Friday, January 7, 2011

Mengadu Kepada ALLAH

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Manusia itu sentiasa ada tempat untuk mengadu. Tidak kira dimana dirinya berada. Mengadulah..

Apabila hati kita dilanda keresahan, kebimbangan dan kegusaran, pasti kita akan mencari tempat untuk mengadu akan apa yang kita rasakan. Tujuan mengadu itu adalah untuk kita berkongsi rasa dan perasaan. Mengadu itu membuatkan kita merasa tidak bersendirian. Kerana kita yakin, ada orang lain yang mendengar segala rasa didalam jiwa. Walaupun mungkin ada yang tidak faham.

Lega rasanya.

Tetapi, sering kali juga kita sebagai manusia lupa mengadu kepada DIA yang menyebabkan segala apa yang telah kita rasai. Semua perasaan itu, adalah datang daripada Dia. Oleh kerana kelemahan manusia itu sendiri, selalu sahaja manusia membelakangkan Dia yang sedia untuk Mendengar setiap masa.

Manusia sentiasa ada tempat untuk mengadu.

Manusia Memang Sering Mengadu

Saya teringat semasa berada di sekolah rendah dahulu. Suatu hari tu, saya kena rotan oleh guru saya atas perkara yang saya tidak lakukan. Tangan saya dirotan sebanyak tiga kali. Jumlahnya sikit, tapi cukup berbisa. Sehinggakan saya merasa tapak tangan saya melekit-lekit.

Tamat waktu sekolah saya balik ke rumah. Sampai sahaja di rumah, saya mengadu pada Bonda. Tidak pasti mengadu kerana kesakitankah atau mengadu kerana perasaan sedih. Apa yang saya ingat waktu itu Bonda memarahi saya daripada bertindak membela anaknya seorang ini.

“Baguslah.. Nanti suruh cikgu rotan lagi,” kata Bonda sambil memandang tepat ke arah saya.

Bicara Bonda tidak saya hiraukan. Tapi saya sudah puas berkongsi apa yang ada dalam hati saya walaupun tidak mendapat pembelaan. Hehe.

Maka, begitu jugalah manusia yang lainnya. Manusia ini antara salah satu sifatnya adalah lemah. Dan apabila berasa lemah, manusia akan mengadu kepada sesiapa yang diingini oleh hatinya agar dia merasa senang dan fikirannya sedikit lapang.

Mengadu kepada sahabat, ibu bapa, adik beradik dan insan lain.

Apabila ditimpa masalah, dan keserabutan fikiran itu tidak dapat kita tampung lagi secara bersendirian, secara automatiknya kita akan mencari seseorang yang boleh dipercayai untuk berkongsi masalah itu. Itu lumrah bagi manusia.

Anda begitu? Saya pun, begitu juga.

Apabila sahabat-sahabat saya datang mengadu kepada saya, berkongsi masalah mahupun kegembiraan, saya akan cuba raih sebaik mungkin. Saya berasa senang dapat berkongsi apa yang berlaku dalam hidup mereka. Saya tidak merasa terbeban. Ensha ALLAH, jika saya dapat memberikan sedikit pendapat, maka saya akan berikan. Jika tidak, saya lebih memilih untuk diam mendengar masalah mereka.

Nah. Saya terfikir di sini.

Manusia seringkali mencari manusia untuk mengadu segala masalah yang dia hadapi. Adakah itu salah? Tidak. Bahkan itu fitrah. Tetapi, seringkali manusia akan mengadu kepada manusia tanpa terlebih dahulu mengadu kepada Tuan Punya Dunia.

Salahkah? Tidak. Tetapi kurang sopan.

ALLAH Sedia Mendengar Pengaduan Hamba-Nya

Kenapa saya katakan kurang sopan? Kalau ada yang tidak bersetuju, saya memohon maaf.

Apabila mengadu kepada manusia terlebih dahulu tanpa kembali kepada ALLAH, bagi saya itu kurang sopan. Kerana apa? Kerana ALLAH itu sentiasa memerhatikan kita dan sentiasa Maha Tahu akan setiap apa yang berlaku kepada kita. Tetapi, kita pergi mencari tempat lain untuk mengadu terlebih dahulu. Dan apabila perasaan itu sudah reda, barulah kita akan datang kepada ALLAH.

Pengaduan kepada ALLAH tidak memerlukan tempat yang spesifik. Anda boleh mengadu secara berjalan, duduk mahupun baring, hatta tengah berlari sekalipun. Sebaliknya mengadu kepada manusia, anda perlu mencari suasana yang bertepatan dengan mood anda waktu itu.

ALLAHuakbar.

Kita sering Terlupa ALLAH dalam hidup kita, kan. Saya akuinya.

Anda tahu, di dalam sebuah Hadis Qudsi, pernah diceritakan bahawa apabila seorang hamba berdoa disertai dengan tangisan, maka ALLAH akan memberitahu dan menyuruh malaikat untuk menangguhkan permintaannya. Kerana apa? Kerana kata ALLAH, ALLAH rindu pada pengaduan yang bersungguh-sungguh seperti itu.

ALLAH rindu, wahai sahabat sekalian.

Subhanallah.

Hakikat Seorang Manusia

Hakikat yang perlu kita terima dan akui sebagai seorang manusia adalah, kita ini sering melupakan ALLAH SWT dalam hidup kita. Bahkan, tidak keterlaluan saya katakan, bahawa kita ini ada masa hanya mengingati ALLAH pada masa-masa yang tertentu.

Allahuakbar. Lemahnya kita.

Begitu juga dengan hal mengadu. ALLAH tidak larang kita berkongsi rasa kepada manusia. Tetapi sebaiknya, kita mengadulah terlebih dahulu kepada ALLAH. Kerana, hanya ALLAH yang Maha Memahami akan keadaan kita sedari kecil sehinggalah dewasa.

Sahabat, berbicara dengan ALLAH itu lain perasaan.

Apa perasaan itu? PUAS. Ya, kepuasan.

Mari, Mengadu Kepada ALLAH

Hei sahabat. Saya juga masih bertatih. Maka, mari duduk bersama saya. Kita sama-sama mengadu kepada ALLAH. Apabila sudah tenang dan kita memerlukan nasihat daripada seorang manusia, maka carilah seseorang untuk memberi nasihat kepada anda.

Saya sedia menjadi pendengar setia.

Dan saya harap anda juga begitu. Boleh mendengar masalah saya.

Kita saling bantu-membantu.

Yang penting, kita berusaha untuk memaksimumkan ingatan kita terhadap ALLAH!

ALLAH itu, sentiasa ada di ‘sana’ untuk mendengar pengaduan dari kita, hamba-Nya. Apabila kita mengadu, bukan ALLAH tidak pernah memberikan tindakbalas. Sebaliknya, ALLAH mendengar pengaduan kita itu dengan mencampakkan ketenangan ke dalam hati kita walaupun kita tidak melihat wajah ALLAH SWT.

Anda tidak yakin? Nah, bacalah kalam ALLAH ini,

“Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar terhadap-Ku. Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sungguh, ALLAH berserta dengan orang-orang yang sabar.” – al Baqarah : 152 – 153

Ingin mengadu? ALLAH sentiasa ada dengan kamu.

Semoga ALLAH merahmati.

4 comments:

Nur Ilham Impian said...

ALLAH TIDAK AKAN PERNAH MENINGGALKAN KITA SELAGI KITA TIDAK MENINGGALKAN DIA.....

Anonymous said...

mohon share di fb sy ye...terima kasih.

Anonymous said...

Jadikan lah daku sebagai hamba yang sentiasa bersyukur dan mengingatiNya dlm susah mahupun senang...

Anonymous said...

Mohon share..terima kasih