
Siapakah musuh kita?
Manusia yang mengutuk-kutuk kita? Manusia yang mengeji kita? Manusia yang menganiayai kita? Manusia yang tikam belakang kita? Mereka yang buat jahat kepada kita?
Kalaulah kita duduk sebentar, dan bermuhasabah kembali, mereka itu bukanlah musuh kita yang sebenarnya.
Siapakah musuh kita yang sebenarnya?
SYAITAN.
Ya. Itulah musuh kita yang sebenarnya.
Mungkin pada sebahagian orang, perkara ini kelihatan simple.
“Musuh kita adalah siapa?” Jawapan: “Musuh kita adalah syaitan!” Mungkin sebahagian orang akan menganggapnya sebagai satu ilmu budak tadika. Tetapi di dalam artikel ini saya ingin membawa lebih daripada itu.
Saya ingin membawa kepada mengapa kita kena faham bahawa syaitan itu adalah musuh kita yang sebenarnya.
Pendekatan Nabi Ya’kub AS
Apabila Yusuf AS bermimpi akan satu fenomena yang menakjubkan, 11 bintang, matahari dan bulan sujud kepadanya, Yusuf AS telah menceritakan hal itu kepada bapanya Ya’kub AS.
“(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku.” Surah Yusuf ayat 4.
Dan lihatlah apa yang dikatakan oleh Nabi Ya’kub AS.
“Ayahnya berkata: Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka membuat makar (untuk membinasakan) mu. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.“ Surah Yusuf ayat 5.
Pause.
Lihat apa yang dikatakan oleh Nabi Ya’kub?
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia…
Nabi Ya’kub tidak berkata: “Sesungguhnya abang kamu itu semuanya pendengki dan jahat.” Apa yang dia katakan adalah: “Takut abang kamu akan melakukan sesuatu kepada kamu, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata”
Perbuatan busuk abangnya itu, direlasikan dengan syaitan yang menyebabkan manusia tersimpang.
Sungguh cantik Ya’kub AS mendidik.
Dan apakah impak dari didikan ini?
Hubungan dengan Allah yang kuat, berlindung dari syaitan.
Yusuf AS telah melalui kehidupan yang getir. Dia telah dibuang ke dalam perigi untuk dibiarkan mati. Allah mengasihinya dan menyelamatkannya dengan ada saudagar telah mengambilnya. Ditambah rahmat kepadanya dengan dia dibeli oleh Pemerintah Mesir ketika itu.
Ujiannya tidak terhenti di situ.
Dia digoda oleh ‘Imra’ah Aziz’(yang biasa dinamakan sebagai Zulaikha). Tetapi lihatlah ya seorang Yusuf AS yang telah dididik oleh bapanya Ya’kub AS betapa syaitan adalah musuh yang nyata. Sedang hakikatnya Yusuf adalah seorang lelaki dan Imra’ah Aziz ketika itu sedang berpakaian seksi dan menggoda.
Namun Yusuf kekal dengan kewarasannya. Kerana dia tidak nampak seorang perempuan cantik ketika itu. Dia sedang melihat syaitan yang sedang hendak menjatuhkannya. Pantas dia berlindung kepada Allah SWT.
“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: Marilah ke mari, aku bersedia untukmu. Yusuf menjawab: Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya. Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.” Surah Yusuf ayat 23-24.
Impaknya, Yusuf berlari menyelamatkan diri, walaupun dia tahu bahawa pintu telah terkunci. Mengapa ya Yusuf AS berlari sedangkan dia tahu bahawa dia tiada jalan untuk melarikan diri?
Kerana dia sedang berhadapan dengan musuh.
Maka dia berusaha juga melarikan diri, walaupun dia tahu dia tiada tempat untuk berlari.
Sekurang-kurangnya, ketika itu, itulah usaha yang dia ada untuk menjaga dirinya daripada musuh itu.
Dan Allah membayar usahanya dalam kesempitan itu, dengan menyelamatkannya.
Kemaafan yang besar, tiada prejudis, bukan pendendam
Apabila Yusuf AS yang telah berjaya melepasi segala tribulasi, bertemu dengan abang-abangnya yang berusaha mencari makanan di Mesir, adakah dia membalas dendam kepada abangnya? Adakah dia tidak membantu abangnya mencari makanan? Apakah dia menganiayai abangnya semula?
Tidak.
Bahkan ketika itu, Nabi Yusuf AS berkata:
“Yusuf berkata: Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.” Surah Yusuf ayat 93.
Mengapa? Mengapa Yusuf AS mudah memaafkan saudara-saudaranya? Yang mencampakkan dirinya di dalam perigi tua untuk MEMBUNUHNYA! Mengapa?
Hal ini kerana, abang-abangnya bukan musuh kepada Yusuf AS.
Musuh Yusuf AS adalah syaitan yang telah menggoda abangnya.
Sebab itu dia memaafkan abang-abangnya.
Tambahan, abang-abangnya ketika itu telah bertaubat dan meminta maaf.
Sekelumit dendam pun tidak wujud di dalam diri Yusuf AS terhadap abang-abangnya.
Sebab abang-abangnya bukan musuh kepadanya. Musuhnya adalah syaitan.
Penutup: Kefahaman ini, lebih dari sekadar pengetahuan
Apabila kita memahami betapa syaitan itu adalah musuh kita, maka kita akan mudah untuk melangkaui cabaran dan dugaan di dalam kehidupan. Kita akan lebih kemas mengawal diri. Kita akan lebih tenang berurusan dengan orang lain.
Sikap toleransi yang tinggi, disiplin yang menggunung, keseriusan yang padu dan kematangan yang kemas akan terhasil sekiranya kita faham betapa kita ini hidup ditemani ‘musuh-musuh’ yang telah bersumpah untuk menyesatkan kita sesesat-sesatnya.
“Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur” Surah Al-A’raaf ayat 16-17.
Kamu, kalau tahu musuh ada di sebelah kamu, apakah kamu akan bersambil lewa? Maka di dalam hidup kita akan berjaga-jaga dengan seketat-ketatnya.
Dengan kefahaman ini juga, kita tidak akan menyingkirkan pendosa. Kita akan berlapang dada merapati mereka dan sabar dalam mengajak mereka kepada kebenaran. Kita faham, mereka sedang dikelirukan oleh syaitan. Maka kitalah yang patut membantu menghulurkan tangan. Bukan membiarkan.
Kefahaman ini, lebih dari sekadar pengetahuan.
Ia melahirkan sesuatu yang besar.
Peribadi unggul yang tiada tandingan.
0 comments:
Post a Comment