Allah SWT akan menjauhkan kejahatan atau keburukan dari orang tersebut yang setimpal dengan doanya.

Doa merupakan sunnah para Nabi dan Rasul,juga merupakan kebiasaan para wali dan orang-orang soleh. Orang yang meninggalkan doa bererti dia telah menempuh jalan orang-orang yang sengsara dan sombong.

Dengan tazkirah ringkas ini,diharapkan kita dapat memahami kepentingan berdoa dan sama-sama berusaha untuk menambahbaikkan dalam berdoa dan memohon sesuatu hajat kepada Allah SWT. Allah SWT menginginkan agar kita mencari-Nya untuk memperoleh bimbingan dalam hidup. dan akan memenuhi panggilan apabila kita memintanya. Allah Maha Pengasih,yang memiliki hasrat dan kuasa untuk memberikan segalanya yang kita perlukan. Yang perlu kita lakukan hanyalah memohon kepada-Nya.
Adab Doa

1. Ikhlas semata-mata kerana Allah SWT
2. Memulakan doa dgn tahmid dan syukur memuji Allah kemudian berselawat kepada Rasulullah SAW
3. Khusyuk ketika berdoa
4. Mengakui dosa- dosa (sekiranya ada) dan memohon keampunan daripada Allah SAW
5. Menghadap kiblat
6. Mengulang doa sebanyak 3 kali.
7. Berdoa bersungguh-sungguh dan yakin Allah akan menunaikan permintaannya (doanya)
8. Menadah tangan ketika berdoa
9. Menjauhkan diri dari segala maksiat
10. Menjaga makanan, minuman dan pakaian daripada hasil yang haram
11. Tidak berdoa utk perkara maksiat dan memutuskan hubungan silaturahim
12. Berdoa dgn tertib dan tidak gopoh
13. Berdoa dgn menyebut nama-nama Allah yang indah (Asma' Allah al-Husna) dan sifat-sifat Allah yang mulia.
14. Berwuduk sebelum berdoa.

Waktu Afdhal (Mustajab) berdoa

1. Lailatul Qadr (10 mlm terakhir bulan Ramadhan)
2. 1/3 akhir malam
3. Setelah solat fardu
4. Semasa solat fardu
5. Ketika turun hujan
6. Ketika peperangan menentang orang kafir (Jihad)
7. Ketika minum air zam-zam
8. Ketika terjaga dari tidur malam (tengah malam)
9. Ketika di antara azan dan iqamat
10. Hari dan malam Jumaat
11. Ketika berpuasa bulan Ramadhan sehingga berbuka
12. Ketika berbuka puasa bulan Ramadhan
13. Ketika majlis ilmu
14. Ketika iktikaf di masjid
15. ketika sujud
16. Doa pemimpin yang adil
17. Ketika di bukit Safa dan Marwah
18. Doa orang yang dizalimi
19. Ketika berada di Masjidil Haram atau depan Kaabah
20. Ketika musafir yang diharuskan syara'
21. Doa ibu bapa kepada anaknya
22. Doa anak yang soleh kpd ibu bapanya
23. Doa di padang Arafah (khususnya ketika Wukuf Haji)

1 comment:

Anonymous said...

oh . . .
sblum nie sy x btl2 memenuhi kepentingan berdoa . . .